aDs

aluan

Followers

Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Wednesday, January 18, 2012

Drebar ‘syok’ ragut 2 nyawa


REMUK...keadaan kenderaan selepas  kemalangan di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, semalam.
REMUK...keadaan kenderaan selepas kemalangan di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU: Keasyikan seorang pemandu lori pasir menonton cakera padat video (VCD) lucah pada skrin mini kenderaannya ketika memandu dikatakan menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan lain dan mengorbankan sepasang suami isteri di Kilometer 19.5, Jalan Pontian-Johor Bahru, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan ke Singapura sebelum kecuaian pemandunya menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan berlanggar dengan sebuah lori lain, dua kereta serta dua motosikal, termasuk motosikal dinaiki pasangan suami isteri yang maut itu.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir tiga jam manakala usaha mengeluarkan mayat pasangan suami isteri terbabit dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, suami isteri yang terbunuh itu dalam perjalanan ke tempat kerja dan mereka mati di tempat kejadian manakala seorang penunggang motosikal lain parah.
Foto
NGERI...keadaan mayat mangsa yang terkorban dalam kemalangan.
Menurutnya, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai K Vijaya, 34, dan isterinya, S Hemalatha, 27, dari Bukit Indah, di sini, manakala mangsa yang parah, lelaki berusia 32 tahun belum dikenal pasti identitinya dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Lori pasir yang dipandu lelaki itu mempunyai skrin mini LCD dan kita sedang menyiasat dakwaan dia memandu sambil menonton VCD lucah. Kami sedang mengesan VCD lucah yang didakwa berada dalam lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Ruslan, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian dan beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Sementara itu, bapa mangsa yang dikenali sebagai Muruandy, 54, berkata, kejadian yang menimpa Vijaya dan menantunya adalah tragedi buruk bagi keluarganya kerana kedua-duanya maut sekelip mata.

“Setiap hari mereka ke tempat kerja dengan menaiki motosikal dan saya tidak menyangka rutin harian itu menjadi tragedi. Saya sedih mengenangkan nasib tiga cucu yang masih kecil, berusia bawah 12 tahun,” katanya. - myMetro

Friday, December 23, 2011

Pemanas air maut


TYE...maut
TYE...maut

GEORGETOWN: Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik dipercayai berpunca dari alat pemanas air ketika mandi di bilik air rumahnya di Taman Changkat, Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, pemilik kedai alat telekomunikasi Tye Chuan Sin, 40, ditemui terbaring kaku dalam keadaan bogel oleh isterinya selepas terkena renjatan elektrik dari peralatan berkenaan dipercayai mengalami litar pintas.

Mayat mangsa ditemui dengan kesan melecur di leher serta badan akibat renjatan elektrik terhasil daripada paip alat pemanas air itu.

Menurut sumber polis, mangsa sepatutnya menjemput anak perempuannya pulang dari kelas tambahan, namun anaknya musykil apabila panggilan telefon dibuat kepada bapanya itu langsung tidak dijawab.

“Anak mangsa menghubungi ibunya dan meminta menjemput dia pulang dari kelas tambahan sebelum memberitahu panggilan telefon dibuat kepada bapanya langsung tidak dijawab.

“Isteri mangsa ketika itu berada di tempat kerja mula risaukan suaminya sebelum cuba menghubungi lelaki itu, namun panggilannya juga tidak dijawab,” katanya.

Menurutnya, sejurus sampai di rumah, dua beranak terbabit terhidu bau hangit dan terkejut apabila mendapati mangsa terbaring tidak bernyawa dalam bilik air rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu dan menerima laporan mengenainya.

“Tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang ditemui di pekarangan HPP enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian itu. - myMetro

Friday, November 25, 2011

Kereta berpusing-pusing


TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Samsudin, maut.
TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Samsudin, maut.

KAMPUNG GAJAH: “Arwah ayah gemar membawa cucu bersiar-siar terutama ketika cuti sekolah. Tak sangka kali ini yang terakhir buat mereka,” kata Mohd Tarmizi, 26, anak pasangan warga emas, Samsudin Itam, 65, dan Daimah Lun, 52, yang maut dalam kemalangan ngeri, petang semalam.

Tragedi itu turut meragut nyawa cucu pasangan warga emas berkenaan, Qurratul Ayuni Mohd Halimi, 6, apabila Proton Saga dinaiki bersama tiga yang lain bertembung sebuah treler ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pulau Tiga, Padang Gertak di sini, jam 4 petang.
REMUK...treler yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...treler yang terbabit kemalangan, semalam.
Dalam kejadian itu, kereta dipandu Samsudin hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum bertembung treler tanpa muatan di laluan bertentangan menyebabkan kereta mangsa berpusing beberapa kali.

Kejadian turut mencederakan anak pasangan warga emas itu, Nurul Ayuni, 14, dan dua lagi cucu mereka, Mohammad Danial Halimi, 5, dan Nurul Izzati Mohd Rudy, 3. Mohd Tarmizi ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik, Hospital Changkat Melintang (HCM), di sini, semalam, berkata, arwah bapanya memaklumkan pergi ke Sungai Manik untuk mengambil Nurul Ayuni di Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Islah, Sungai Lampam.

Menurutnya, arwah bapa dan ibunya membawa bersama tiga cucu mereka bagi mengambil Nurul Ayuni di sekolah berkenaan.

“Mereka keluar rumah jam 2.45 petang sebelum kami sekeluarga dikejutkan dengan nahas itu jam 4.30 petang.

“Kami tidak menyangka jarak nahas dengan rumah hanya beberapa kilometer. Sebaik tiba di tempat kejadian, saya rebah apabila melihat arwah ayah dan ibu kaku tidak bernyawa di tempat duduk depan kereta,” katanya.

Sementara itu, ibu arwah Qurratul Ayuni, Jawiriah, 31, berkata dia terkilan kerana anak sulungnya itu tidak sempat menjamah kuih pau yang dipesan.Menurutnya, dia tiada di rumah sejak pagi kerana menjaga kakaknya yang menunggu masa bersalin di HCM.

“Saya sudah berpesan kepada kedua-dua anak, Qurratul Ayuni dan Mohd Danial supaya tinggal di rumah dan jangan keluar ke mana-mana sementara menunggu saya pulang dari hospital.

“Namun, mereka keluar rumah kerana mengikut arwah ayah dan ibu mengambil adik saya, Nurul Ayuni yang selesai menghadapi peperiksaan akhir tahun di sekolahnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan HCM.

Jawiriah yang menetap di Pandan Perdana, Kuala Lumpur berkata, dia bersama dua anaknya itu pulang ke kampung sempena cuti sekolah bermula minggu lalu.

“Saya tidak menyangka percutian kami anak-beranak berakhir tragedi kerana anak perempuan saya yang keletah dan cerdik sudah meninggal dunia, manakala adiknya, Mohd Danial patah tulang bahu.

“Saya bersyukur kerana Mohd Danial terselamat dalam kejadian itu, namun reda dengan pemergian arwah Qurratul Ayuni,” katanya. - myMetro

Saturday, November 12, 2011

Dikubur pasir


Dikubur pasir
SLIM RIVER: Usaha seorang bapa, Zaidi Muhammad, 43, menjejak anaknya yang ‘ghaib’ sejurus tragedi bas sekolah dirempuh treler membawa lima tan pasir di sini, semalam, berakhir hiba apabila pelajar itu ditemui sudah meninggal dunia di bawah timbunan pasir setinggi dua meter kira-kira enam jam selepas nahas.

Maysarra Zaidi, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, antara empat yang terkorban dalam kemalangan pada jam 4.45 pagi di Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Behrang, di sini.

REMUK...treler dan bas yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam.
REMUK...treler dan bas yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam.
Tiga lagi mangsa ialah rakan sekolah Maysarra, Khairul Anwar Azhan, 15, guru mereka, Siti Hajar Mohamed, 33, dan Ketua Wanita Umno Cawangan Alor Teja, Alor Setar, Basarah Saad, 45, yang cuba membantu kumpulan pelajar berkenaan selepas bas mereka terbalik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintenden Md Tahir Kasim, berkata Maysarra, Khairul Anwar dan Siti Hajar antara 60 pelajar dan tujuh guru yang menyertai rombongan ke ibu negara dengan menaiki dua bas, namun satu lagi bas tidak terbabit kemalangan itu.

“Basarah menaiki bas lain bersama rombongan Wanita Umno Kedah dalam perjalanan menghadiri satu program di Tanjung Karang, Selangor. 

“Bas itu berhenti di tempat kejadian atas permintaan Basarah yang mahu menghulurkan bantuan, namun dia yang juga ibu tunggal tiga anak menemui ajal apabila dirempuh treler terbabit,” katanya.

Sementara itu, kehilangan Maysarra bermula apabila ayah dan abangnya, Faiz Zaidi, 16, yang bergegas dari rumah mereka di Taman Angsana, Kulim, gagal mengesan pelajar itu di Hospital Slim River (HSR). 

Zaidi yang juga juruteknik di sebuah institut kemahiran di Kulim dan Faiz hampa serta kebingungan apabila mendapati nama Maysarra tiada dalam senarai mangsa cedera atau terkorban.

Berikutan itu, dua beranak berkenaan ke lokasi kejadian untuk mencari jawapan kehilangan anaknya. Hanya kira-kira setengah jam kemudian, baru mereka dimaklumkan mayat Maysarra ditemui di bawah timbunan pasir pada jam 10.45 pagi semalam.
SUGUL...Zaidi (dua dari kanan)   melihat jenazah anaknya di tempat kejadian.
SUGUL...Zaidi (dua dari kanan) melihat jenazah anaknya di tempat kejadian.
Difahamkan, sebelum itu anggota penyelamat tidak menyedari ada mangsa tertimbus di bawah timbunan pasir di situ serta menyangka semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera sudah dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Ketika ditemui wartawan di HSR selepas itu, Zaidi yang ditemani isterinya, Mazylina Abdullah, 35, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kematian anaknya, sebaliknya hanya menitiskan air mata.

