KUALA LUMPUR: Penyanyi Dayang Nurfaizah, 30, mengaku belum bersedia untuk menulis lirik-lirik lagu sendiri terutama berkaitan perasaan dan cinta kerana tidak pernah mengalaminya.
Kata Dayang, dia merupakan seorang yang gemar berahsia dan tidak tahu untuk menzahirkan rasa hatinya.
"Bukan saya tidak mahu tulis lirik sendiri tetapi saya tiada inspirasi terutamanya lagu berkaitan dengan cinta.
"Saya sendiri tidak pernah merasai bagaimana bercinta dan putus cinta, malah saya juga tidak tahu untuk ekspres perasaan yang saya rasa ke dalam sebuah lagu," katanya yang ditemui pada sidang media Majlis Pelancaran Album Dayang & Cinta, di sini, Selasa.
Tambahnya, dia lebih gemarkan sebuah lagu yang menggunakan lirik yang mudah difahami berbanding mempunyai maksud tersirat dan tersurat.
"Selalunya saya akan berjumpa sendiri dengan komposer dan beritahu apa yang saya mahu dalam sesebuah lagu itu.
"Kalau boleh saya mahu lirik yang mudah difahami kerana mudah untuk saya menghayatinya terutamanya jika lagu-lagu cinta," ujarnya.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta ini, dia masih belum menemui pasangan yang sesuai buat dirinya untuk menjadi pasangan hidup.
"Saya tidak pernah bercinta, memang hidup saya agak bosan kerana jika tidak bekerja, saya akan berada di rumah dan jika keluar hanya ditemani keluarga.
"Tapi saya yakin jodoh itu akan sampai. Jika ditanya saya seorang yang memilih, ia sudah tentu kerana saya memilih untuk menentukan masa depan saya," katanya.
Bercerita tentang album yang memuatkan 12 buah lagu ini, kata Dayang kesemuanya berkisarkan tentang lagu-lagu cinta yang mempunyai nilai positif.
"Berbeza dengan album sebelum ini, kesemua lagu dalam album terbaru berunsur cinta yang positif, bukan sahaja antara manusia sesama manusia tetapi kepada alam semula jadi," katanya yang juga merupakan selebriti Riben Merah, Majlis AIDS Malaysia.
Bersempena pelancaran album tersebut juga, Dayang dengan kerjasama Maybank Berhad bakal mengadakan persembahan amal pada 2 Julai depan di Hardrock Cafe, di sini bagi mengutip dana untuk Majlis AIDS Malaysia.
Sementara itu, Album yang sudah berada di pasaran sejak sebulan lalu ini turut menampilkan beberapa komposer terkenal seperti Yasin, Afdlin Shauji, Omar K dan Audi Mok.
Manakala dua lagu berjudul Sayang dan Perlukan Cinta menampilkan dua penyanyi Indonesia iaitu Marcell dan Tompi sebagai pasangan duetnya. - mStarOnline
No comments:
Post a Comment