SEREMBAN 17 Mei - Seorang wanita warga China yang belajar di sebuah kolej swasta dekat sini ditemui mati dalam keadaan berulat di sebuah bilik apartmen di Mantin, hari ini.
Mayat mangsa berusia 21 tahun itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan yang memecah masuk bilik berkenaan selepas beberapa pelajar mengadu tidak tahan dengan bau busuk.
Menurut jurucakap polis, mayat mangsa dijumpai terbaring di bilik tidurnya dalam keadaan lengkap berpakaian.
"Ketika ditemui, keadaan mayat sudah berulat dan mangsa disyaki sudah meninggal dunia sejak seminggu yang lalu.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat bagi mengesan punca kematian," katanya.
Difahamkan, mangsa tinggal seorang diri di bilik berkenaan dan beberapa rakannya memberitahu bahawa dia tidak keluar dari bilik sejak seminggu lalu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu.
Katanya, buat masa ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan pihaknya sedang menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian. - utusan
No comments:
Post a Comment