Namun, Faiz memberitahu adiknya harapan keluarga kerana memperoleh 8A dalam ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini. 

“Dia sangat rajin belajar, malah antara pelajar harapan di sekolahnya untuk mencapai keputusan cemerlang dalam PMR tahun ini,” katanya.

Faiz berkata, tiada perubahan ketara dilihat pada adiknya sebelum ini, malah arwah kelihatan tidak sabar untuk mengikuti rombongan berkenaan. 

“Ini rombongan kedua arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik HSR di sini, semalam.

Jenazah Maysarra dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Teja, Alor Setar, Kedah. - myMetro

Friday, November 11, 2011

Maut bantu mangsa nahas


KUANTAN: Niat murni dua lelaki membantu satu keluarga yang terbabit kemalangan di Jalan Tanjung Lumpur di sini, petang semalam, bertukar tragedi apabila mereka dirempuh lori tanah mengakibatkan seorang terbunuh selepas terperosok di bawah Perodua Myvi milik keluarga dibantu itu.

Pemandu Perodua Myvi terbabit, Norhayati Abu bakar, 44, yang berasal dari Lorong Peramu Baru 3, Taman Peramu di sini, patah kaki kanan manakala anaknya, Nurliyana Najihah Mamat, 10, Muhammad Nasrol Azit, 5, dan Muhammad Nazhan Aziq, 2, tidak mengalami kecederaan.

Mangsa yang terbunuh ialah pemilik kedai berhampiran tempat kejadian, Mustafa Deraman, 50. Dia yang patah tulang rusuk dan patah kaki kiri dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia jam 10,30 malam tadi.

Seorang lagi mangsa, Mohd Roslan Wahab, 26, hanya cedera ringan biarpun turut terperosok di bawah kereta Perodua Myvi milik Norhayati.

Mohd Roslan berkata, dia hanya membayangkan kematian apabila melihat lori tanah itu meluncur laju ke arahnya dan hanya tersedar apabila mendengar suara orang ramai membantu mengeluarkannya dari bawah Perodua Myvi berkenaan.

“Rempuhan kuat lori itu menyebabkan saya terperosok di bawah Perodua Myvi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana selamat dan saya juga gembira kerana sempat menyelamatkan keluarga dalam kereta itu.

“Memang saya hanya memikirkan soal mati ketika melihat lori berkenaan meluncur laju ke arah saya dan saya hanya tersedar selepas mendengar suara orang ramai cuba menarik saya keluar dari bawah kereta itu,” kata Mohd Roslan.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Kampung Sungai Derhaka di sini.

“Saya antara saksi paling awal tiba di lokasi kemalangan itu yang membabitkan sebuah Perodua Myvi dengan sebuah lori, mengakibatkan kereta itu tersadai di atas pembahagi jalan.

“Ketika saya dan beberapa orang awam berusaha mengeluarkan lima sekeluarga dari dalam Perodua Myvi itu, sebuah lori lain dari arah Tanjung Lumpur muncul dan merempuh kami.

“Saya sempat menjerit dan berlari sekuat hati untuk mengelak daripada dilanggar tetapi tetap dirempuh dan hanya sedar apabila mendengar suara orang ramai berusaha menyelamatkan saya pula,” katanya.

Isteri Mustafa, Norihan Rani, 49, yang ditemui di HTAA berkata selain suaminya, anak mereka, Mohd Aiman, 17, turut bergegas untuk memberi bantuan kepada keluarga Norhayati.

“Suami saya dirempuh lori tanah itu di depan mata Mohd Aiman dan dia anak saya kini trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, pemandu lori yang merempuh Perodua Myvi itu sudah membuat laporan berhubung kejadian, namun lori pertama yang terbabit dalam kemalangan itu masih dikesan.

“Siasatan awal mendapati lori pertama merempuh satu tiang lampu dan tiga pokok sebelum melanggar Perodua Myvi. Kejadian berlaku ketika kereta itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Peramu.

“Ketika tiba di tempat kemalangan, sebuah treler mahu membelok menyebabkan pemandu kereta Perodua Myvi memperlahankan kenderaannya tetapi sebuah lori yang berada di belakang cuba memotong di sebelah kiri.

“Pemandu lori itu melihat ada kenderaan di tepi jalan menyebabkan pemandunya masuk semula ke lorong kanan sebelum menghimpit Perodua Myvi itu.

“Lori kedua pula tidak sempat memberhentikan kenderaannya apabila melihat orang ramai berada berhampiran kereta,” katanya. - myMetro

Saturday, October 29, 2011

Budak maut dirempuh guru

MOHD. ZAMRI (kanan) mengangkat mayat Nor Afina (gambar kecil) yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.


