KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Anuar Zain mungkin akan mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap pihak yang terbabit dalam prosiding tafsiran ganti rugi royalti tertunggak terhadap syarikat rakaman Synchrosound Records Label Music Sdn Bhd (Synchrosound).
Bagaimanapun, Anuar enggan mendedahkan secara terperinci pihak yang bakal dinamakan dalam tindakan tersebut. Peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Anuar Zain ketika ditemui media selepas menghadiri prosiding berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung perkara itu.
Menurutnya, tindakan itu bakal diambil berikutan berlaku percanggahan berhubung isu dokumen yang dikemukakan sepanjang prosiding berlangsung.
“Pada prosiding lalu, pihak terbabit mengatakan mereka tidak mempunyai dokumen kerana syarikat berkenaan sudah ditutup.
“Bagaimanapun, hari ini (semalam) mereka mengemukakan dokumen setebal 195 muka surat yang jelas bertentangan dengan apa yang dikatakan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Anuar ketika ditemui media juga meluahkan rasa kecewa atas percanggahan tersebut dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak berprinsip.
“Sebelum ini kata lain dan hari ini cakap lain. Mereka bukan hanya membuang masa saya, tetapi juga peguam dan mahkamah.
“Ini jelas menunjukkan mereka tidak serius dalam hal ini” katanya. Dia berkata demikian, selepas prosiding tafsiran ganti rugi yang dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Nazdia Abdul Aziz. Ditanya mengenai perkembangan prosiding tersebut, Aizul Rohan berkata, mahkamah menetapkan 19 Mei ini sebagai tarikh hujahan berhubung pertambahan dokumen itu. - myMetro
No comments:
Post a Comment