RYAN CLEARY bersama ibunya keluar dari Mahkamah Mahkota Southwark Crown Court, Britain semalam. |
WICKFORD - Seorang penggodam yang didakwa menggodam sistem komputer Agensi Jenayah Terancang Serius Britain (Soca) pulang ke rumahnya semalam selepas ibunya berjanji tidak akan membenarkan dia melayari Internet, lapor sebuah akhbar semalam.
Penggodam tersebut, Ryan Cleary, yang didakwa orang penting dalam kumpulan penggodam antarabangsa, LulzSec, bertemu semula dengan ibunya, Rita selepas dia dibenarkan ikat jamin oleh hakim sebuah mahkamah setelah tujuh hari ditahan reman polis.
Remaja berusia 19 tahun yang gemar menyendiri itu ditangkap dalam operasi bersama polis Britain dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di rumah ibunya di sini, England pada Isnin lalu kerana disyaki mensabotaj beberapa organisasi kerajaan termasuk Soca.
"Saya berasa amat lega kerana dapat membawa anak saya pulang. Sepanjang tujuh hari dia ditahan, ia merupakan hari paling panjang dalam hidup kami," kata Rita.
"Dia memberitahu saya bahawa dia mungkin gila berada dalam tahanan," tambahnya.
Cleary yang diperintahkan memakai penanda elektronik, berdepan lima dakwaan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Akta Jenayah Britain.
Kumpulan LulzSec pula dikaitkan dengan serangan siber ke atas beberapa laman web termasuk Perkhidmatan Kesihatan Britain (NHS), Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan syarikat permainan komputer Sony serta Nintendo.- Agensi
No comments:
Post a Comment