aDs

aluan

Followers

Tuesday, May 31, 2011

Baena mahu saman Schwarzenegger


SCHWARZENEGGER bersama Mildred.

BOGOTA: Bekas suami kepada kekasih bintang Hollywood, Arnold Schwarzenegger memberitahu majalah Colombia, semalam bahawa dia merancang menyaman bekas gabenor terbabit kerana memalsukan sijil kelahiran anak luar nikah mereka.

Rogelio Baena dari Colombia mengahwini Mildred Patricia Baena, pembantu rumah kepada bintang Hollywood yang menjadi gabenor itu dan isterinya Maria Shriver.

ROGELIO Baena.
Baena hanya mengetahui anaknya yang berusia 13 tahun itu adalah anak luar nikah Schwarzenegger dengan bekas isterinya, baru-baru ini.

Namun, nama Baena tercatat sebagai bapa pada sijil kelahiran remaja itu dan pendakwa raya memberitahunya sekiranya Schwarzenegger dan Midred tahu hal itu tidak benar, mereka bersubahat memalsukan dokumen awam - satu jenayah serius di California.

Baena berpisah dengan Mildred selepas 10 tahun berkahwin pada Oktober 1997, hanya beberapa minggu selepas remaja itu dilahirkan. Bagaimanapun, pasangan itu tidak memfailkan perceraian mereka hingga Februari 2008, menurut media hiburan AS.

Mildred, kini berusia 50 tahun bekerja di kediaman Schwarzenegger dan Maria selama 20 tahun. Pasangan selebriti itu mempunyai empat anak berusia antara 14 hingga 21 tahun dan anak bongsu mereka dilaporkan lahir hanya beberapa hari sebelum anak luar nikah Schwarzenegger dan Mildred dilahirkan. 

Schwarzenegger, 63, mengumumkan perpisahannya dengan Maria selepas 25 tahun perkahwinan pada 10 Mei lalu dan kemudian mendedahkan perpisahan mereka terjadi selepas dia memberitahu Maria tentang anak luar nikahnya yang selama ini dirahsiakannya.

Schwarzenegger menangguhkan rancangannya untuk kembali berlakon filem bagi menguruskan krisis keluarga yang tercetus ekoran pengakuannya itu. Dia memberitahu ejennya bahawa projek barunya termasuk filem ‘The Terminator’ dihentikan hingga notis berikutnya dikeluarkan, sementara dia menangani ledakan media yang berlaku empat bulan selepas meninggalkan karier politiknya. - AFP

Wanita bawa alat sulit perogol ke balai polis


DHAKA: Seorang wanita Bangladesh berusia 40 tahun memotong alat sulit seorang lelaki ketika lelaki itu cuba merogolnya dan kemudian membawanya ke balai polis sebagai bahan bukti, kata polis di kawasan terpencil di negara ini, semalam.

Menurut polis, ibu tiga anak itu diserang ketika sedang tidur di gubuknya di daerah Jhalakathi, kira-kira 200 kilometer di selatan Dhaka pada malam Sabtu lalu. 

“Ketika suspek cuba memperkosanya, wanita itu memotong alat sulit lelaki itu dengan pisau. Dia kemudian membalut kemaluan lelaki berkenaan dalam plastik politena dan membawanya ke balai polis sebagai bukti jenayah,” kata Ketua Polis Jhalakathi, Abul Khaer. - AFP

Friday, May 27, 2011

Dunia Kita Ala Drama Korea


Barisan pelakon drama Dunia Kita (dari kiri) Nur Amalina, Scha Al Yahya dan Saiful Nizen.
KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit drama Dunia Kita, Michael Ang sengaja mengetengahkan elemen-elemen drama Korea dalam drama tersebut kerana bersesuaian dengan konsepnya dan selera semasa.
Kata Michael, penonjolan elemen-elemen seperti syot, pencahayaan, mood dan dialog seperti drama atau filem cinta Korea diserapkan untuk memberikan visual lebih segar dan berlainan daripada kebanyakan drama tempatan yang sedia ada.
"Pemilihan elemen-elemen seperti sebuah drama dan filem Korea cuba saya serapkan kerana ia bersesuaian dengan konsep drama Dunia Kita yang ceria, segar dan berwarna-warni.
"Keputusan itu juga bertepatan dengan kehendak pihak penaja iaitu Carefree yang juga menonjolkan konsep tersebut menerusi produk mereka," katanya yang ditemui, baru-baru ini.
Penerbit dan pengarah, Michael Ang
Dalam pada itu, Michael turut menolak perkaitan antara drama ini dengan drama K.I.T.Ayang pernah diterbitkannya pada tahun lalu kerana masih mengekalkan pelakon Scha Al Yahya dan Marsha Milan Londoh.
"Dunia Kita bukan kesinambungan drama K.I.T.A dan tidak ada kena-mengena langsung pun.
"Ia adalah cerita baru dan kebetulan saja dua pelakonnya iaitu Scha dan Marsha masih dikekalkan kali ini," terangnya.
Drama sebanyak lapan episod itu berkisar tentang seorang pelajar jurusan fesyen bernama Rania lakonan Scha Al Yahya dalam melayari kehidupan dan pelbagai dilema untuk mengejar impian, perhubungan persahabatan dan cinta.
Selain Scha dan Marsha, ia turut dibintangi oleh Awal Ashaari, Saiful Nizen, Datuk Jalaludin Hassan, Sharifah Shahora dan pemenang peraduan gadis Carefree, Nur Amalina.
Dunia Kita akan mula bersiaran pada hari ini pada pukul 7.30 malam setiap Jumaat di Astro Ria (saluran 104). - mStarOnline

Akibat Jalin Hubungan Dengan Isteri Orang Telinga Dipotong


NIBONG TEBAL: Seorang lelaki berusia 47 tahun cedera parah apabila kedua belah telinganya dipotong kerana dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkatamangsa ditemui terbaring oleh anaknya di dalam longkang berhampiran rumah mereka di Taman Kasawari, Simpang Ampat pada 8 pagi tadi.
Katanya lelaki yang bekerja sebagai peniaga daging khinzir itu dipercayai diserang dengan menggunakan senjata tajam hingga mengakibatkan kedua-dua telinganya terputus.
"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca akibat perasaan cemburu berikutan mangsa dipercayai telah menjalin hubungan sulit dengan isteri orang," katanya kepada pemberita di sini.
Shafien berkata polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori kira-kira dua jam kemudian selepas gerakan mencari suspek giat dijalankan setelah identiti lelaki itu dikenal pasti.
Katanya kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat. - BERNAMA

Tomok pilih pramugari


KUALA LUMPUR: Juara rancangan realiti TV, One In A Million musim ke-3, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 27, akan menamatkan zaman bujangnya pada 1 Julai depan dengan pramugari Penerbangan Malaysia (MAS), Siti Rahayu Abas, 32.

Tomok berkata, dia mengenali Siti Rahayu sejak lapan tahun lalu dan memilih 1 Julai ini sebagai tarikh akad nikah yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Datuk Keramat di sini.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Merentas Masa itu berkata, dia mengenali bakal isterinya itu secara tidak sengaja pada 2003 sebelum bertukar-tukar nombor telefon.

“Ketika itu Tomok terbabit dalam satu set penggambaran telemovie bersama New Boyz di Cheras. Kebetulan, Siti Rahayu melalui kawasan penggambaran itu dan kami bertegur sapa selain bertukar-tukar nombor telefon sebagai peminat dan artis,” katanya.

Menurut Tomok, dia tidak menyangka hubungan persahabatan dijalin bertukar menjadi cinta sehingga membawa ke jenjang pelamin.

“Kami sebenarnya merancang mendirikan rumah tangga sejak tahun lalu lagi namun kerana sibuk dengan kerjaya, urusan perkahwinan terpaksa diuruskan sedikit demi sedikit sehingga tarikh sebenar dipersetujui Julai depan,” katanya.

Tomok berkata, kad jemputan perkahwinannya sudah siap ditempah dan akan diedarkan dalam masa terdekat.

Menurut Tomok, selepas majlis akad nikah, kenduri sebelah pengantin perempuan akan diadakan di dewan yang sama keesokan harinya.

“Pada 6 Julai pula, kami akan mengadakan majlis persandingan tertutup di Saloma Bistro khas untuk rakan artis dan media manakala kenduri pihak keluarga saya akan dilangsungkan pada 9 Julai di rumah ibu bapa saya di Alam Damai, Cheras,” katanya. - myMetro

Pelakon Razak Ahmad Ditangkap Di Tempat Terselindung


Razak Ahmad dalam satu persembahan dengan Siti Nurhaliza tidak lama dulu.
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Razak Ahmad yang menghadapi pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang dikatakan telah ditangkap di tempat yang terselindung di sebuah rumah.
Pelakuan tersebut yang membawa watak sebagai Tok Imam dalam drama bersiri Geng Surau itu dan wanita terbabit, Selamah Sahudin adalah dihujahkan boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
Itu adalah sebahagian daripada intipati hujahan bertulis oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli yang difailkannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.
Selain itu, Shafezan juga menghujahkan bahawa pihaknya telah membuktikan eleman yang diperlukan seperti pertuduhan khalwat, iaitu tertuduh adalah seorang lelaki yang bukan suami atau mahram kepada Selamah.
Hujah beliau lagi, semasa pasukan penguat kuasa Jais membuat serbuan, hanya Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, yang berada di rumah terbabit bersama Selamah, 45 tahun.
Razak dan Selamah didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Razak yang dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 27 Julai 2006 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut manakala Selamah dijatuhkan hukuman denda RM2,850 selepas mengaku bersalah.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pagar Padi dan tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992 itu akan mengetahui nasibnya, sama ada akan dipanggil untuk membela diri ataupun dilepaskan daripada pertuduhan itu pada 30 Jun ini.
Tarikh keputusan telah ditetapkan oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada prosiding sebelum ini.
Sepanjang perbicaraan yang melibatkan tiga saksi pendakwaan, Razak diwakili oleh peguam syarie Mohamad Azman Karim.
Fakta kes yang diakui oleh Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan menyatakan bahawa pintu rumah dan jeriji besi rumah tersebut berada dalam keadaan berkunci manakala rumah dalam keadaan yang agak gelap.
Pintu rumah dibuka selepas beberapa minit diketuk.
Semasa itu, Selamah yang membuka pintu berpakaian lengkap dan pemeriksaan di bilik pertama rumah mendapati Razak sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju. - mStarOnline