KEPALA BATAS - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.
Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.
Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.
Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.
"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.
"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam. - KOSMO

Friday, October 28, 2011

Murid pengsan ditimpa tiang bendera


HULU LANGAT 27 Okt. – Seorang murid perempuan Tahun Satu pengsan manakala rakannya cedera di tangan setelah ditimpa sebatang tiang bendera yang tiba-tiba tumbang ketika menyertai aktiviti sukan di sebuah sekolah rendah di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika kedua-dua mangsa sedang bermain berhampiran tiang bendera tersebut yang terletak di hadapan kawasan perhimpunan sekolah.

Seorang saksi kejadian memberitahu, salah seorang daripada murid itu dikatakan bermain pada skru tiang bendera sebelum skru tersebut tercabut dan mencederakan tangannya.

“Seorang lagi rakan mangsa yang berdiri tiba-tiba terkejut apabila tiang terbabit jatuh dan menghempap kepalanya lalu tidak sedarkan diri di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketika kejadian, saksi itu berkata, kebanyakan murid berada di padang sekolah kerana terlibat dalam aktiviti sukan sekolah.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa segera dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan oleh guru sekolahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, seorang murid hanya mengalami cedera ringan di tangan, manakala rakannya yang dihempap tiang kini boleh bercakap dan dilaporkan stabil.

Jelasnya, guru sekolah tersebut telah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa murid berkenaan dan membuat laporan polis petang ini. - UMalaysia

Friday, October 21, 2011

Drebar mengantuk rempuh bas, dua kereta


SEBUAH bas kilang (kiri) yang datang dari arah bandaraya yang hilang kawalan merempuh sebuah bas kilang dan dua buah kereta yang berhenti di lampu isyarat berhampiran Fasa Empat kawasan perindustrian Bayan Lepas di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu empat pekerja kilang cedera dan dirawat di Hospital Pulau Pinang. Foto: Bernama (20/10/2011)
SEBUAH bas kilang (kiri) yang datang dari arah bandaraya yang hilang kawalan merempuh sebuah bas kilang dan dua buah kereta yang berhenti di lampu isyarat berhampiran Fasa Empat kawasan perindustrian Bayan Lepas di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu empat pekerja kilang cedera dan dirawat di Hospital Pulau Pinang. Foto: Bernama (20/10/2011)

GEORGETOWN: “Saya terdengar dentuman kuat disusuli jeritan rakan-rakan yang berada dalam bas ketika itu. Kami bergegas turun kerana bimbang ia terbakar,” kata pekerja kilang, Murni Hayati Zainal Abidin, 27, menceritakan kemalangan membabitkan dua bas kilang dan dua kereta berhampiran lampu isyarat Kawasan Perindustrian Fasa IV, Bayan Lepas, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 6 pagi itu, rakannya, Noraini Razali, 40-an, patah kaki dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala tiga lagi rakan cedera ringan.

Menurutnya, bas terbabit yang boleh memuatkan 40 penumpang hampir penuh ketika kemalangan berlaku dan dia bersyukur tiada kejadian buruk yang menimpa mereka.

“Mujur kami semua selamat dan hanya Noraini agak parah, manakala saya dan rakan lain diberi rawatan sebagai pesakit luar,” katanya yang ditemui di Wad Kecemasan HPP.

Ketika kemalangan, bas kilang dinaiki Murni Hayati berhenti di lampu isyarat namun tiba-tiba datang sebuah lagi bas kilang merempuh bahagian kanan belakang bas terbabit sebelum ia terbabas dan melanggar lampu isyarat.

Difahamkan, dua bas terbabit membawa pekerja kilang elektronik yang sama dan satu daripadanya yang hilang kawalan membawa pekerja warga asing. Pemandu bas berkenaan dikatakan mengantuk sebelum dia hilang kawalan dan merempuh bas satu lagi.

Rempuhan kuat itu menyebabkan seorang pekerja kilang tercampak keluar dari bas dan menyebabkan dua kerusi tercabut serta tercampak ke tengah jalan.

Dua kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu turut mengalami kerosakan, tetapi pemandu dan penumpangnya tidak mengalami kecederaan serius.

Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang, Deputi Superintendan Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti puncanya. 

“Kita akan mengambil keterangan daripada pemandu dan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan,” katanya. - myMetro

Tuesday, October 18, 2011

Luluh hati lihat jasad suami

HIBA...Norhanisah sayu melihat mayat suaminya. Gambar kecil, Shahrul Hisham.
HIBA...Norhanisah sayu melihat mayat suaminya. Gambar kecil, Shahrul Hisham.


MELAKA: “Luluh hati saya ketika tiba ke tempat kejadian dan melihat tubuhnya terbujur kaku ditutup dengan plastik hitam. Malah, lebih mengecewakan apabila mengenangkan arwah tidak sempat melihat anak ketiganya yang bakal lahir.

