aDs

aluan

Followers

Saturday, April 30, 2011

Kurung saksi


AMPANG: Seorang guru yoga yang pernah menghadapi tuduhan rogol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan melarikan dan mengurung dua saksi kes rogolnya itu, tiga minggu lalu.

Abdul Malik Abdullah, 54, yang memakai baju lokap itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Malik yang bercerai dua kali itu dan mempunyai enam anak didakwa melarikan dan mengurung dua remaja perempuan masing-masing berusia 16 dan 17 tahun dengan niat menghalang dan mempengaruhi mangsa untuk memberi keterangan di mahkamah berhubung kes rogol tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di No G-1-5, Jalan Desa Batu Caves 1/7, Taman Desa Batu Caves, Gombak pada jam 3.45 petang antara 7 sehingga 12 April 2011.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4, Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947 (Akta 191) yang membawa hukuman penjara tidak lebih empat belas tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Dr A Vasu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Roszianayati menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula dan tidak benarkan jaminan terhadap tertuduh.

“Dalam kes ini, kamu dituduh mengganggu dan mengurung saksi pendakwaan, kamu boleh bagi keterangan ketika perbicaraan nanti, oleh itu mahkamah tidak benarkan jaminan,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 tahun ketika itu, di dua lokasi berasingan di Hulu Selangor, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja itu di Kampung Dato’ Harun, Serendah, Hulu Selangor dekat sini, kira-kira jam 8 malam, pada Februari tahun lalu.

Dia yang ditahan pada 2 Januari lalu turut didakwa merogol mangsa sama di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, antara jam 5 petang dan 6 petang pada November tahun sama. Bagi setiap pertuduhan, dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Disember lalu, Harian Metro melaporkan seorang guru yoga di Kuala Kubu Baru dekat sini mengurung tiga remaja perempuan dan menjadikan mereka hamba seks selama sebulan.

Ketika serbuan di rumah guru yoga itu, polis menemui beberapa peralatan seks dan dua paket dadah dipercayai syabu.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy dilaporkan berkata pihaknya percaya sepanjang sebulan dikurung, mangsa dirogol berulang kali, selain didera secara seksual termasuk diikat dan dirantai pada katil.

Penahanan lelaki itu berdasarkan laporan keluarga mangsa selepas anak mereka tidak pulang selepas mengikuti kelas yoga di rumah guru itu pada hujung November tahun lalu. - myMetro

Diperkosa lepas lima bulan kenal di Internet


PADANG BESAR: Seorang remaja berusia 15 tahun bertindak kejam apabila tergamak merogol seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang juga cucu kepada jirannya di Kampung Titi Tinggi Hilir, dekat sini, Ahad lalu.

Difahamkan, mangsa yang sering pulang ke rumah neneknya itu dan pernah tinggal di situ sebelum berpindah bersama keluarganya ke Pulau Pinang.

Mangsa yang bersekolah dan tinggal di asrama sebuah sekolah vokasional di Kangar, dipercayai berkenalan dengan suspek sejak lebih lima bulan lalu melalui laman sosial Internet.

Gadis terbabit dipercayai diambil suspek dari asrama sekolah menggunakan motosikal sebelum membawanya ke sebuah rumah kosong berdekatan rumah nenek mangsa di kampung berkenaan sebelum dirogol dalam kejadian kira-kira jam 10 malam.

Suspek yang tinggal di kampung berkenaan juga langsung tidak gentar melakukan perbuatan terkutuk berkenaan sebaliknya dipercayai berkali-kali merogol mangsa sehingga ke petang keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros berkata, mangsa dirogol di dalam rumah kosong yang terletak berdekatan rumah neneknya, namun tidak disedari warga emas terbabit kerana menyangka cucunya berada di asrama.

“Suspek kemudian menghantar mangsa pulang ke asrama pada petang keesokan harinya dan mengarah mangsa supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara berkenaan jika tidak mahu sesuatu berlaku kepadanya.

“Bagaimanapun, perbuatan itu akhirnya terbongkar pada Selasa lalu selepas guru yang juga warden asrama sekolah mangsa mencari pelajar perempuan berkenaan bagi mendapat penjelasan mengenai ketiadaannya di bilik asrama pada malam kejadian,” katanya.

Menurut Che Man, mangsa pada mulanya memberi pelbagai alasan kepada gurunya kerana bimbang dengan tindakan yang mungkin diambil suspek.

"Namun selepas didesak berulang kali oleh gurunya supaya memberitahu perkara sebenar, akhirnya dia memberitahu dirogol lelaki terbabit.

“Mangsa kemudian dibawa gurunya ke Balai Polis Kaki Bukit bagi membuat laporan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurutnya, suspek yang bersekolah di Arau, dekat sini, dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu kemudian ditahan polis pada hari sama.

Katanya, mangsa kini masih lagi ditempatkan di wad HTF bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan suspek direman sehingga 1 Mei bermula Rabu lalu,” katanya. - myMetro

Jaclyn Victor Pernah Ditipu Untuk Acara Amal


Black dan Jaclyn Victor
PETALING JAYA: Penyanyi Jaclyn Victor menasihatkan agar setiap artis perlu berhati-hati dalam menyertai sebarang kegiatan amal yang bertujuan membuat kutipan amal.
Jelas Jaclyn, dia pernah beberapa kali tertipu dengan acara-acara yang dianjurkan untuk tujuan amal namun ia hanyalah sekadar nama semata-mata.
"Saya suka menyertai acara-acara berkaitan amal kerana saya akan rasa bersalah jika tidak melakukan apa-apa yang berfaedah untuk masyarakat.
"Namun begitu kita perlu berhati-hati kerana ada yang sekadar menggunakan nama acara amal tetapi sebenarnya mereka bukan bertujuan untuk itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Feel Good Run 2011, di sini, Jumaat.
Tambah Jac, dia tidak bersetuju sesebuah acara yang dikatakan sebagai amal kebajikan tetapi dilakukan dengan cara tidak sepatutnya.
"Selain itu, saya paling tidak suka jika acara amal kebajikan tersebut dibuat dalam keadaan yang tidak baik seperti pesta dengan hidangan minuman keras.
"Pada pendapat saya ia merupakan aktiviti yang mulia jadi apa salahnya dibuat dengan cara yang sesuai," katanya.
Antara barisan artis yang menjayakan program Feel Good Run.
Menurut Jac, dia menganggap aktiviti amal kebajikan merupakan tanggungjawab semua masyarakat lebih-lebih lagi golongan selebriti seperti mereka.
"Saya selalu menerima undangan untuk aktiviti amal dan jika saya ada masa terluang saya tidak menolaknya," katanya yang sudah lima tahun meraikan wad kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser di Hospital Kuala Lumpur.
Manakala bagi penyanyi Black (Mentor) yang turut menyertai program ini memberitahu larian amal seiring dengan minatnya yang gemar bersukan.
"Saya memang suka bersukan jadi pelawaan menyertai larian amal ini merupakan program yang bagi saya sesuai dengan jiwa saya.
"Lagi pula saya tidak sibuk dengan persembahan pada tarikh tersebut. Saya rasa bangga dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Selain Jaclyn Victor dan Black, beberapa artis terkenal turut menjayakan program amal ini antaranya, Daphne Iking, Cheryl Samad, Jehan Miskin, dan Dynas Mokhtar.
Acara larian amal yang akan berlangsung pada 3 Julai depan ini bertujuan untuk mengutip sumbangan kepada Yayasan Jantung Malaysia, Majlis Kanser Nasional (Makna).
Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM25 sebagai yuran penyertaan. Pendaftaran boleh dibuat secara atas talian www.ntv7.com.my/feelgoodrun sebelum 3 Jun. - mStarOnline

Friday, April 29, 2011

'Live Streaming' Untuk Konsert Wings


KUALA LUMPUR: Kumpulan rock popular, Wings bakal menjadi artis pertama di negara ini yang menggunakan teknologi 'Live Streaming' untuk konsert Wing Opera Hidup.
Konsert itu bakal berlangsung pada 29 April hingga 1 Mei ini di Panggung Istana Budaya menerusi Asyik.TV.
Melalui teknologi itu, para peminat yang berada di luar Kuala Lumpur mahupun luar Malaysia boleh menyaksikannya konsert tersebut secara langsung menerusi Internet.
Selain itu, peminat Wings boleh menyaksikan konsert berkenaan dengan kualiti HD dengan harga semurah RM15.
Mereka juga akan disajikan dengan akses eksklusif klip-klip video menarik sewaktu raptai, aktiviti belakang tabir dan juga temuramah bersama kumpulan khas.
Pakej ini juga memberi peluang kepada peminat Wings dan penggemar muzik rock tanah air untuk melihat sendiri kelainan persembahan yang bakal dibawakan oleh kumpulan ini bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan, melibatkan 43 pemuzik dan 16 orang penyanyi koir.
Penganjuran konsert yang julung-julung kalinya ini juga amat dinanti-nantikan oleh peminat setia Wings.
Untuk melanggan pakej ini sila layari laman web rasmi Wings- www.sayap2wings.com, asyik.TV atau hubungi 0192537575 - mStarOnline

Khalwat : Nasib Pelakon Razak Ahmad Diketahui 30 Jun


Razak Ahmad (kiri) berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza untuk sebuah program pada tahun 2003.
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Razak Ahmad akan mengetahui sama ada dia akan dipanggil membela diri ataupun dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang pada 30 Jun depan.
Keputusan itu akan diberikan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.
Pada prosiding Khamis, Wan Mahyuddin juga menetapkan 26 Mei ini untuk pihak pendakwaan syarie membalas hujahan yang difailkan oleh peguam syarie kepada Razak.
Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli memberitahu, pihaknya hanya menerima hujahan itu melalui mahkamah sebelum kes bermula.
Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, hadir berseorangan di mahkamah dan kelihatan terkejut apabila melihat kehadiran wartawan.
Dia juga ditegur oleh Wan Mahyuddin apabila tidak dapat memberikan alasan ketidakhadiran peguam syarienya, Mohamad Azman Karim pada prosiding itu.
“Sepatutnya apabila kamu melantik seorang peguam, beliau kena bertanggungjawab. Minta peguam untuk hadir pada prosiding akan datang, jika tidak kamu yang akan merana,” katanya.
Wan Mahyuddin meminta pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu untuk memberikan kerjasama memandangkan kes itu perlu dipercepatkan ekoran telah terlalu lama iaitu sejak tahun 2006.
Perbicaraan sebelum ini melibatkan keterangan tiga saksi pendakwaan.
Pelakon yang membawakan watak Tok Imam di dalam drama Geng Surau itu didakwa berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.
Dia didakwa kali pertama pada 27 Julai 2006 memgikut Seksyen 20 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa itu, Razak mengaku tidak bersalah manakala Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.
Atas pengakuannya, Selamah dihukum denda RM2,850 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda terbabit.
Berdasarkan fakta kes yang dibacakan kepada Selamah, pasukan penguat kuasa Jais bersama beberapa anggota polis pergi ke rumah itu untuk melakukan pemeriksaan setelah menerima maklumat daripada orang awam.
Pintu rumah dan jeriji besi rumah tersebut didapati dalam keadaan berkunci manakala rumah dalam keadaan yang agak gelap dan pintu rumah dibuka selepas beberapa minit diketuk.
Semasa itu, Selamah yang membuka pintu berpakaian lengkap dan pemeriksaan di bilik pertama rumah mendapati Razak sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.
Razak juga pernah popular dengan lagu Pagar Padi dan tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992.  - mStarOnline

Polis Tahan Dua Budak Giat Curi Motosikal


BALIK PULAU: Seorang budak lelaki berumur 11 tahun dan rakan perempuannya berumur 12 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian motosikal di sekitar kawasan Teluk Kumbar di sini sejak sebulan lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Supritendan Lai Far Hin berkata kedua-dua mereka dipercayai giat menjalankan kegiatan mencuri motosikal bagi tujuan berseronok dan bersiar-siar.
"Polis menahan kedua-duanya pada petang semalam ketika mereka sedang meronda (bersiar-siar) di kawasan flat di Teluk Kumbar dan siasatan mendapati motosikal yang ditunggang itu dilaporkan hilang pada Selasa lepas," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.
Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menemui tiga buah motosikal yang disembunyikan di kawasan semak berhampiran rumah mereka tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Beliau berkata, mereka dipercayai akan menyembunyikan motosikal yang dicuri setelah kehabisan minyak selepas bersiar-siar.
Lai berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua budak itu akan merayau-rayau di sekitar kawasan flat berkenaan selepas waktu persekolahan dan melakukan kegiatan mencuri dengan menggunakan pisau kecil bagi menghidupkan enjin motosikal.
Kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis, katanya.
Dalam kes berlainan, katanya polis menahan tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah pejabat dan mencuri 23 unit komputer riba dianggarkan bernilai RM35,000 di Krsytal Point di Bayan Baru dekat sini pada Isnin lepas.
Lai berkata ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 30 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 2 pagi di rumah masing-masing di George Town selepas polis menerima maklumat daripada pemilik pejabat itu berhubung kes kecurian terbabit.
"Setelah mengeledah rumah salah seorang daripada lelaki terbabit, polis menemui semula sebanyak 11 unit komputer riba berbagai jenama dan peralatan pecah rumah," kata beliau.
Katanya, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki itu yang bekerja sebagai mekanik audio kereta, tukang paip dan penjual aksesori telefon bimbit di pasar malam telah menjual 12 buah komputer riba dengan harga RM200 hingga RM500 seunit. - BERNAMA

Thursday, April 28, 2011

Imej Kuntilanak dekat jambatan runtuh

HANTU kuntilanak (dalam bulatan) dirakamkan oleh Pego Guntoro dekat sebuah jambatan di Tanjong Anom, Indonesia pada Isnin lalu.
TANJUNG ANOM - Seorang lelaki, Pego Guntoro berjaya merakamkan gambar hantu kuntilanak di celah sebatang pokok di sebuah jambatan yang runtuh di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar itu dirakamkan oleh Guntoro menerusi telefon bimbit berkamera pada petang Isnin lalu.
Dalam imej tersebut, hantu kuntilanak itu memakai baju labuh berwarna putih, rambut panjang mengurai manakala tangannya tidak kelihatan.
"Jika diperhatikan, ia seperti kuntilanak," kata seorang rakan Guntoro yang hanya mahu dikenali sebagai Ratno.
Menurutnya, semasa gambar itu dirakamkan, Guntoro kelihatan ketakutan dan menghantar imej tersebut kepadanya.
Penduduk di sekitar lokasi jambatan itu mengaku kuntilanak pernah dilihat di kawasan tersebut.
Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Agus menyatakan bahawa dia pernah melihat kuntilanak dengan wajahnya yang cukup cantik semasa melintas di atas jambatan itu.
Kuntilanak merupakan hantu yang dipercayai berasal dari ibu hamil yang mati. - Agensi

Bakal Isteri Putera William Mimpi Bogel


Putera William dan Kate Middleton
TINGGAL sehari lagi menjelang pernikahannya dengan Putera William, Kate Middleton mula merasai kegusaran di hatinya.
Malah pada saat-saat yang dianggap penuh ketegangan, Kate mula mengalami mimpi buruk sejak beberapa hari lalu.
Peliknya, Kate mengalami tekanan menjelang hari bahagianya apabila dia bermimpi sedang bertelanjang di depan altar sebelum dikahwinkan dengan anak mendiang Puteri Diana itu.
"Ternyata Kate kini sangat tertekan menjelang hari perkahwinannya. Ini kerana seluruh rakyat Britain akan menyaksikan perkahwinannya dengan Putera kesayangan ramai.
"Cuma apa yang dimimpikannya itu agak pelik lebih-lebih lagi dia sudah lama dia tidak mengalami mimpi buruk yang memalukannya. Mungkin dia terlalu berdebar dengan keadaan di sekelilingnya ," kata sumber terdekat Kate kepada laman portal Splashnews.com.
Tambah sumber tersebut, Kate sambil bergurau kepadanya mengatakan dalam mimpi tersebut, ketika dia bertelanjang di hadapan umum, dia tidak tahu bahagian tubuh manakah yang harus ditutupnya dahulu. - mStarOnline

Bayi baru lahir di bawah pokok


GEORGETOWN: Hanya beralaskan kain dan dibungkus dengan plastik hitam, seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di bawah pokok di Jalan Satu, Changkat Miden di Gelugor, pagi semalam.

Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui jam 7 pagi oleh orang ramai yang kebetulan berjoging di kawasan berkenaan.

Saksi, T Satyadevi, 69, berkata, ketika itu dia berada dalam rumah kakaknya tidak jauh dari kawasan berkenaan sebelum dikejutkan dengan penemuan bayi itu selepas terdengar tangisan bayi.

Menurutnya, dia yang bergegas ke kawasan itu diminta membuka bungkusan berkenaan.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati seorang bayi lelaki yang comel masih bertali pusat dalam bungkusan berkenaan dan terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

“Saya bersyukur kerana bayi comel ini ditemui hidup walaupun masih dalam keadaan bertali pusat serta tidak digigit anjing atau serangga berbisa lain,” katanya.
SINI...Satyadevi menunjukkan tempat bayi lelaki bertali pusat ditemui di bawah pokok, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai penemuan bayi lelaki yang masih bernyawa dan sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi penemuan.

Menurutnya, bayi lelaki yang masih belum diketahui bangsanya itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, pihaknya masih lagi menyiasat untuk mengenal pasti pihak yang tidak bertanggungjawab meninggalkannya di kawasan berkenaan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822. - myMetro

Wednesday, April 27, 2011

Sarimah Ibrahim Pernah Ditipu Cinta Siber


Sarimah Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim mengaku pernah kecewa gara-gara ditipu cinta siber menerusi laman sosial Facebook.
Menurut Sarimah dia tidak sangka dirinya mudah ditipu walaupun tahu tentang risiko meminati lelaki yang dikenali di Internet.
"Memang ramai yang datang dan ingin berkenalan secara lebih mendalam dengan saya. Tetapi mereka semua mahukan Sarimah Ibrahim yang berada di kaca televisyen dan bukannya diri saya sebenar.
"Bagaimanapun saya pernah kecewa gara-gara ditipu cinta siber. Kami berborak menerusi Facebook dan merancang untuk bertemu. Selamatlah saya tidak ke tempat yang dijanjikan untuk berjumpa.
"Sebaliknya saya hanya menunggu dia menelefon saya. Malang sekali, saya tidak dihubungi pun seperti yang disangka. Memang saya sedikit terkilan dengan lelaki itu," katanya.
Tambah Sarimah, kini dia sedang mengenali seseorang tetapi enggan bercerita lanjut mengenainya.
Sebaliknya, dia menyatakan hasrat untuk menjadi seorang ibu seperti rakan-rakannya yang lain.
"Sekarang ini naluri saya begitu teringin untuk menjadi seorang ibu, entahlah kenapa?
"Justeru, saya perlu mencari seorang teman hidup yang mempunyai impian yang sama seperti saya iaitu mahu menjadi seorang bapa. Dan ya, kini saya sedang mengenali seseorang," ujar Sarimah yang bakal muncul dalam pementasan teater Mak Dara Nyonya yang bakal berlangsung pada 6 hingga 12 Julai 2011.
Sementara itu, Sarimah juga sedang membuat perancangan untuk menerbitkan dua buah buku mengenai cara-cara menjadi seorang artis dan juga berkaitan dengan masalah-masalah wanita berdasarkan pengalaman yang dilaluinya. - mStarOnline

Melamar menggunakan teka silang kata


nilah teka silang kata yang lengkap dengan lamaran yang digunakan oleh Corey Newman.

WASHINGTON - Seorang lelaki, Corey Newman menggunakan teka silang kata sebagai satu cara unik untuk melamar kekasihnya, Marlowe Epstein, lapor sebuah akhbar semalam.
Newman yang berusia 28 tahun berpakat dengan akhbar Washington Post untuk bertanyakan soalan itu kepada Epstein, 31, menerusi satu kolum teka silang kata.
Pembayang untuk soalan nombor 51 berbunyi: Kata-kata yang mempunyai cincin padanya. Apabila Epstein menjawab dengan betul: "Adakah awak ingin berkahwin dengan saya?" Newman terus melutut dan menyerahkan sebentuk cincin permata dan mengulangi soalan sama.
Epstein yang namanya diambil daripada pembayang nama watak dalam filem Shakespeare in Love dan penulis layar filem Casablanca itu menerima lamaran tersebut.
Washington Post yang melihat lamaran tersebut sebagai satu cerita yang bagus telah merakamkan semua detik itu, sebelum memasukkan ke dalam laman webnya. - Agensi

Dukung isteri tak bernyawa


JOHOR BAHRU: Seorang lelaki pada mulanya dianggap wira apabila mendukung isterinya yang tidak sedarkan diri untuk mendapat rawatan di klinik di Bandar Baru Uda, di sini, kerana dikatakan akibat penyakit asma.

Namun, persepsi terhadap lelaki berusia lewat 20-an itu bertukar sejurus kemudian apabila dia gagal memberi penjelasan mengenai kesan jerut yang terdapat pada leher isterinya yang disahkan sudah meninggal dunia, sebelum melarikan diri.

Sumber polis berkata, ketika lelaki itu muncul di klinik berkenaan pada kira-kira jam 3 pagi semalam keadaannya memang agak mencurigakan kerana dia kelihatan seperti menggelabah.

“Malah dia bersungguh-sungguh meminta doktor memasang alat bantuan pernafasan kepada isterinya dengan harapan wanita akan kembali bernafas. Bagaimanapun usaha itu sia-sia kerana menurut doktor isterinya sudah meninggal dunia ketika di bawa ke klinik berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, ketika pemeriksaan dijalankan terhadap mangsa, doktor menemui kesan jerutan pada leher wanita berkenaan dan sejurus dimaklumkan kepada lelaki itu, dia mula menggelabah dan keluar dengan alasan mahu menghubungi ahli keluarganya sebelum menghilangkan diri.

“Identiti lelaki dan wanita berkenaan tidak diketahui berikutan mereka tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ketika mendaftar dan ditambah pula, ketika itu keadaan agak kelam-kabut,” katanya.

Menurut sumber, kakitangan klinik itu kemudian menghubungi polis dan wanita berkenaan kemudian dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian dan kes disiasat.

“Kami akan meneliti rakaman kamera litar tertutup klinik berkenaan untuk mengenal pasti identiti lelaki terbabit,” katanya. - myMetro

Sekolah ‘ditembak’


RETAK...anggota Unit Forensik polis memeriksa kesan tembakan di tingkap kaca di tingkat tiga sekolah terbabit, semalam.

AMPANG: Pelajar Sekolah Kebangsaan Agama Islam Adni, Taman Seri Ukay, di sini, gempar selepas beberapa peluru ditemui selain terdapat kesan tembakan di cermin tingkap bangunan tingkat tiga itu, semalam.

Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata tembakan dipercayai dilakukan individu tidak dikenali lebih 50 meter dari sebuah kondominium di belakang sekolah berkenaan.

Katanya, kejadian itu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti peluru digunakan.

“Kami sudah menghantar anggota forensik bagi menjalankan siasatan yang akan mengenal pasti jenis peluru digunakan dalam tembakan itu,” katanya di sini, semalam.

Kejadian itu diketahui selepas seorang guru membuat laporan di Balai Polis Ulu Klang kira-kira jam 10.30 pagi, semalam selepas melihat cermin tingkap di sekolah itu berkecai akibat kesan tembakan.

Beliau berkata, kira-kira 15 minit kemudian, pihaknya menghantar pasukan forensik untuk menyiasat punca kejadian itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39, Akta Senjata Api 1960,” katanya yang meminta orang ramai membantu siasatan jika mengetahui kejadian itu.

Sementara itu, seorang pekerja sekolah berkenaan yang enggan dikenali memberitahu tembakan berkenaan mungkin berlaku malam kelmarin atau Ahad lalu hingga tidak disedari penghuni sekolah.

Katanya, perkara itu tidak dihebohkan menyebabkan suasana di sekolah itu masih tenang dan pembelajaran berjalan seperti biasa.

“Seorang guru menyedari perkara itu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut kerana bimbang dengan keselamatan pelajar,” katanya yang ditemui di sekolah berkenaan, semalam. - myMetro

Tuesday, April 26, 2011

Imran tolak wanita bogel

SELEPAS bergelar suami, Imran kini lebih berhati-hati dalam setiap sikap pembawaan dirinya.
SEBUAH majalah ternama dunia versi India yang tidak disebutkan namanya baru-baru ini telah membuat undian tentang kualiti paling utama pada lelaki yang diingini wanita, dan kualiti tersebut ialah kesetiaan.
Sehubungan itu, disebabkan kesetiaan jugalah yang menjadi penyebab utama buat aktor muda, Imran Khan menolak tawaran majalah tersebut untuk menghiasi muka depan bagi keluaran yang menampilkan isu tersebut.
Ini kerana Imran dikehendaki bergambar dengan seorang perempuan gemuk yang berbogel tanpa seurat benang. Namun khabarnya Imran yang mengahwini Avantika Januari tahun ini menolak dengan baik tawaran tersebut.
Seorang rakan kepada keluarga Imran memberitahu agensi berita India, IANS: "Sebuah majalah wanita ternama dunia versi India hanya menjadikan wanita sebagai penghias muka depannya."
Namun kali ini, majalah tersebut mahu mendapatkan khidmat Imran bersesuaian dengan artikel tentang kualiti pada diri lelaki yang dikehendaki oleh golongan wanita yang ditampilkannya.
Tambahnya: "Wakil majalah tersebut melihat Imran sebagai model sempurna bagi mewakili kesetiaan disebabkan hubungan cintanya yang kukuh bersama Avantika sehingga membawa mereka ke gerbang perkahwinan."
"Imran hanya bersetuju untuk menimbangkan semula tawaran tersebut jika model yang akan bergambar bersamanya itu memakai pakaian." - Kosmo

Orkid terlantar sakit


Orked Abdullah bersama kumpulan Les Coasters

AMPANG: Penyanyi era 60-an yang popular dengan lagu Penawar Rindu, Datin Orkid Abdullah kini terlantar sakit di rumahnya di Dataran Ukay 2, Hulu Klang, dekat sini.

Orkid, 64, yang menghidap ketumbuhan hormon tidak stabil (paraganglioma) sejak tiga tahun lalu, berada dalam keadaan lemah dan hanya mampu terbaring atas katil. Katanya, keadaan fizikalnya berada dalam keadaan sangat lemah, malah tengkuk serta kepalanya tidak dapat ditegakkan dengan stabil. 

“Saya tidak lalu makan. Jika masuk sesuap pun, akan muntah semula. Nak angkat tangan pun tak berdaya dan nak bercakap pun sukar. 

“Semua dalam badan sudah ‘upset’. Keseluruhan tubuh badan terasa sangat lemah,” katanya ketika dikunjungi di rumahnya, semalam.

Beliau dijaga anak ketiganya, Mohd Noorshafri Datuk Mokhtar, 35. Buat masa ini, beliau hanya boleh minum milo, susu dan makan sayur-sayuran.

Kata Noorshafri, ibunya berulang-alik ke hospital setiap bulan untuk rawatan susulan dan bekalan ubat.

“Ibu mula terlantar sakit sejak Julai tahun lalu. Buat masa ini, saya cuba memberikan penjagaan terbaik dan membawa ibu ke hospital. 

“Sekarang, beliau menyatakan tidak mahu lagi ke hospital. Saya hanya berserah pada Allah dan demi seorang ibu, saya cuba membuat apa saja untuknya memastikan beliau selesa,” katanya. 

Orkid pernah menjalani dua pembedahan pada 2008 dan 2010 dan turut menghidap darah tinggi dan mengambil insulin untuk kencing manis.

Sebelum ini, turut mengunjungi penyanyi ghazal dan Melayu asli itu adalah Datin Azizah Mohamad, Mak Jah, Aspalela Abdullah, S Rohani dan Mariani. - myMetro

Pulang wang pakej umrah


SHAH ALAM: “Apa yang saya mahukan hanyalah supaya wang kami dikembalikan,” kata peguam, Hermes Media Putra Ibrahim selepas sebuah agensi pelancongan diterajui anggota kumpulan nasyid popular bersetuju mengembalikan wang pakej umrah dirinya, isteri dan anak mereka.

Hermes Media Putra, 45, ketika ditemui berkata, beliau berharap pengguna lain dapat mengambil pengajaran supaya tidak mudah terpesona dengan sebarang tawaran yang membabitkan individu popular. 

“Jangan cepat terpedaya dan selidik dulu latar belakang sesebuah syarikat,” katanya. Beliau berkata, walaupun ada sedikit rasa terkilan apabila kes itu mengheret nama penyanyi nasyid pujaan ramai, pihaknya lega kerana ia akhirnya dapat diselesaikan. 

“Bayangkan semua persiapan sudah dibuat, cuti sudah diambil, tetapi diberitahu pada saat akhir tidak dapat ke Tanah Suci? 

“Mujur saya berkemampuan untuk membayar kepada agensi lain. Bagaimana jika ia berlaku kepada orang yang tidak mampu?” katanya.

Pada 8 Oktober tahun lalu, Hermes Media Putra (plaintif) memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Majistret di sini terhadap Hijjazlegend Travel & Tours Sdn (Hijjazlegend) Bhd (defendan) bagi menuntut RM14,070 untuk diri, isteri dan anaknya.

Wang itu adalah bayaran pakej umrah yang ditawarkan Hijjazlegend bagi dirinya, isteri dan seorang anak mereka, yang sudah dibayarnya pada 2 April 2010.

Dalam penyata tuntutan itu, plaintif mendakwa defendan gagal membuat pembayaran kepada sebuah lagi agensi pelancongan, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), yang sepatutnya mengendalikan pakej umrah mereka.

Ekoran kegagalan defendan itu, plaintif dan isteri serta anak mereka dimaklumkan pada 15 Mei 2010 oleh Andalusia bahawa penerbangan mereka yang dijadualkan berlepas pada 16 Mei 2010, terpaksa dibatalkan.

Plaintif dalam permohonan samannya menyebut, beliau beberapa kali cuba menghubungi syarikat itu dan pegawainya melalui telefon tetapi cubaannya gagal.

Berikutan itu, plaintif membuat laporan polis pada 15 Mei tahun lalu dan mengeluarkan wang sendiri untuk dibayar kepada Andalusia Travel & Tours memandangkan segala persiapan untuk mengerjakan umrah sudah dibuat.

Plaintif memberitahu, sebaik pulang dari umrah, beliau beberapa kali cuba menghubungi defendan untuk menuntut wang berjumlah RM14,070, tetapi defendan gagal, enggan dan ingkar untuk membuat sebarang pembayaran, walaupun plaintif menghantar dua surat tuntutan bertarikh 31 Mei dan 7 Jun tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Hijjaz, Isman Nadim Isam ketika dihubungi memberitahu, pihaknya memohon maaf terhadap segala kesulitan yang dialami plaintif dan keluarganya berikutan kes itu. Beliau yang juga salah seorang pengarah di Hijjazlegend berkata, segala urusan pembayaran akan diuruskan menerusi peguam mereka seperti yang sudah dipersetujui kedua-dua pihak semalam.

“Pakej umrah itu ditawarkan dengan harga murah dan apabila ada masalah yang tidak dapat dielakkan, kami tidak dapat melunaskan apa yang ditawarkan dalam pakej itu. 

“Ini adalah kesilapan dalaman syarikat dalam melaksanakan strategi perniagaan,” katanya.

Pada prosiding semalam, Isman tidak hadir dan hanya diwakili peguamnya, Mohd Irwan Mohd Mubarak. 

Sebelum ini, pada 23 November tahun lalu, Hijjazlegend diarahkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Alor Star untuk membayar RM24,000 kepada enam bakal jemaah umrah selepas agensi itu membatalkan pakej umrah mereka. - myMetro

Monday, April 25, 2011

‘Ninja’ pecah cermin 17 kereta


PECAH...polis memeriksa kenderaan yang dirosakkan di tempat kejadian, semalam.

RAWANG: “Saya beranikan diri menahan lelaki itu kerana bimbang banyak cermin kenderaan lain dipecahkannya,” kata Loges Karna, 30 menceritakan kejadian lelaki berusia 20-an yang mengamuk ‘ala ninja’ di Jalan Bandar Rawang 15, dekat sini, pagi semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi itu apabila seorang lelaki tidak berbaju dan berseluar pendek kelabu dipercayai tidak siuman menggunakan sebatang besi paip untuk mengetuk dan memecahkan 17 cermin kereta di kawasan itu.

Katanya, pada peringkat awal, suspek memecahkan cermin kereta Honda City dan Proton Arena.

“Tujuh orang awam yang berada di kawasan kejadian membelasah lelaki terbabit dan menghalangnya memecahkan kereta lain.

“Mangsa yang meronta-ronta memohon dilepaskan, tetapi tidak dipedulikan sebelum diserahkan kepada polis,” katanya di sini, semalam.

Loges yang juga pekerja bengkel kereta terkejut selepas melihat beberapa cermin kenderaan lain yang dipakir berdekatan bengkelnya dipecahkan.

Katanya, lelaki itu memukul berkali-kali cermin kenderaan di hadapannya sehingga pecah sebelum bergerak ke kenderaan lain.

Beliau berkata, kebanyakan pemilik kenderaan yang diletakkan di kawasan itu bekerja di luar Rawang antaranya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Putrajaya.

Penduduk, Hisham Abdullah, 29, berkata lelaki tidak dikenali itu terlebih dulu dilihat duduk termenung di lorong pejalan kaki berdekatan.

Menurutnya, dia tidak menyangka lelaki itu bertindak sedemikian kerana pada awalnya lelaki terbabit kelihatan tenang.

“Lelaki itu ditahan sebelum anggota polis membawanya ke Balai Polis Rawang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, sumber polis memberitahu, lelaki berusia lewat 20-an terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, lelaki terbabit kini masih ditahan untuk siasatan. - myMetro

Pekerja lari bertempiaran


BANDAR BAHARU: “Sudah ratusan kali saya membuka beg ditinggalkan di kawasan lebuh raya ini yang kebanyakannya berisi pakaian, tapi kali ini amat memeranjatkan kerana ada mayat budak.”

Demikian kata pekerja trak tunda dikenali sebagai Ng, 45, yang menemui mayat budak lelaki berusia lebih setahun dalam satu beg pakaian di Kilometer 175.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat selekoh susur keluar Plaza Tol Bandar Baharu, kelmarin.

Ng berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika dia melalui laluan berkenaan bagi mencari kereta rosak yang memerlukan bantuan trak tunda.

“Ketika lalu di situ, dua penjaga landskap yang melakukan kerja pembersihan menahan trak saya. Saya memang mengenali mereka dan segera memberhentikan kenderaan saya.

“Mereka memaklumkan terjumpa satu beg mencurigakan dan meminta saya membukanya kerana mereka takut berbuat demikian,” katanya.

Ng berkata, sebaik membuka beg itu dia terkejut besar apabila mendapati ada mayat budak di dalamnya. 

“Saya memberitahu dua pekerja terbabit mengenainya, tetapi mereka berdua bertempiaran lari kerana takut,” katanya yang menghubungi polis selepas itu.

Menurut Ng, dia sudah 17 tahun menggunakan laluan itu dan berulang-alik melaluinya sekurang-kurangnya lima kali sehari, namun ini kali pertama menemui mayat budak diletakkan di dalam beg di tepi lebuh raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris berkata, polis bergegas ke tempat kejadian mendapati mayat budak itu memakai baju warna merah dan berseluar pendek.

“Beg mengandungi mayat budak itu diletakkan di sebelah tiang lampu di kawasan pokok hiasan tidak jauh dari plaza tol,” katanya.

Menurutnya, budak itu dipercayai berketurunan India.

“Siasatan mendapati tiada kesan kecederaan pada budak itu yang dipercayai baru beberapa jam meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal juga mendapati ada cecair keluar dari mulut serta hidung mayat budak itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, mayat budak cukup sifat itu dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab membuang mayat bayi itu.

Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat kejadian supaya dapat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu di talian 04-4076545. - myMetro

Related Posts with Thumbnails

heratBeat