Thursday, May 26, 2011

Suri rumah tuntut ganti rugi, lantai papan diserang anai-anai


anai-anai

ALOR SETAR 25 Mei - Seorang suri rumah memasang lantai jenis papan terrazzo di rumahnya di Taman Pelangi, Kuala Kedah dekat sini bagi mengurangkan masalah sengal-sengal kaki apabila memijak lantai tersebut.

Namun masalah lain pula yang timbul apabila lantai tersebut yang dipasang tiga bulan lalu di ruang tamu, tiga bilik tidur dan ruang makan tiba-tiba diserang anai-anai.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, suri rumah tersebut, Zuraidah Yahaya, 50, mengemukakan tuntuan kepada syarikat Northwood Enterprise melalui Tribunal Tuntuan Pengguna Malaysia (TTPM) hari ini.

Harga lantai itu termasuk kos pemasangan ialah RM3,800 namun Zuraidah telah membayar RM3,200 kepada syarikat berkenaan.

Zuraidah menuntut syarikat tersebut membayar RM5,530 kerana dia terpaksa mengeluarkan belanja perkhidmatan menghapuskan anai-anai selain beberapa perabot lain turut terjejas akibat serangga itu.

Namun Pengerusi TTPM, Reihana Abdul Razak memerintahkan syarikat tersebut membayar RM3,200 sahaja kepada Zuraidah.

"TTPM bukan tempat untuk kita buat untung, jadi saya perintahkan syarikat Northwood membayar kos yang telah kamu bayar kepada mereka.

"Mereka perlu bayar kembali wang tersebut kepada kamu dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini," kata Reihana di sini hari ini.

Sementara itu, Zuraidah berkata, dia memasang lantai papan tersebut pada Mei tahun lalu kerana tertarik dengan tawaran syarikat tersebut.

"Wakil syarikat tersebut ketika promosi menyatakan lantai tersebut tahan lama dan tidak akan diserang anai-anai.

"Kos untuk memasang lantai papan adalah sebanyak RM3,800 dan saya telah bayar kepada mereka kira-kira RM3,200 namun selepas dua bulan dipasang lantai bahagian ruang tamu, tiga bilik tidur dan ruang makan mula diserang anai-anai," katanya.

Tambahnya, walaupun tidak berjaya mendapatkan sepenuhnya jumlah yang dituntut dia tetap bersyukur kerana syarikat tersebut perlu memulangkan kembali wang yang telah dibayar untuk kos memasang lantai papan itu.

"Saya mahu syarikat tersebut membuka kesemua lantai papan tersebut dirumah saya selepas ini kerana saya tidak sanggup untuk berdepan dengan serangan anai- anai," jelasnya. - Utusan

Jutawan Malaysia pelihara 30 ekor anjing RM39.83 juta


KENNY LAI bergambar bersama seekor anjing baka Mastiff Tibet di penthouse miliknya di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Seorang jutawan Malaysia, Kenny Lai mungkin dianggap pencinta haiwan peliharaan paling mewah di Malaysia apabila memiliki 30 anjing baka Mastiff Tibet bernilai lebih £8 juta (RM39.8 juta), lapor sebuah akhbar dalam talian semalam.
Jutawan berkenaan sanggup menjelajah ke seluruh dunia bagi mencari baka yang 100 peratus tulen kerana haiwan tersebut dianggap sebagai raja segala anjing.
"Berdasarkan nilai pasaran terkini, 30 anjing yang saya miliki sekarang bernilai lebih dari £8 juta, "katanya seperti yang disiarkan di laman berita mailonline. Dia memelihara kesemua anjing di sebuah penthouse mewah miliknya di Kuala Lumpur.
Lebih menarik lagi apabila tempat peliharaan berkeluasan 5,000 meter persegi yang dilengkapi pendingin hawa dingin turut mempunyai pasukan penjaga, jurulatih dan doktor haiwan bagi merawat anjing tersebut.
Penakluk agung, Genghis Khan bersama angkatan tenteranya menggunakan 30,000 haiwan tersebut ketika cuba menakluk Eropah Barat
Penduduk tempatan percaya anjing itu memiliki roh sami-sami yang tidak cukup baik dijelmakan sebagai manusia atau untuk ke syurga.
Dia pada mulanya membeli sembilan anjing itu pada harga £3.2 juta (RM15.95 juta) sebelum membiaknya.
Di United Kingdom, anjing tersebut bernilai di antara £850 (RM4,238) dan £1,000 (RM4,986) bagi setiap seekor anak haiwan itu.- Agensi