“Sebelum ini, dia pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga koma dan menyatakan sekiranya sekali lagi terbabit kemalangan, nyawanya akan terancam kerana kepalanya sensitif,” kata isteri kepada mangsa kemalangan maut, Shahrul Hisham Daud, 22.

Norhanisah Nordin, 21, yang baru disahkan mengandung sebulan berkata, ketika kejadian suaminya baru menghantarnya bekerja di pasar raya di Cheng jam 2.45 petang sebelum terbabit dalam kemalangan jam 3.30 petang itu.

“Sebelum ini, dia tidak pernah menghantar saya sehingga ke kaunter tempat bekerja, namun hari ini (kelmarin) dia beriya-iya mahu ikut hingga ke kaunter, tetapi saya tidak menghiraukan permintaannya.

“Malah, sejak kebelakangan ini, suami lebih banyak berdiam diri sehingga kami jarang berbual dan saya tidak sangka perubahan itu petanda suami meninggalkan kami selamanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), di sini, semalam.- myMetro

Wednesday, October 12, 2011

Jatuh dari tingkat 12


KORBAN... mangsa terjatuh dari tingkat 12 Kondominium Magnaville ketika cuba melarikan diri daripada polis.
KORBAN... mangsa terjatuh dari tingkat 12 Kondominium Magnaville ketika cuba melarikan diri daripada polis.

GOMBAK: Cubaan seorang pegawai imigresen untuk melarikan diri daripada polis berakhir dengan tragedi apabila dia maut dengan cebisan otak bertaburan selepas terjatuh dari tingkat 12 Kondominium Magnaville, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, empat anggota Jabatan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pergi ke rumah Mohd Irwan Mohd Ishak, 29, bagi menyiasat kes penipuan membabitkan mangsa.

SIASAT... anggota polis forensik melakukan siasatan terhadap mayat Mohd Irwan  yang terjatuh dari tingkat 12.
SIASAT... anggota polis forensik melakukan siasatan terhadap mayat Mohd Irwan yang terjatuh dari tingkat 12.
Bagaimanapun mangsa yang disyaki panik selepas mendapat tahu kehadiran anggota polis nekad memanjat tingkap kediamannya untuk ke ruang tangga berhampiran sebelum dia dikatakan tergelincir dan terjatuh.

Akibat kejadian, mangsa yang ditemui dalam keadaan terlentang, maut di tempat kejadian dengan kepalanya pecah.

Isteri mangsa, Suridah Suhardi, 35, berkata, ketika kejadian suaminya baru bangun daripada tidur dan memberitahu dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa dan menyuruh sekumpulan lelaki yang mengaku sebagai polis pergi dari situ.

“Sebelum ini, suami saya sudah berpesan yang dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa dan jangan membuka pintu jika ada orang mencarinya,” katanya.


Menurutnya, dia kemudian berjumpa sekali lagi dengan anggota polis terbabit dan memberitahu suaminya tidak mahu berjumpa dan menyuruh mereka pergi ke rumah ibu suaminya jika ingin menyelesaikan apa-apa masalah.

“Saya kemudian menutup semula pintu dan pergi ke arah suami. Pada ketika itu, dia memberitahu ingin keluar menggunakan tingkap bilik dan menggunakan tangga untuk turun ke bawah.

“Saya menghalangnya kerana bimbang dia akan terjatuh dan dia pada mulanya dia seperti tidak jadi melakukan perkara itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Suridah berkata, bagaimanapun ketika dia sedang sibuk menguruskan anak lelaki berusia dua tahun di bilik air, suami sekali lagi bertindak memanjat tingkap untuk turun ke bawah sebelum terjatuh.

“Dia mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan untuk berehat di rumah akibat tekanan kerja dan sepatutnya bekerja semula awal tahun depan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, anggota polis yang pergi ke kediaman mangsa ada memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan memaklumkan mereka mencari orang bernama Irwan.

“Wanita terbabit kemudian memberitahu suaminya yang dicari mereka sedang mandi dan meminta tunggu sebentar.

“Anggota polis kemudian menunggu di luar sementara wanita terbabit terus mengunci pintu rumah. Lebih kurang 15 minit kemudian mereka sekali lagi mengetuk pintu rumah dan dibuka isteri mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, wanita terbabit memberi alasan suaminya tiada dan berada di rumah ibu dan terus menutup pintu.

“Tidak lama kemudian, anggota polis yang masih menunggu di luar kediaman itu terdengar bunyi seperti benda terjatuh. Hasil pemeriksaan, mereka mendapati mangsa telah terjatuh ke bawah (kondominium) apabila cuba melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Difahamkan, mangsa sebelum ini pernah berjumpa dengan pakar psikologi akibat tekanan dengan kerja dan mengambil cuti tanpa gaji bagi menenangkan fikirannya.

Mangsa meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia enam tahun dan dua tahun. - myMetro

Tuesday, October 11, 2011

Lantai Konkrit Bangunan Pembinaan KL Sentral Runtuh: Seorang Cedera

Lantai konkrit bangunan yang masih dalam pembinaan di KL Sentral runtuh pada pukul 11 pagi Selasa menyebabkan seorang pekerja cedera. Foto THE STAR Oleh: AZMAN GHANI.



Pihak polis dan pasukan bomba meninjau tempat kejadian
KUALA LUMPUR: Lantai konkrit di kawasan pembinaan di KL Sentral runtuh pada pagi Selasa dan seorang pekerja dilaporkan cedera.
Ketika kejadian pekerja Bangladesh dilaporkan sedang menjalankan kerja-kerja menyimen di tingkat satu bangunan tersebut cedera apabila lantainya tiba-tiba runtuh pada pukul 11 pagi.
Mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan dilaporkan sedang menjalani pembedahan selepas terjatuh daripada ketinggian empat meter.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Wan Abdul Bahari Wan Khalid berkata ketika kejadian pekerja berkenaan memakai peralatan keselamatan.
Difahamkan bangunan yang sedang dibina sejak dua tahun lepas itu akan dikenali sebagai 'Nu Sentral' mempunyai lebih 500 pekerja yang melakukan kerja-kerja pembinaan bermula pada 2009.
Ia dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Christopher Chong Hon Fah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 11 pagi dan sebuah jentera dengan lebih 30 anggota terlibat dalam menyelamatkan mangsa.
"Kita mengambil masa satu jam meronda di kawasan kejadian untuk memastikan tiada mangsa lain yang terlibat," katanya. - mStarOnline

Friday, October 7, 2011

Tak sempat pulang kampung


‘Terima kasih, sayang mama’
MACHANG: “Saya sempat bertanya mengenai peperiksaannya Rabu lalu dan dia kata OK saja,” kata Mohd Zin Yaacob, 50, bapa kepada Mohd Rizal, 19, seorang daripada empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang maut dalam kemalangan di sini, semalam.

Menurut Mohd Zin, dia juga ada berbincang dengan Mohd Rizal untuk datang ke Kelantan bagi membantunya mengemas barang untuk dibawa pulang ke kampung kerana cuti semester sudah bermula.

“Ketika di rumah ibu bapa saya di Ladang Kerla, Tanah Merah, saya mendapat panggilan daripada isteri dan seorang rakannya yang meminta supaya datang ke hospital,” katanya sedih.

Sementara itu, seorang rakan Mohd Syamil Abdul Malek, 19, yang turut terkorban dalam kemalangan itu, Alia Nur Masyitah Fadzil, 19, berkata dua hari lalu, Allahyarham ada minta maaf kepadanya. 

“Tetapi saya tidak tahu kenapa dia berbuat demikian,” katanya.

Menurut Alia, dia menyedari Mohd Syamil kelihatan lebih ceria namun tidak mengesyaki petanda buruk.

“Saya cuma menasihatinya jangan terlalu gembira. Selain itu, saya juga sudah membeli tiket kereta api untuk pulang ke kampung bersama namun tidak sangka, rakan saya itu maut dalam kemalangan,” katanya.

Bagi Mohd Fakharuddin Mahyin, 19, dia sepatutnya pergi bersama Mohd Syamil dan empat lagi sahabatnya ke Kota Bharu, tetapi kereta penuh. - myMetro


Tuesday, October 4, 2011

Hospital Kajang akui pekerja cuai

KUALA LUMPUR: Hospital Kajang semalam mengakui kecuaian kakitangannya memasukkan darah jenis lain sehingga mengakibatkan seorang pegawai bank yang baru melahirkan anak ketiga terlantar di hospital itu sejak 10 hari lalu.

Pengarahnya, Dr P Kuldip Kaur, berkata pihaknya bertanggungjawab atas kejadian itu dan kesal perkara sedemikian boleh berlaku meskipun sentiasa mengambil langkah sewajarnya dalam merawat pesakit.

Sehubungan itu, beliau meminta maaf kepada pesakit dan keluarga serta memberi jaminan akan menyiasat perkara berkenaan secara adil dan telus bagi mengelak insiden sama berulang pada masa depan.

“Laporan itu benar, tidak dinafikan, hospital dan kementerian bertanggungjawab, kami simpati atas kesulitan yang berlaku. 

“Kami sudah menyerahkan laporan terperinci kepada Pengarah Kesihatan negeri dan kes ini sedang disiasat Jawatankuasa Penyiasatan Bebas. 

“Tindakan terhadap kakitangan terbabit yang masih bekerja hanya akan diambil selepas siasatan selesai dan kami akan panggil ahli keluarga untuk menjelaskan hasil siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pegawai bank yang baru melahirkan anak ketiga terlantar di hospital sejak 10 hari lalu akibat komplikasi berikutan kecuaian petugas Hospital Kajang memasukkan darah jenis lain ke tubuhnya pada 22 September lalu. 

