aDs

aluan

Followers

Tuesday, May 3, 2011

D'Lloyd nyanyikan lagu P. Ramlee


Bartje Van Houten

KUMPULAN pop D'Lloyd boleh dikategorikan sebagai kumpulan legenda dari Indonesia berdasarkan penubuhan mereka sejak lebih 30 tahun lalu selain mempunyai seleksi lagu-lagu bertaraf malar segar yang diminati hingga kini.

Biarpun bertaraf legenda, tetapi kumpulan yang popular dengan lagu Mengapa Harus Jumpa itu tidak berasa besar kepala, sebaliknya tetap menggagumi lagu-lagu penyanyi lain dari negara ini termasuklah seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Justeru, tidak hairanlah D'Lloyd bercadang membawakan lagu-lagu nyanyian P. Ramlee pada konsert sulung mereka, Semalam Di Malaysia di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 Mei ini.

Penyanyi utama kumpulan yang ditubuhkan pada awal tahun 1970-an itu, Syamsuar Hasyim atau Sam berkata, dia bukan sahaja meminati lagu-lagu P. Ramlee tetapi turut bercadang menyanyikan lagu seniman legenda pada konsert sulungnya di panggung tersebut.

"Kami bercadang menyanyikan sebuah lagu nyanyian Allahyarham yang bertajuk Engkau Laksana Bulan. Saya memang menyukai lagu itu sejak dari dulu lagi. Ia sebagai suatu kelainan untuk konsert pertama kami di IB itu nanti. Lagu itu memang sedap didengar.

"Apatah lagi, itu adalah konsert terbesar kami di Malaysia selepas yang pertama dan terbesar pernah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1977," katanya kepada Hits sewaktu berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada kunjungan itu, Sam ditemani ketua kumpulan D'Lloyd, Bartje Van Houten yang hadir pada majlis menandatangani perjanjian mengadakan konsert yang dibawakan oleh Massa Frequency dengan kerjasama IB dan juga Life Records.

Selain itu katanya, D'Lloyd sudah semestinya akan mendendangkan seleksi lagu-lagu terbaik dan lagu-lagu malar segar mereka pada konsert yang dijangka akan dijayakan dengan durasi selama hampir dua jam itu.

"Antara lagu wajib yang akan kami persembahkan pada konsert itu berjudul Mengapa Harus Jumpa dan Keagungan Tuhan. Ia akan diiringi oleh tiupan seruling yang akan dimainkan oleh Yuhanny Fatmarida Susilo," ujarnya dalam nada ceria.

Pada konsert dengan tiket berharga RM68, RM98, RM128, RM168, RM208, RM258, RM308 dan RM458 itu, Sam optimis bukan setakat peminat lama , malah pendengar baru juga mudah menghayati lagu-lagu mereka.

Jelas penyanyi berusia 65 tahun ini lagi, dia juga berasa cukup teruja mengadakan konsert di IB selepas diberitahu panggung itu merupakan antara pentas persembahan yang berprestij di negara ini yang ditubuhkan sejak 12 tahun lalu.

"Kami berasa bangga kerana turut diberitahu bahawa kami adalah kumpulan dari Indonesia yang pertama dijemput mengadakan konsert di IB. Ini suatu penghargaan buat D'Lloyd selepas lebih 30 tahun ditubuhkan.

"Setakat ini, sambutan paling hebat kami terima ialah sewaktu pertama kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada tahun 1977 di mana kami diberi layanan kelas pertama dengan menginap di Hotel Hilton yang bertaraf lima bintang.

"Itu adalah hotel yang terhebat di Kuala Lumpur pada masa itu dan hanya artis-artis ternama sahaja yang diberi layanan sebegitu. Selain D'Llyod artis dari Barat iaitu Blood Sweat & Tears yang mendapat peluang itu," katanya.

Sementara itu, gitaris D'Llyod, Bartje pula menjelaskan, dia dan anggota-anggota kumpulannya membuat persiapan termasuklah sesi latihan lebih sebulan sebelum menjayakan konsert tersebut.

Malah, bagi memantapkan lagi persembahan D'Lloyd katanya telah mengadakan perbincangan dengan komposer terkenal tanah air, S. Atan yang mungkin akan bertindak selaku Pengarah Muzik Konsert Semalam Di Malaysia itu.

"Kami sudah mengadakan perbincangan dengan S. Atan termasuklah dalam mencari lagu-lagu terbaik yang akan dipersembahkan kelak. Kami yakin dengan kredibiliti S. Atan bagi menjayakan konsert ini," jelasnya.

Selain Sam dan Bartje, D'Lloyd yang turut dianggotai Chairul Daud selaku (drum), Yuyun (seruling), Candra Chasmala (keyboard) dan Adiel (bass) menjadikan Kumpulan Utusan sebagai media rasmi konsert tersebut.

D'Lloyd yang menampilkan lagu-lagu pop Melayu turut popular menerusi lagu seperti Cinta Hampa, Semalam di Malaysia, Mengapa Harus Jumpa, Oh Tak Mungkin, Khayal dan Penyairdi mana ia terus diminati ramai sehingga kini.

Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket sila berhubung di kaunter Box-office di IB atau layari laman sesawang www.ticket2u.com atau hubungi talian 03-41478600 atau 019-3391445dan 019-2757192

1 comment:

Related Posts with Thumbnails

heratBeat