Farah Asyikin Tidak Akan Berduet Selepas Kematian Shamrin


PETALING JAYA: Penyanyi Farah Asyikin, 32, memberitahu fobia untuk berduet dengan mana-mana artis kerana masih tidak dapat melupakan kematian Allahyarham ShamrinFotograf pada 11 November tahun lalu akibat serangan jantung.
Jelasnya, fobia itu terjadi kerana dia dan Allahyarham baru sahaja menyiapkan projek lagu duet berjudul Aku Kamu Satu sebelum pemergiannya.
“Saya jadi fobia untuk berduet dengan mana-mana artis lagi kerana kejadian itu. Lebih sedih dia yang mahu saya nyanyi bersamanya untuk lagu itu,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Farah sehingga kini dia masih tidak mampu untuk mendengar semula lagu berkenaan yang telah siap sepenuhnya apatah lagi meneruskan projek berkenaan yang masih tertangguh.
“Lagu tersebut sudah siap dan kini berada dalam simpanan saya. Saya tak mampu nak dengar semula dan tiada perancangan untuk meneruskan projek menerbitkan lagu tersebut.
“Jika diingat penat lelah kami, memang saya sedih kerana dia sangat teruja menunggu lagu itu dimainkan di radio,” katanya.
Kata Farah lagi peristiwa yang berlaku itu adalah yang pertama dan terakhir kerana dia sudah membuat keputusan untuk tidak mahu berduet lagi selepas ini.
Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan kerjaya, Farah kini sibuk merakamkan single terbarunya bersama komposer terkenal Ajai.
“Saya sedang menyiapkan single berjudul Tiada Penghujungnya yang di jadual dilancarkan pada bulan depan.
“Saya harap dengan kemunculan single tersebut mampu mengangkat kembali nama saya di persada industri seni suara ini. Saya tahu beberapa tahun ini saya banyak menyepikan diri,” katanya. - mStarOnline

Bapa beli sekolah RM4.98 juta demi anak

MATT HILL bergambar bersama anak perempuannya di Sekolah Mill di Potterne, Britain baru-baru ini.
POTTERNE, BRITAIN - Seorang bapa, Matt Hill membeli sebuah sekolah swasta di Potterne, Wiltshire pada harga £1 juta (RM4.98 juta) bagi mengelak ia ditutup kerana anak perempuannya bersekolah di sekolah itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Hill, 38, membeli Sekolah Mill itu dengan seorang rakan kongsi perniagaannya, Dave Stanley dan kedua-duanya berasa gembira kerana tawaran pembelian mereka diterima oleh pihak pengurusan sekolah tersebut.
Pemilik sekolah itu sebelum ia dijual, John Rendell mengumumkan pada 9 Mei lalu bahawa sekolah berkenaan akan ditutup pada Julai depan selepas 18 tahun beroperasi.
Sejumlah ibu bapa mula membincangkan usaha untuk memastikan sekolah itu dibuka tetapi usaha untuk membelinya ketika itu dianggap mustahil.
Namun, Hill dan rakan kongsi perniagaannya, Dave Stanley menemui Rendell dan membuat tawaran sebanyak £1 juta untuk membelinya.
Sekolah itu menyediakan pembelajaran untuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun.
Hill memberi jaminan bahawa semua kakitangan dan 65 pelajar akan terus kekal berada di sekolah itu. - Agensi

Tribunal arah pembeli saman pihak bank


TERKEJUT seorang lelaki apabila rumah yang baru dibeli, masih didiami oleh pemilik asal.

Itulah yang dialami oleh Yap Chee Tiong apabila membeli sebuah rumah yang telah dilelong oleh Public Bank Bhd. cawangan Tanah Merah, Kelantan.

Dia bukan sahaja hampa tatkala hendak memasuki rumah itu malah berdepan masalah pemilik asal enggan keluar dari rumah tersebut.

Kecewa dengan keadaan itu, dia memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi menuntut haknya yang telah dinafikan selain terpaksa membayar ansuran bulanan pinjaman rumah berkenaan.

‘‘Pada 5 Oktober tahun lalu, saya membeli sebuah rumah yang dilelong dengan harga RM108,000 daripada Public Bank tetapi apabila mahu pindah masuk, pemilik asal masih menghuni rumah tersebut.

‘‘Apabila perkara tersebut dirujuk kepada pihak bank, mereka menjelaskan tidak mempunyai hak menyuruh pemilik asal keluar dan meminta saya sendiri menguruskannya,’’ katanya pada prosiding TTPM di Kota Bharu, baru-baru ini.

Sementara itu, wakil bank berkenaan yang hadir di tribunal tersebut berkata, mereka telah dinasihati oleh peguam agar tidak mengambil tindakan terhadap pemilik asal.

Ini kerana, menurut wakil tersebut, berdasarkan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian jual beli rumah terbabit, urusan itu sepatutnya diselesaikan oleh pemilik baharu.

Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak yang jelas tidak berpuas hati dengan keterangan wakil bank itu menasihatkan penuntut membatalkan tuntutannya di TTPM, sebaliknya mengambil tindakan sivil ke atas bank berkenaan kerana menafikan haknya.

‘‘Pada pendapat saya, peguam yang dimaksudkan itu memberi nasihat yang salah kerana dalam kes ini penuntut membeli sesuatu tetapi tidak mendapat hak sepenuhnya.

‘‘Sedangkan dia terpaksa menanggung bayaran pinjaman dan mungkin juga masih membayar sewaan rumah yang terpaksa didudukinya sekarang,’’ jelasnya. - Utusan

Monday, May 23, 2011

Amnesty kecam hukuman sebat di Aceh


JAKARTA 22 Mei - Kumpulan Amnesty International hari ini mengecam hukuman sebat yang dikenakan ke atas 14 individu kerana berjudi di Langsa, Aceh Timur pada Khamis lalu.

Badan itu turut menggesa Jakarta memansuhkan undang-undang kecil itu yang dikuatkuasakan di wilayah separa autonomi tersebut yang menyaksikan sekurang-kurangnya 21 lelaki disebat kerana berjudi pada bulan ini.

"Tindakan pihak berkuasa Aceh melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai mencabul undang- undang antarabangsa.

"Kerajaan Indonesia perlu bertindak segera menghentikan hukuman yang tidak berperikemanusiaan dan kejam itu. Ia juga merupakan satu bentuk layanan buruk yang boleh disamakan dengan penyeksaan," kata Amnesty International.

Menurut kenyataan itu, seramai 16 individu dihukum sebat pada tahun lalu di Aceh.

Jelasnya, hukuman sebat menyalahi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menentang penyeksaan.

Indonesia turut menandatangani perjanjian itu pada 1998 dan menggesa kerajaan pusat mengkaji semula pelaksanannya bagi mematuhi undang-undang dan standard hak asasi manusia antarabangsa.

Khamis lalu, 14 pesalah terbabit telah disebat sebanyak enam kali setiap seorang di dataran Masjid Darul Falah, Aceh kerana berjudi.

Mengikut kanun 2003 atau undang-undang kecil Islam di wilayah itu, kesalahan berjudi membawa hukuman maksimum 12 sebatan dan minimum satu sebatan.

Pada 12 Mei lalu, sekurang-kurangnya tujuh orang yang berjudi telah dikenakan hukuman sebat sebanyak 12 kali.

Januari lalu, empat pegawai awam dari Aceh Besar ditahan kerana berjudi, tetapi pelaksanaan hukuman ke atas mereka ditangguhkan kerana menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Syariah wilayah. - AFP

Arnie ada 2 lagi anak luar nikah


BERPURA-PURA...pada peringkat awal, Maria tidak mengesyaki langsung Schwarzenegger menjalin hubungan sulit dengan amah mereka.

LOS ANGELES: Aktres veteran, Jane Seymour, mendakwa Arnold Schwarzenegger memiliki sekurang-kurangnya dua lagi anak luar nikah yang dirahsiakan daripada pelbagai pihak.

Menurut Jane, dia langsung tidak terkejut dengan pendedahan mengenai kelakuan bekas Gabenor California itu mengadakan hubungan sulit dengan pekerja wanita di rumahnya 14 tahun lalu.

Jane yang tinggal di kawasan sama dengan Schwarzenegger di Malibu juga tidak terkejut apabila aktor terbabit akhirnya berpisah dengan isterinya, Maria Shriver.
Jane Seymour
“Nampaknya Schwarzenegger bertindak terburu-buru sebelum berita kecurangannya diketahui dunia.

“Berdasarkan maklumat yang saya ada, lebih banyak berita akan muncul selepas ini,” katanya kepada stesen televisyen CNN, semalam.

Pelakon siri Dr Quinn, Medicine Woman itu berkata, dia bertemu seseorang yang sangat mengenali hero filem Predator itu.

“Saya diberitahu dia memiliki dua anak lain,” katanya. Kenyataan Jane, 60, itu disiarkan ketika media melaporkan, bukan saja Maria tidak mengetahui Schwarzenegger menghamilkan pembantu rumah mereka, malah anak lelaki yang lahir daripada hubungan sulit itu, Joseph, tidak diberi tahu siapa bapanya.

Akhbar New York Post melaporkan, amah Schwarzenegger, Mildred Baena, 50, tidak pernah mendedahkan identiti bapa Joseph kepada sesiapa, termasuk keluarganya.

