PERIKSA...anggota Unit Forensik polis memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian, kelmarin. |
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa yang berusia 30-an menaiki sebuah bas bersama dua rakannya dari Taman Len Seng, di sini, untuk ke pusat bandar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata kejadian bermula apabila mangsa dan rakannya berselisih faham dengan empat lelaki lain dalam bas. Katanya, ketika itu, mangsa dan rakannya dalam perjalanan ke pusat bandar selepas pulang dari tempat kerja di sebuah tapak pembinaan di Taman Len.
“Ketika di dalam bas, mangsa dipercayai bergaduh dengan empat lelaki terbabit sebelum mereka turun dari bas di kawasan kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, sebaik turun bas, mangsa dan rakannya melarikan diri ke dalam kawasan tanah perkuburan itu sebelum dikejar dan diserang lelaki terbabit.
Ku berkata, mangsa yang dipercayai berasal dari Surabaya ditetak menggunakan parang. Seorang lagi rakan mangsa parah manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.
Mangsa yang parah melarikan diri dan meminta bantuan orang awam di sebuah stesen minyak berhampiran. Dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Seorang lagi maut di tempat kejadian sebelum polis tiba.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui senjata yang digunakan. Malah, tiada dokumen peribadi ditemui pada mayat mangsa,” katanya.
Difahamkan, kumpulan suspek terbabit dipercayai bukan warga tempatan berdasarkan maklumat rakan mangsa yang cedera itu.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke PPUKM untuk bedah siasat selain usaha mencari seorang lagi rakan mangsa dan suspek giat dijalankan. - myMetro
No comments:
Post a Comment