SEREMBAN – Hajat seorang tentera untuk membawa anak-anak dan isteri bermandi-manda di air terjun tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan malam kelmarin.
Difahamkan, mangsa, Koperal Rosli Ngathimeen, 37, hanya sempat berbual dengan anak bongsunya yang berusia empat tahun sebelum berlaku kemalangan.
“Semalam dalam jam 9.30 malam, dia menelefon saya untuk beritahu yang hari ini (semalam) dia cuti, kemudian nak bawa anak-anak pergi mandi di air terjun.
“Lepas itu dia sempat juga bercakap dengan anak bongsu ini. Tapi tidak tahu apa pula yang mereka cakap bersama,” jelas balu mangsa, Ramadieh Berahim, 35 di perkarangan luar rumah mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dekat sini, semalam.
Katanya, seminggu sebelum kemalangan, mangsa yang baru membeli sebuah kereta jenis Honda Accord dikatakan sering pulang ke rumah di Mantin dari tempat kerja.
“Selalunya dia akan pulang seminggu sekali sahaja, tapi sejak hari Isnin lepas, hari-hari dia balik ke rumah,” katanya.
Ramadieh yang tidak bekerja dikejutkan dengan berita kemalangan yang meragut nyawa suaminya itu kira-kira jam empat pagi semalam oleh anggota polis.
“Pukul empat pagi tadi (semalam) polis datang ke rumah beritahu suami kemalangan dan dia telah meninggal,” katanya.
Difahamkan kira-kira jam 11.15 malam kelmarin, mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang dengan memandu kereta jenis Honda Accord ke rumahnya dari bertugas di Kem Syed Sirajudin Gemas terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Sungai Gadut, Jalan Seremban-Tampin.
Jurucakap polis memberitahu, mangsa yang memandu secara bersendirian dari arah Rembau ke Seremban, maut di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
“Malah kereta yang dipandunya itu turut remuk dan melekat pada batang pokok tersebut dan mangsa telah tersepit dalam kereta itu.
“Sewaktu tiba di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di bahu jalan,” katanya.
Mangsa yang telah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Darat Malaysia (ATM) hampir 19 tahun meninggalkan seorang isteri dan lima anak berumur antara 12 tahun hingga empat tahun.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya masih lagi menyiasat punca kejadian itu.
Jenazah mangsa yang dibawa ke HTJS untuk bedah siasat telah dituntut kelurga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Mantin Dalam, petang semalam.
No comments:
Post a Comment