Saluran NBC pula melaporkan, sekurang-kurangnya seorang lagi wanita tampil menghubungi peguam Schwarzenegger bagi menuntut ujian DNA dijalankan.

Laporan itu mendakwa, wanita terbabit mendakwa, hubungannya dengan Schwarzenegger menyebabkan dia melahirkan seorang anak lelaki lapan tahun lalu.

Sementara itu, Schwarzenegger dilaporkan bukan saja berdepan dengan aib hasil hubungan sulitnya, malah sebahagian kekayaannya turut terpaksa dikorbankan.

Berdasarkan anggaran, perceraian Schwarzenegger mungkin menelan kos RM1.2 bilion. - TS

‘Arwah anak bijak, baik’


SYAHDU...jenazah tujuh korban tanah runtuh disembahyangkan di Masjid Sultan Hishamuddin Alam Shah, Hulu Langat.

KUALA LUMPUR: “Arwah seorang anak yang baik dan tidak susah untuk menjaganya sejak kecil, malah sebelum kejadian, dia sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanya mengenai persiapan untuk pendaftaran masuk ke Matrikulasi Perak di Gopeng,” kata ibu Dzarhir Haziq M Muin, 18, Zaliah Abdullah, 45, mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, semalam.
SEBAK...Zaliah dan suaminya, M Muin sebak apabila anak mereka, Haziq terkorban dalam kejadian tanah runtuh, semalam.
Zaliah berkata, anak sulungnya daripada empat beradik yang mendapat 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini sepatutnya mendaftar masuk ke matrikulasi esok (hari ini) dan segala persiapan sudah siap.

Menurutnya, arwah sanggup menolak tawaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memilih matrikulasi bagi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah Jumaat lalu selepas menghantarnya ke madrasah berkenaan dan ketika itu, tiada perubahan pelik ditunjukkan malah berkelakuan seperti biasa.

“Arwah sering ke madrasah itu pada setiap minggu untuk belajar agama dan mengikuti aktiviti dijalankan penghuni terbabit,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat, Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Bapa saudara mangsa, Zubir Abdullah, 43, pula berkata, dia mendapat berita kejadian menimpa arwah malam tadi (kelmarin) dan terkejut dengan kejadian menimpa anak saudaranya.

“Sepanjang saya mengenali arwah, dia seorang yang pendiam dan tidak banyak bergaul, malah sepatutnya mendaftar masuk ke Matrikulasi Gopeng esok (hari ini) namun hajatnya tidak kesampaian.

“Arwah juga sudah setahun belajar agama di madrasah berkenaan. Ibu bapanya yang tinggal di Shah Alam, Selangor akan menghantar arwah pada setiap minggu dan mengambilnya semula pada Ahad,” katanya.

Sementara itu, suasana di pekarangan HKL bertambah pilu apabila, Mohd Alif Haikal Jasmin, 10, gagal menahan sebak selepas mengetahui rakannya, Mohd Hazim Sapri, 10, sudah tiada sebelum ditenangkan ibunya, Norlaili Zainal Abidin, 28.
PILU...Norlaili menenangkan anaknya Mohd Alif, yang sebak kerana kawan rapatnya, Hazim, meninggal dalam kejadian tanah runtuh, semalam.
Mohd Alif berkata, dia dan Hazim sangat rapat dan jika ke mana-mana pun mereka akan pergi bersama-sama, malah ketika rehat di sekolah, mereka akan makan berdua.

“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa Hazim awal pagi ini (semalam) dan terus ke hospital bersama ibu untuk melihat arwah.

“Saya berkawan dengannya sejak setahun lalu ketika belajar di dalam kelas yang sama di Sekolah Kebangsaan Taman Muda, Ampang dan arwah seorang yang baik,” katanya yang gagal mengawal kesedihan sehingga terpaksa ditenangkan ibunya.

Bagaimanapun, ibu dan kakak mangsa ketika ditemui enggan ditemubual kerana masih bersedih.Kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 14, Hulu Langat bersama lima lagi rakan mereka dalam satu liang lahad, semalam. - myMetro

Saturday, May 21, 2011

Mayat bayi dalam plastik


PASURUAN (Indonesia): Mayat seorang bayi ditemui di pinggir jalan di Desa Raci, Kecamatan Bangil, Kabupaten Pasuruan, semalam.

Bayi yang dipercayai lahir hasil daripada hubungan tanpa ikatan perkahwinan itu mungkin sengaja dibuang.

Bayi malang itu ditemui seorang penduduk, Arianto ketika pulang dari tempat kerja. Dia menjumpai bayi itu dalam kain sarung yang dimasukkan dalam plastik merah.

“Saya terlihat bungkusan plastik merah di pinggir jalan dan tertanya-tanya apakah isi di dalamnya. Saya mengambil bungkusan plastik itu dan membukanya. Saya cukup terkejut kerana mendapati ada jari bayi yang sudah mulai busuk,” katanya.

Dia kemudian memberitahu hal itu kepada penduduk desa sebelum mereka melaporkannya kepada polis.

Berdasarkan hasil bedah siasat, bayi yang berusia tiga hari itu adalah perempuan dan seberat 3.5 kilogram. Ketika ditemui, tubuhnya sudah berulat tetapi tali pusat masih melekat di perutnya. - JP

Paderi dibakar ketika ketuai upacara agama di gereja


VILNIUS (Lithuania): Seorang penyerang menyembur paderi Katolik dengan cecair bahan bakar dan kemudian mencucuhnya dengan api hingga menyebabkan wajahnya melecur ketika upacara keagamaan berlangsung di sebuah gereja di negara ini, kata polis, semalam.

Paderi Remigijus Kuprys, 46, berjaya memadamkan kebakaran itu dengan bantuan orang ramai tetapi wajahnya melecur.

Serangan itu berlaku apabila seorang penduduk tempatan berusia 42 tahun menyembur Kuprys dengan cecair bahan bakar lalu menyalakan api dengan pemetik api ketika upacara keagamaan berlangsung, kelmarin di bandar Jonova. 

Motif serangan itu masih disiasat.

“Kami menerima laporan bahawa suspek mengganggu upacara agama di gereja berulang kali, selain melaungkan kata-kata pelik. Polis memutuskan untuk melakukan ujian psikiatri ke atas suspek,” kata pegawai polis, Mindaugas Juknys. 

Suspek juga tidak melawan ketika polis tiba untuk menahannya. Sekiranya dia didapati tidak mengalami masalah mental untuk dibicara, dia berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun.

Polis berkata, Kuprys sudah keluar dari hospital selepas menerima rawatan atas kecederaannya.

Akhbar harian Lithuania, Lietuvos Rytas, semalam memaparkan gambar Kuprys dengan wajah yang dibalut dan hanya menampakkan mata serta mulutnya.

Kira-kira 80 peratus daripada tiga juta penduduk Lithuania beragama Kristian Katolik. - AFP

Pelajar Perempuan Maut Ketika Kejar Peragut


USUNG...jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Nur Syaza Yasmin. Foto-myMetro

KANGAR: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini maut dalam usahanya mengejar peragut yang dikatakan cuba meragut rantai leher perak milik adiknya di KM10, Jalan Kaki Bukit di Beseri dekat sini malam Khamis.
Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, yang mengejar peragut dengan motosikal meninggal di tempat kejadian apabila motosikalnya dikatakan bergesel dengan motosikal peragut sebelum mangsa terpelanting di atas jalan raya dan dilanggar pula oleh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu.
Adiknya, Nur Syaza Naurah, 15, yang membonceng motosikal itu menceritakan kejadian tersebut bermula ketika mereka baru sahaja mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Balai Baru apabila dihampiri oleh seorang penunggang motosikal yang bertanyakan sesuatu tetapi mereka tidak mengendahkanya.
"Pada masa yang sama lelaki itu cuba meragut rantas leher saya tetapi gagal kerana saya sempat menepis tangannya," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Keteri.
Dia berkata kakaknya yang naik berang telah mengejar motosikal peragut itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran motosikal tersebut.
Namun motosikal yang mereka naiki hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya selepas berselisih dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, selepas terjatuh dia sempat bangun menyelamatkan diri tetapi kakaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan dilanggar pula oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang menyebabkan dia meninggal serta merta di tempat kejadian.
Mayat Nur Syaza Yasmin dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Keteri sebelum solat Jumaat.
Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata pihaknya telah menahan dua pemandu kenderaan terbabit.
"Kedua-dua pemandu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun. Salah seorangnya adalah pemandu yang kenderaannya berselisih dengan motosikal mangsa manakala sorang lagi yang melanggar mangsa," katanya.
Beliau juga berkata polis masih belum pasti sama ada kes tersebut membabitkan kes ragut tetapi masa masa ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Lelaki yang dikatakan peragut itu belum dapat dikesan. - mStarOnline

