KUALA LUMPUR: Seorang bapa terpaksa bersengkang mata setiap hari dengan menaiki kenderaannya di sekitar Puchong dan ibu kota semata-mata mencari anak perempuannya berumur 14 tahun yang hilang sejak kelmarin.
Mohd Rashidi Jaafar, 40, berkata, anak sulungnya itu, Hana Munirah, tidak pulang ke rumah jam 7.30 malam kelmarin, selepas keluar bersama rakannya yang tinggal di kawasan berhampiran Pangsapuri Semarak, dekat Puchong Perdana, di sini.
Menurutnya, Hana keluar kira-kira jam 4 petang selepas meminta izin dari isterinya mengatakan hendak keluar sebentar bersama rakannya bernama Sally Wong, 14, yang turut dikenali mereka.
“Kebiasaannya, Hana akan pulang ke rumah selepas keluar bersiar-siar atau dari sekolah cuma sama ada cepat atau lambat saja,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.
Isterinya, Anizah Mohd Isa, 39, pula berkata, risau dengan keselamatan anaknya, mereka membuat laporan di Balai Polis Puchong pada jam 10.45 pagi hari yang sama.
Katanya, dia yang ke rumah keluarga Sally selepas itu menjadi lebih terkejut kerana Sally turut hilang bersama Hana.
“Sally sudah beberapa kali hilang sebelum ini kata ibunya. Justeru, akibat bimbang, kami tidak henti-henti ronda untuk mencari Hana termasuk kedai serbaneka kegemarannya, 7 Eleven.
“Namun, usaha kami menemui jalan buntu membuatkan kami jadi tak tentu arah dan tak lalu makan,” katanya.
Melalui perbualan dengan beberapa rakan sekelas anaknya pula, Hana dipercayai pernah menyuarakan hasrat ingin melarikan diri kerana mahu bebas, tetapi tidak menyangka ia benar-benar berlaku.
Mereka juga tidak mengetahui sama ada Hana sudah merancang perkara ini dengan Sally mahupun tidak.
“Saya rasa dia terpengaruh dengan Sally, seorang anak tunggal yang boleh buat sesuka hatinya kerana sebelum ini Hana pernah memberitahu saya bahawa dia rasa terkongkong kerana tidak boleh keluar sendirian,” katanya.
Menurutnya, Hana seorang yang rajin, boleh diharap dan sangat mengasihi adik-adiknya.
Anizah turut berasa risau kerana Hana tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ketika keluar dan khuatir dia ditipu individu tidak bertanggungjawab. Kali terakhir Hana keluar dari rumah dengan memakai kemeja-T berwarna putih, seluar sukan warna hitam dan berselipar.
Berikutan itu, sesiapa yang menemui Hana diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubunginya di talian 012-3153636 dan 019-2924711. - myMetro
No comments:
Post a Comment