Petugas hospital didakwa memasukkan darah jenis B sedangkan darahnya jenis O, sebaik wanita berusia 34 tahun itu selamat melahirkan anak lelaki secara pembedahan.  - BHarian

Wednesday, September 28, 2011

Bas jadi leper selepas nahas

SEORANG lelaki melihat sebuah bas sekolah yang menjadi leper di lokasi nahas di Kalar Kahar, Pakistan kelmarin.


ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 31 kanak-kanak dan remaja serta empat orang dewasa terbunuh apabila sebuah bas terbabas dan memasuki gaung di tenggara Islamabad, kata beberapa pegawai semalam.
Bas itu membawa pulang pelajar sebuah sekolah swasta daripada berkelah.
Ia terbabas dan jatuh ke dalam gaung di wilayah Punjab kelmarin.
"Seramai 35 mangsa termasuk 31 kanak-kanak dan empat orang dewasa terbunuh dalam kemalangan itu. Pemandu, pembantu pemandu, penolong pengetua dan guru antara yang terkorban," kata seorang pegawai pentadbiran kanan di daerah Faisalabad, Naseem Sadiq.
"Kesemua pelajar itu berumur di antara 10 hingga 15 tahun," kata ketua sebuah hospital, Dr. Sultan Alamgirian.
Seorang pegawai memberitahu, siasatan akan dilakukan bagi mengetahui punca kemalangan tetapi laporan awal menyatakan ia mungkin disebabkan masalah brek. - AFP

Tuesday, September 13, 2011

Tiga maut jip terbang


KUANTAN: “Pada pertemuan raya pertama, arwah pernah memberitahu mahu berhenti kerja di Awana Kijal, Kemaman dan pulang ke Karak, Bentong untuk memulakan pekerjaan baru.

“Namun, semua impian itu berakhir apabila arwah meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan itu,” kata Mohd Nasir Harun, 54, abang ipar kepada Mustapa Kamal Samah, 40, dari Kampung Karak Setia, Karak, dekat Bentong, yang terbunuh apabila kereta Proton Satria yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 214.9, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), berdekatan susur keluar Tol Gambang, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, turut terbunuh pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, Wong Hong Yen, 40, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, ketika menerima rawatan dan seorang lagi pemandu kereta Mercedes Benz, Yee Koi Chee, 68, dari Air Putih, di sini, yang maut di tempat kejadian.

Difahamkan, Yee yang juga ahli perniagaan, dijadual bakal menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada hujung bulan ini.

Pada masa sama, isteri Yee, Chew Moy, 64, yang berada di dalam kereta bersama suaminya dikatakan hanya cedera ringan dan masih dirawat di HTAA.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohd Nasir berkata, dia mendapat panggilan berhubung kemalangan itu melalui orang awam yang menghubunginya dengan menggunakan telefon bimbit milik arwah sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian arwah selepas terbabit dalam kemalangan ngeri itu dan kali terakhir bertemu dengan arwah pada hari raya pertama.

Katanya, dalam pertemuan itu, arwah pernah memberitahu hendak pulang bekerja di Karak selepas lebih 14 tahun bekerja di Awana Kijal, Kemaman selain merancang untuk mendirikan rumah tangga.

“Arwah balik ke kampung pada Sabtu lalu kerana bertemu dengan seorang pengusaha kek dan berhasrat mencari pengalaman sebelum merancang mahu membuka perniagaan sendiri.

“Jenazah arwah selamat dikebumi di Kampung Teroh, Karak pada jam 12.30 tengah hari, semalam,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata siasatan mendapati, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Wong dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Kuantan terbabas ke kanan dan melanggar besi penghadang di tengah jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, pada masa sama, kenderaan pacuan empat roda itu bertembung dengan kereta yang dipandu Yee dan Mustapa Kamal yang menghala ke Kuantan dari Kuala Lumpur. - myMetro

19 nyaris terbunuh dua kapal berlanggar

MT Cendanawati membawa minyak dari Thailand, manakala gambar kecil menunjukkan keadaan kapal itu selepas dilanggar di perairan Pulau Tioman, kelmarin.
MT Cendanawati membawa minyak dari Thailand, manakala gambar kecil menunjukkan keadaan kapal itu selepas dilanggar di perairan Pulau Tioman, kelmarin.
KUANTAN: Seramai 19 anak kapal warga Indonesia nyaris terbunuh selepas kapal tangki MT Cendanawati dinaiki, berlanggar dengan kapal tangki kira-kira lapan batu nautika dari perairan Pulau Tioman, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, kapten kapal itu, Dadi Suyadi, 45, berkata beliau bersama 18 anak kapal dalam perjalanan ke Indonesia dari Thailand dengan membawa muatan 1,600 tan minyak pelincir.

Katanya, ketika kejadian, beliau sedang tidur dalam bilik sebelum terjaga apabila terdengar dentuman kuat, menyebabkannya mengalami kecederaan di kepala.

“Kapal kami dipercayai berlanggar dengan kapal tangki, Cosmic 10 sebelum kapal itu beredar menuju ke Batam, Indonesia.

