SANTAI... Bob tampil dengan persembahan yang santai tetapi tetap menghiburkan. |
BISA aura penyanyi dari seberang Bob Tutupoly masih lagi utuh biarpun dia kini telah melepasi usia 70 tahun.
Kelunakan dan suaranya yang garau ketika menghiburkan para hadirin yang hadir untuk menyaksikan persembahannya sempena Minggu Setiausaha di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini masih tidak berubah bahkan tetap menghiburkan.
Kehadiran Bob yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh para setiausaha pada majlis makan tengahari pada hari itu dan ternyata, kemunculannya tidak menghampakan.
Dengan berdirinya Bob di atas pentas, hilanglah rasa kerinduan para peminatnya yang sememangnya mencari peluang untuk bersantai bersama penyanyi lagu Widuri itu.
Suara garau Bob menyampaikan 10 lagu pada petang itu membuai kalbu para hadirin yang khusyuk mengamati persembahan selama dua jam itu.
Walaupun terbang jauh dari Jakarta, Indonesia, telatah Bob pada petang itu sungguh mempersonakan. Senda gurau dan usikan sentiasa menjadi rencah dalam menyerikan persembahannya.
Memulakan persembahan dengan berjalan masuk dari arah luar pintu utama dewan utama hotel tersebut, Bob tampil dengan caranya yang tersendiri.
Tidak seperti persembahan minggu setiausaha lain yang mana penghibur terus berada di atas pentas, Bob muncul dari bawah dan berjalan ke beberapa meja untuk bersalaman dengan para peminat yang terus-terusan melaungkan namanya.
Bukan sekadar menghiburkan hadirin dengan nyanyian, Bob berlalu ke beberapa meja dan menyuakan mikrofon kepada beberapa tetamu untuk menyanyi bersamanya.
Bagaikan bulan jatuh ke riba, peluang itu tidak dilepaskan oleh para peminat yang sememangnya sudah agak menggila dengan kehadiran penyanyi legenda itu.
"Terima kasih kerana sudi untuk menjemput saya. Sudah lama saya tidak datang ke Malaysia membuat persembahan.
"Kita nyanyi bersama ya," ujar Bob telus mengajak para peminatnya untuk bersama mendendangkan lagu keramatnya, Widuri.
Biarpun berbeza negara, itu tidak menghalang Bob untuk terus menghiburkan para setiausaha petang itu.
Kelakuan Bob jelas menunjukkan ketelusannya dalam menghargai setiap mata yang menonton persembahannya.
Setiap langkah yang diatur ketika melewati kawasan bawah pentas pasti tidak lengkap seandainya dia tidak berhenti dan bersalaman dengan para peminatnya.
Tidak cukup dengan itu, sesekali dia akan menarik para setiausaha untuk bersama membuai kenangan melalui nyanyian.
Suasana petang itu bertambah gamat apabila klimaks persembahan Bob mendendangkan lagu Widuri. Belum sempat Bob meluahkan rangkap pertama lagu berkenaan, penonton terus-terusan bersorak.
Untuk tidak menghampakan, Bob tampil mendendangkan lagu itu dengan penuh penghayatan serta disambut dengan gerak bibir penonton yang turut menyanyi bersama, mengikut bait-bait lirik lagu berkenaan.
Elok Bagai Rembulan itulah yang dapat digambarkan dengan persembahan Bob atau nama sebenarnya Bobby Willem Tutupoly bagi menghiburkan para setiausaha di Malaysia pada petang itu. - Utusan
No comments:
Post a Comment