PETALING JAYA: Penyanyi Ahmad Shahir Zawawi, 24, atau lebih dikenali sebagai Shahir (AF8) mengalami retak tulang tangan sebelah kiri selepas terjatuh di bilik air di kampungnya di Kampar, Perak.
Menurut Pengurus Artis, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), Suriani Warci kejadian pada pagi Sabtu lalu itu berlaku ketika Shahir sedang mandi.
"Dia sedang bercuti di kampung halamannya. Ketika di bilik air, dia tergelincir lalu jatuh menyebabkan tulang tangannya retak. Selepas itu dia telah dibawa ke pusat perubatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
"Kejadian tersebut tidak terlalu teruk, dia hanya mengalami retak sahaja dan mungkin akan pulih cepat dan meneruskan aktiviti seninya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Tambahnya, disebabkan kejadian tersebut Shahir bercuti selama seminggu untuk berehat.
Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu kini sedang sibuk dengan promosi filem pertama berjudul Karak yang sedang ditayangkan di pawagam.
Shahir yang dihubungi bagi mendapatkan penjelasan lanjut bagaimanapun tidak menjawab panggilan telefon. - mStarOnline
No comments:
Post a Comment