JOHOR BAHRU: Impian dua doktor lelaki kembar untuk berkahwin dengan pasangan masing-masing yang juga dilahirkan sebagai kembar tetapi bukan adik-beradik, menjadi kenyataan apabila mereka diraikan sebagai raja sehari dan berkongsi detik bersejarah itu di Taman Sri Pulai Perdana di sini, semalam.
Lebih manis, majlis persandingan mereka menjadi tarikan ramai apabila menjadi medan pertemuan empat pasangan kembar termasuk adik-beradik pasangan pengantin perempuan, selain pasangan kembar yang menjadi pengapit pengantin lelaki.
Menceritakan detik perkahwinan itu, Dr Mohd Azreen Ezainy Mohmad Sallih, 25, berkata, dia dan adik lelaki kembarnya, Dr Mohd Azreen Ezairy, tidak menyangka bertemu jodoh dengan pasangan masing-masing yang turut dilahirkan kembar.
Doktor di Hospital Sultan Ismail (HSI) itu berkata, dia berkenalan dengan isterinya, Nurul Syzzeren Zulkifli, 25, menerusi sebuah laman web sosial sebelum tertarik dengan hati budi wanita yang berasal dari Bandar Baru Uda di sini.
“Secara kebetulan, saya dapat tahu isteri bekerja sebagai juruteknologi makmal perubatan di hospital sama, sebelum berkongsi kisah kehidupan masing-masing.
“Umpama bermimpi, apabila isteri memberitahu dia juga dilahirkan sebagai kembar hingga perkara itu menambah kemesraan kami yang mula menjalin hubungan cinta sejak lebih setahun lalu.
“Seronok apabila mendapat isteri yang juga anak kembar kerana percaya, dia lebih mudah memahami perasaan saya kerana mempunyai kakak kembar,” katanya.
Dr Ezainy berkata, dia dan adiknya bercadang berbulan madu bersama pasangan masing-masing di Kaherah, akhir Mei ini iaitu tempat mereka melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.
“Kami memasang impian memperoleh cahaya mata kembar pada masa depan bagi membolehkan kami merasakan pengalaman menjadi ibu bapa pasangan kembar seiras, selain membesarkan mereka sebagai insan berjaya,” katanya yang menambah majlis itu dihadiri kakak iparnya (kembar Syzzeren), Nurulsyzzenie.
Sementara itu, Dr Ezairy berkata, sempena perkahwinan itu, dia dan abangnya yang berkhidmat di hospital sama memilih konsep perkahwinan klasik moden dan taman kerana berkongsi warna kegemaran iaitu hijau.
Menurutnya, mereka juga menyambut baik cadangan sepupu mereka, iaitu Mohd Rahman Mustafa, 29, dan adik kembarnya, Mohd Rahim untuk menjadi pengapit di majlis perkahwinan itu yang berlangsung di kediamannya. - myMetro
No comments:
Post a Comment