aDs

aluan

Followers

Thursday, June 9, 2011

200 pekerja Vietnam, Bangladesh bertempur gara-gara wanita


NILAI: Gara-gara seorang wanita, kira-kira 200 pekerja asing warga Vietnam dan Bangladesh sanggup merusuh sesama sendiri menyebabkan 23 daripada mereka cedera dalam satu pergaduhan di asrama sebuah kilang tekstil di Taman Semarak, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, rata-rata pekerja lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu membawa senjata seperti batang besi dan kayu untuk ‘bertempur’ di kawasan kilang berkenaan sebelum berlanjutan hingga ke kawasan asrama didiami mereka.

Namun, tindakan pantas ratusan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban termasuk dua pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya meleraikan pergaduhan itu.

Hasil pemeriksaan kemudian mendapati seramai 23 lelaki warga asing mengalami kecederaan termasuk tiga daripada mereka yang dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan lanjut.

Polis yang menerima maklumat mengenai insiden rusuhan itu pada jam 9 malam kelmarin berjaya mengawal keadaan lapan jam kemudian iaitu kira-kira jam 5 pagi semalam.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mhd Hassan, berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berpunca tindakan seorang pekerja Bangladesh cuba mengurat seorang wanita Vietnam ketika bekerja syif malam pada Isnin lalu.

“Wanita itu bagaimanapun tidak mahu melayan lelaki berkenaan dan mengadu kepada rakan senegara lain yang turut bekerja di kilang sama.

“Akibat rasa tidak puas hati, lelaki itu kemudian dibelasah menyebabkan berlaku ketegangan yang melarat hingga malam tadi (semalam),” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurut beliau, pergaduhan antara dua kumpulan itu pada awalnya berlaku di kilang tekstil itu sebelum berlanjutan ke asrama mereka yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ.

“Keadaan bagaimanapun berjaya dikawal daripada menjadi lebih teruk dan pemeriksaan mendapati kira-kira 200 pekerja terbabit dalam pergaduhan berkenaan. Seramai 23 orang cedera dipukul dengan objek tumpul termasuk tiga yang dibawa ke HTJS,” katanya.

Abd Manan berkata, pihaknya belum melakukan sebarang tangkapan bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 148, Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, kita kini menempatkan 150 pegawai dan anggota termasuk satu pasukan FRU sekali gus memastikan kawasan asrama itu selamat,” katanya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat