aDs

aluan

Followers

Thursday, May 26, 2011

Suri rumah tuntut ganti rugi, lantai papan diserang anai-anai


anai-anai

ALOR SETAR 25 Mei - Seorang suri rumah memasang lantai jenis papan terrazzo di rumahnya di Taman Pelangi, Kuala Kedah dekat sini bagi mengurangkan masalah sengal-sengal kaki apabila memijak lantai tersebut.

Namun masalah lain pula yang timbul apabila lantai tersebut yang dipasang tiga bulan lalu di ruang tamu, tiga bilik tidur dan ruang makan tiba-tiba diserang anai-anai.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, suri rumah tersebut, Zuraidah Yahaya, 50, mengemukakan tuntuan kepada syarikat Northwood Enterprise melalui Tribunal Tuntuan Pengguna Malaysia (TTPM) hari ini.

Harga lantai itu termasuk kos pemasangan ialah RM3,800 namun Zuraidah telah membayar RM3,200 kepada syarikat berkenaan.

Zuraidah menuntut syarikat tersebut membayar RM5,530 kerana dia terpaksa mengeluarkan belanja perkhidmatan menghapuskan anai-anai selain beberapa perabot lain turut terjejas akibat serangga itu.

Namun Pengerusi TTPM, Reihana Abdul Razak memerintahkan syarikat tersebut membayar RM3,200 sahaja kepada Zuraidah.

"TTPM bukan tempat untuk kita buat untung, jadi saya perintahkan syarikat Northwood membayar kos yang telah kamu bayar kepada mereka.

"Mereka perlu bayar kembali wang tersebut kepada kamu dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini," kata Reihana di sini hari ini.

Sementara itu, Zuraidah berkata, dia memasang lantai papan tersebut pada Mei tahun lalu kerana tertarik dengan tawaran syarikat tersebut.

"Wakil syarikat tersebut ketika promosi menyatakan lantai tersebut tahan lama dan tidak akan diserang anai-anai.

"Kos untuk memasang lantai papan adalah sebanyak RM3,800 dan saya telah bayar kepada mereka kira-kira RM3,200 namun selepas dua bulan dipasang lantai bahagian ruang tamu, tiga bilik tidur dan ruang makan mula diserang anai-anai," katanya.

Tambahnya, walaupun tidak berjaya mendapatkan sepenuhnya jumlah yang dituntut dia tetap bersyukur kerana syarikat tersebut perlu memulangkan kembali wang yang telah dibayar untuk kos memasang lantai papan itu.

"Saya mahu syarikat tersebut membuka kesemua lantai papan tersebut dirumah saya selepas ini kerana saya tidak sanggup untuk berdepan dengan serangan anai- anai," jelasnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat