TERKEJUT seorang lelaki apabila rumah yang baru dibeli, masih didiami oleh pemilik asal.
Itulah yang dialami oleh Yap Chee Tiong apabila membeli sebuah rumah yang telah dilelong oleh Public Bank Bhd. cawangan Tanah Merah, Kelantan.
Dia bukan sahaja hampa tatkala hendak memasuki rumah itu malah berdepan masalah pemilik asal enggan keluar dari rumah tersebut.
Kecewa dengan keadaan itu, dia memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi menuntut haknya yang telah dinafikan selain terpaksa membayar ansuran bulanan pinjaman rumah berkenaan.
‘‘Pada 5 Oktober tahun lalu, saya membeli sebuah rumah yang dilelong dengan harga RM108,000 daripada Public Bank tetapi apabila mahu pindah masuk, pemilik asal masih menghuni rumah tersebut.
‘‘Apabila perkara tersebut dirujuk kepada pihak bank, mereka menjelaskan tidak mempunyai hak menyuruh pemilik asal keluar dan meminta saya sendiri menguruskannya,’’ katanya pada prosiding TTPM di Kota Bharu, baru-baru ini.
Sementara itu, wakil bank berkenaan yang hadir di tribunal tersebut berkata, mereka telah dinasihati oleh peguam agar tidak mengambil tindakan terhadap pemilik asal.
Ini kerana, menurut wakil tersebut, berdasarkan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian jual beli rumah terbabit, urusan itu sepatutnya diselesaikan oleh pemilik baharu.
Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak yang jelas tidak berpuas hati dengan keterangan wakil bank itu menasihatkan penuntut membatalkan tuntutannya di TTPM, sebaliknya mengambil tindakan sivil ke atas bank berkenaan kerana menafikan haknya.
‘‘Pada pendapat saya, peguam yang dimaksudkan itu memberi nasihat yang salah kerana dalam kes ini penuntut membeli sesuatu tetapi tidak mendapat hak sepenuhnya.
‘‘Sedangkan dia terpaksa menanggung bayaran pinjaman dan mungkin juga masih membayar sewaan rumah yang terpaksa didudukinya sekarang,’’ jelasnya. - Utusan
No comments:
Post a Comment