aDs

aluan

Followers

Thursday, June 2, 2011

‘Terbayang isteri hamil’


Sebahagian PATI yang diselamatkan oleh APMM

PENGERANG: “Dalam kesejukan, saya mengerah sepenuh kudrat untuk berpaut pada tong plastik sambil melaungkan azan, dan serta-merta terbayang wajah isteri yang mengandung dua bulan cahaya mata pertama kami,” kata Selamat Mustar, 37, ketika ditemui di Kompleks Jeti Penumpang dan Marina Awam di sini, semalam.

Pekerja ladang itu antara 17 daripada 24 mangsa yang terselamat selepas terapung lebih tiga jam apabila bot pancung sarat dengan pendatang asing tanpa izin dinaiki karam di perairan selatan Tanjung Ayam, Pengerang, jam 4.30 pagi, semalam.

Setakat jam 7 malam tadi, nasib tujuh lagi penumpang belum diketahui dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Selamat berasal dari Medan, Indonesia berkata, hatinya berdebar kuat dan cemas ketika menaiki bot itu di satu lokasi rahsia dipercayai berhampiran kawasan kilang di Sungai Rengit, jam 2 pagi, semalam.

Kumpulan itu dibawa ke lokasi rahsia oleh sindiket yang menguruskan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Tekong mengendalikan bot dengan laju dan tanpa menggunakan lampu kerana bimbang ditahan pihak berkuasa. Kira-kira jam 4.20 pagi, air mula memasuki bot daripada bahagian belakang.

“Bot sesak dengan penumpang dan saya rasa ia semakin memberat, ketika bot melambung kali pertama dan kedua selepas melanggar ombak, saya dapat merasakan ada sesuatu yang buruk akan terjadi.

“Telahan saya benar kerana pada lambungan ketiga, bot seolah-olah terbang sebelum terhempas lalu terbalik, saya terjatuh dan hanya mampu meminta tolong selain melaungkan nama Allah,” katanya.

Menurut Selamat, mereka berpaut pada tong minyak dan serpihan kayu sehingga jam 8 pagi.

“Kami kesejukan dan lemah kembali bertenaga selepas menyedari kehadiran sebuah kapal dagang, kami melambai mereka sebelum diselamatkan.

“Syukur kerana saya selamat, ia mungkin rezeki anak sulung,” katanya yang sudah dua tahun menetap di negara ini dan bekerja di ladang di Batu Gajah, Perak.

Bakal pengantin yang juga mangsa bot pancung karam itu, Ilham Abd Muin, 32, berkata, dia sudah bekerja tiga tahun di negara ini sebagai buruh kontrak bercadang pulang ke Medan untuk menguruskan perkahwinannya.

“Ini kali pertama saya mendapatkan khidmat tekong dan tidak sangka ditimpa nasib malang selepas bot dinaiki karam.

“Ketika dalam perjalanan, beberapa rakan bertanyakan berkaitan perancangan perkahwinan dan ketika kami seronok berbual, tiba-tiba bot terhempas menyebabkan penumpang panik.

“Dalam sekelip mata, bot karam dan hanya mendengar jeritan rakan meminta tolong namun saya tidak dapat berbuat apa-apa dan cuba berenang mencari sesuatu untuk berpaut,” katanya yang tidak sabar untuk pulang ke Medan bertemu keluarga dan tunangnya.

Seorang lagi mangsa, Agus Umuan, 46, berkata, dia menyesal kerana menggunakan perkhidmatan tekong untuk pulang ke Medan.

“Ketika kejadian, saya hanya mampu mencapai beg sebelum bot mula karam, saya sempat mengumpul botol plastik dan diikat di pinggang untuk mengapungkan diri.

“Pada masa sama, saya turut bertakbir dengan harapan ada pihak yang mendengar dan menghulurkan bantuan,” katanya.

Agus dan penumpang lain membayar RM750 setiap seorang untuk perjalanan sehala dari Pengerang ke Batam sebelum ke Medan. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat