aDs

aluan

Followers

Saturday, June 11, 2011

Malang 2 beradik


ALOR GAJAH: Impian dua beradik untuk menikmati dan menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 209, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Adeleen Kasim, 37, yang juga seorang jurutera di sebuah syarikat swasta di Putrajaya maut di tempat kejadian, manakala adiknya Aireen Kasim, 34, yang memandu Perodua Kelisa hanya cedera ringan.

Difahamkan, kenderaan dipandu Aireen yang juga kakitangan bank dalam perjalanan ke Kampung Pasir Puteh, Bachang, di sini, sebelum merempuh belakang lori yang ketika itu sedang bergerak menyebabkan kakaknya yang duduk di sebelah pemandu mati di tempat kejadian kerana parah di kepala.

Pemandu lori, Wong Loong Fah, 44, berkata, dia dalam perjalanan dari Shah Alam ke Johor Bahru untuk menghantar perkakas rumah dikejutkan dengan dentuman kuat di belakang ketika memasuki lorong tengah lebuh raya.

“Saya berada di laluan pertama hendak ke laluan tengah memandu secara perlahan dan tiba-tiba dirempuh dengan kuat menyebabkan lori saya bergegar kuat sebelum hilang kawalan dan terbalik beberapa kali.

“Dalam keadaan cemas, saya terpaksa keluar melalui cermin hadapan lori yang pecah bagi mengelak dilanggar kenderaan lain pula,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian terus pergi ke arah kereta berkenaan dan mendapati seorang mangsa di tempat duduk penumpang cedera parah dan berada dalam nyawa-nyawa ikan, manakala pemandunya sudah berada di luar Perodua Kelisa serta cedera ringan.

Katanya, dia cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit namun gagal dan terpaksa menunggu kehadiran pasukan bomba sebelum wanita itu mati tidak lama kemudian.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Razali Che Ari berkata, sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kemalangan itu. 

“Anggota kami tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian dan mayat mangsa dikeluarkan dalam masa kira-kira lima minit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Derah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu. 

“Siasatan mendapati Perodua Kelisa dinaiki dua beradik itu menghala ke Melaka dan apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan selepas merempuh belakang lori yang ketika itu hendak memasuki lorong kedua.

“Polis masih menyiasat kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat,” katanya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat