KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak terkenal, Zaibo atau Zainal Ariffin Abd Hamid, 55, tidak menyangka jalinan kasih antara Betty Benafe dan Nash berakhir selepas melihat mereka berdua sungguh akrab sebelum ini.
Menurut Zaibo, ketika menghadiri majlis kenduri anak saudaranya tahun lalu, dua selebriti berkenaan kelihatan mesra bersama.
“Betty naik ke pentas dan menghadiahkan dua kuntum mawar putih kepada Nash ketika menyanyikan lagu ‘Doa Buat Kekasih’ dalam majlis berkenaan.
“Anak Nash, Syamir Nasha juga nampak rapat dengan Betty. Yang boleh saya katakan, mereka seakan-akan ada hubungan istimewa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Zaibo berkata, mungkin hubungan yang baru terjalin antara Nash dan Betty ‘masih terlalu longgar’, justeru mereka berdua ada alasan sendiri untuk membawa haluan masing-masing.
“Saya tidak berani bertanya lebih lanjut sejauh mana hubungan mereka. Saya juga tidak mahu dianggap terlalu campur tangan dalam hal peribadi orang lain, tetapi jika Nash mahupun Betty mahu bercerita dan bertanya pandangan, saya sedia mendengar,” katanya.
Sementara itu, Betty berkata, meskipun tidak memiliki apa-apa hubungan dengan Nash, memori manis ketika bersama bekas penyanyi kumpulan Lefthanded itu masih segar dalam ingatan.
“Satu kelebihan Nash, dia hebat di dapur. Sebut apa saja masakan, laksa, nasi beriani atau apa saja, dia boleh sediakan.
“Banyak kelebihan dalam diri Nash yang tidak mungkin akan saya temui pada lelaki lain, namun saya reda dengan ketentuan takdir.
“Mana tahu, jika ada jodoh saya dengan dia, walaupun mungkin sudah berpisah, tidak mustahil kami bertaut kembali,” katanya yang turut menafikan orang ketiga menjadi punca perpisahan dengan Nash.
Nash gagal dihubungi untuk menjelaskan kedudukan sebenar mengenai hubungan mereka. - myMetro
No comments:
Post a Comment