TERIMA... Jamal Abdillah dan Pengurus PWTC, Sukhidir Kemat bertukar dokumen perjanjian sambil diperhatikan oleh Fadzilah Said. |
BUAT kali kedua raja pop, Jamal Abdillah akan meraikan para ibu sempena sambutan Hari Ibu yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Mei ini.
Majlis yang diadakan khusus untuk menghargai jasa dan pengorbanan para ibu itu merupakan kolaborasi kedua di antara Jamal Abdillah dan PWTC.
Siapa sangka walaupun telah lebih tiga dekat mengharungi pahit manis kehidupan sebagai anak seni, aura dan kehebatan penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu masih lagi mampu mencairkan hati seorang ibu.
"Selepas penganjuran sambutan hari ibu tahun lalu, PWTC dihujani dengan permintaan para ibu yang inginkan Jamal sebagai hadiah untuk meraikan mereka.
"Jadi untuk tidak menghampakan para ibu yang sudah banyak berjasa dalam kehidupan kita, PWTC dengan berbesar hati menyediakan ruang khusus untuk para ibu mengabadikan detik indah bersama Jamal," kata Pengarah Komunikasi Pemasaran PWTC, Fadzilah Mohd. Said.
Namun, bagi memberikan kelainan pada majlis minum petang itu nanti, 10 orang ibu bertuah akan dipilih untuk menikmati makan malam eksklusif bersama Jamal Abdillah.
Tidak cukup dengan itu, para ibu yang hadir pada majlis berkenaan juga akan turut dihiburkan dengan alunan merdu tiupan saksofon daripada pemain saksofon tidak asing lagi Alif Nasir.
Selain itu, bagi menghidupkan suasana ceria pada majlis yang akan bermula pukul 2 petang itu, Syed Muradzi Syed Shamsul ataupun lebih dikenali sebagai Dee akan tampil sebagai pengacara majlis.
"Kami mahu para ibu yang hadir pada petang itu nanti akan melalui satu pengalaman yang menjadi kenang-kenangan sepanjang hidup mereka,"kata Fadzilah.
Sementara itu, Jamal berkata, dia amat gembira dengan peluang yang diberikan itu. Bagi Jamal undangan itu menunjukkan bahawa peminat masih lagi memerlukannya dalam industri.
Apa pun jelas Jamal, bagi memastikan persembahan kali ini menarik dia akan melakukan yang terbaik.
Walaupun pernah tampil menghiburkan para ibu sebelum ini, Jamal tetap merasa teruja untuk menghiburkan para ibu yang hadir pada majlis itu nanti.
"Jasa ibu terlalu besar dan saya rasa dengan tampil pada majlis begini ia dapat menunjukkan betapa saya terlalu menyayangi dan menyanjungi ibu," ujar Jamal yang bakal tampil dengan album terbarunya Raja Pop 2.
Bagi yang berminat mereka boleh menghubungi talian 03-26146701 atau 03-26146702 untuk membuat tempahan meja pada majlis yang bertemakan Kasihnya Ibu.
Harga meja adalah RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 di mana sebuah meja boleh menempatkan 10 orang. - Utusan
No comments:
Post a Comment