“Selepas pelanggaran berkenaan , air melimpah masuk dalam bilik dan terdengar teriakan anak kapal. Keadaan menjadi kelam kabut,” katanya di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, semalam. 

Dadi berkata, kapal MT Cendanawati mengalami kebocoran pada bahagian enjin dan hampir tenggelam sebelum diselamatkan sebuah kapal yang kebetulan melalui perairan berkenaan.

“Saya dan semua anak kapal diselamatkan anggota APMM yang memberi bantuan dengan kapal KM Jarak sebelum dibawa ke jeti Tanjung Gelang, di sini.

“Kami sepatutnya tiba di Indonesia hari ini (semalam) selepas bertolak Khamis lalu dari Thailand. Kami berterima kasih kepada APMM kerana memberi bantuan dan menyelamatkan nyawa kami yang hampir terbunuh selepas terbabit dalam pelanggaran itu,” katanya yang cedera ringan di leher.

Sementara itu, Pengarah Operasi Wilayah Maritim Timur, Kapten Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hasan, berkata pihaknya memberi bantuan sewajarnya kepada 19 mangsa terbabit selepas mendapat maklumat kejadian itu.  - BHarian

Pemandu maut traktor putus tiga

 POLIS   memeriksa traktor yang dirempuh  kereta api  di Ladang Mengkebang, Kuala Krai, semalam. Gambar kecil Mohd Rizwan Mohd Saiful.
POLIS memeriksa traktor yang dirempuh kereta api di Ladang Mengkebang, Kuala Krai, semalam. Gambar kecil Mohd Rizwan Mohd Saiful.
KUALA KRAI: Seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia maut selepas traktor muatan sawit dipandunya, dirempuh kereta api ketika cuba melintasi landasan berdekatan Ladang Meng-kebang di Sungai Durian, semalam. 

Mohd Rizwan Mohd Saiful, 26 (kanan), dari Lombok, Indonesia maut selepas tercampak dan parah di badannya, manakala traktor dipandunya terputus tiga.

Difahamkan, sebelum kejadian jam 9 pagi itu, mangsa baru selesai memunggah kelapa sawit dan ingin membawanya ke tempat menimbang dengan memandu traktor berseorangan.

Bagaimanapun, mangsa tidak menyedari kedatangan kereta api yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Gua Musang dan meneruskan perjalanan tanpa menyedari jarak kereta api dengan kenderaannya terlalu hampir.

Sebaik melintas landasan, traktor itu dirempuh kereta api terbabit menyebabkan mangsa bersama kenderaannya terhumban. 

Mangsa tercampak tiga meter dari tempat kejadian, parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, isteri mangsa, Nor Aziah Mat Naim, 24, berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan kerani ladang berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Jaapar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa adalah pekerja di Ladang Mengkebang, Sungai Durian. 

Beliau berkata, Mohd Rizwan dipercayai maut selepas enjin traktor yang dipandunya dipercayai mati secara tiba-tiba berdekatan landasan.  - BHarian

Saturday, September 3, 2011

Serang hendap

IMBAS...Noramfaizul (dalam bulatan) bergambar bersama rombongan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sebelum berlepas ke Somalia.
IMBAS...Noramfaizul (dalam bulatan) bergambar bersama rombongan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sebelum berlepas ke Somalia.
MOGADISHU: Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, terbunuh selepas ditembak ketika membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di sini, malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia jam 11.15 malam tadi (jam 6.15 petang di Somalia) iaitu kira-kira sejam selepas terkena tembakan curi dipercayai dilepaskan kumpulan pemberontak.

Dalam kejadian serang hendap itu, seorang jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut dilaporkan cedera di tangan terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan secara rambang.

Wartawan Harian Metro, Mohamad Apendy Issahak ketika dihubungi di Mogadishu lewat malam tadi memberitahu, ketika kejadian kira-kira jam 5.15 petang waktu tempatan, Allahyarham bersama petugas media Malaysia sedang dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan di sini selepas melawat kem penempatan dalaman (IDPs) Waveri, dekat sini.

Seramai 53 lagi anggota misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk petugas media bagaimanapun terselamat dalam serangan itu dan mereka kini dalam proses pemindahan ke lokasi selamat.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa berada dalam kenderaan yang sedang menuju ke hotel.

Sementara itu, wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku ketika Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar laporan berita apabila terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi paru-parunya.

Mangsa yang dibawa masuk ke dalam hotel sejurus selepas kejadian, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.07 malam waktu Malaysia.

Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media Malaysia, tetapi tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Misi berkenaan yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dijangka pulang pada 8 September ini.

Wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam tadi memberitahu Aji Saregar cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru. Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) ketika mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh ke belakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mentuanya di Serdang Raya, dekat sini, terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada kira-kira 5.30 pagi waktu tempatan hari ini.

Beliau berkata, ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi, hari ini. - myMetro

Related Posts with Thumbnails

heratBeat