Friday, May 20, 2011


Perkahwinan penyanyi popular Indonesia, Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan atau Marcell bersama pelakon Singapura, Rima Melati pada tahun 2009 yang lalu pernah menjadi satu perbualan yang hangat.
Kisah perkahwinan itu mengundang kontroversi apabila kedua-dua mereka berkahwin dan kekal dengan fahaman agama yang berbeza. Mahu kekal dengan beragama Buddha, Marcell bagaimanapun nekad mengahwini Rima, biarpun Rima juga kekal beragama Islam.
Konflik yang berlaku membuatkan nama pasangan ini senyap didalam di industri hiburan Malaysia seketika, dan kini setelah dua tahun kontroversi ini berlaku, masyarakat sudah mula melupakan perkara itu.
Buktinya, ketika kehadiran Marcell ke Malaysia baru-baru ini untuk melancarkan album terbarunya yang berjudul, And The Story Continues..., dia disambut baik oleh peminat-peminatnya.
Melancarkan album kelimanya ini di Malaysia mendahului negara asalnya, Indonesia, alasan Marcell, dia tidak mahu peminatnya disini terlalu lama menunggu.
"Saya mahu menghargai peminat yang banyak menyokong saya selama ini. Saya tidak mahu mereka menunggu kehadiran album saya terlalu lama seperti mana album-album saya yang sebelum ini.
"Rencananya, saya juga mahu melancarkan album ini sama dengan di Indonesia, tapi kerana ada beberapa hal, saya terpaksa tangguhkan dahulu perancangan saya di sana.
"Menarik tentang album saya kali ini, ia berkisarkan jalan cerita cinta yang tidak pernah berakhir dan terus berlanjutan dan yang lebih istimewa saya berpeluang bekerjasama dengan komposer sebesar nama Andy Rianto,"jelas Marcell.
Tidak lengkap jika tiada cerita mengenai peribadinya, sudah tentu ramai peminat yang bertanya tentang perjalanan kehidupan Marcell dan Rima selepas bergelar suami isteri.
"Kami berdua masih seperti berpacaran, namun kini masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri. Kali ini kedatangan saya di Malaysia tidak ditemani Rima kerana dia sibuk dengan dua produksi.
"Kehidupan kami bahagia, kami juga sering membuat aktiviti bersama. Sekarang Rima sibuk dengan tanaman-tanamannya di rumah, melihat pada aktivitinya itu saya juga jadi terikut-ikut. Turut sama ke taman jika tidak ada kerja,"jelas Marcell yang mengatakan dia dan Rima mempunyai minat yang sama iaitu suka duduk sahaja dirumah jika mempunyai masa lapang.
Ditebak tentang soal anak, ternyata Marcell sudah mempunyai perancangan tersendiri. Merancang untuk memiliki cahaya mata tahun hadapan, jelas Marcell dia dan Rima terlalu sibuk tahun ini.
"Mungkin kami akan merancang untuk mendapatkan anak tahun hadapan, kerana tahun ini merupakan tahun yang sangat sibuk untuk kami berdua,"jelas Marcell lagi. - manggaonline

Sindiket Penipuan Antarabangsa Guna Facebook Tumpas


KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang menggunakan laman sosial Facebook untuk memikat wanita dengan tertangkapnya tiga individu termasuk seorang wanita warga tempatan.
Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rodwan Mohd Yusof berkata ketiga-tiga mereka yang berumur antara 26 hingga 39 tahun yang dua daripada mereka adalah warga Nigeria, ditahan Isnin lepas dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Cheras.
Penipuan sindiket itu terbongkar setelah polis melancarkan siasatan ekoran laporan yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan warga Taiwan berumur 43 tahun kepada Kedutaan Taiwan di sini Februari lepas bahawa dia ditipu hampir RM380,000 selepas berkenalan dan jatuh cinta dengan salah seorang anggota sindiket itu melalui Facebook.
Rodwan pada sidang media di sini, Khamis, memberitahu bahawa suspek menyamar sebagai seorang warga Britain dengan menggunakan nama John Miller ketika berkenalan dengan mangsa kira-kira tiga bulan lepas.
Suspek mendakwa menetap di United Kingdom dan memberitahu mangsa kononnya dia akan memberi hadiah bungkusan dengan kandungannya terdapat barangan yang berharga pound sterling 950,000 dan mangsa perlu mengambilnya di Malaysia.
"Mangsa tinggal di Taiwan... suspek mendakwa mangsa harus membayar sejumlah wang kerana ada sekatan untuk bungkusan tersebut sampai di Malaysia," katanya.
Mangsa yang terpedaya telah melakukan beberapa transaksi melalui perkhidmatan Western Union atas nama akaun suspek wanita tempatan tersebut sebanyak RM380,000 dan sehingga ke transaksi ketiga barulah mangsa mengesyaki dia ditipu oleh sindiket "African Scam".
Selepas menyedari ditipu, mangsa datang ke Malaysia dan membuat laporan di Kedutaan Taiwan di sini dan seterusnya pihak polis telah menjalankan risikan dan berjaya menahan kesemua mereka, kata Rodwan.
Pada serbuan di Seri Kembangan, antara yang dirampas ialah sejumlah barang kemas bernilai kira-kira RM100,000, pelbagai jenis peralatan komputer, pelbagai jenis dokumen dan buku cek, sejumlah kad ATM dan visa pelbagai jenama serta wang tunai AS$15,000 (RM45,464) dan RM14,260, katanya.
Beliau berkata polis juga percaya wang hasil penipuan telah digunakan untuk menjalankan perniagaan sewa kereta yang didaftarkan atas nama suspek wanita tempatan tersebut.
Terdapat empat buah kereta seperti Toyota Rush dan Honda Accord bernilai kira-kira RM400,000 dirampas dari sebuah premis perniagaan yang terletak berhampiran kediaman dua suspek yang merupakan suami isteri di Seri Kembangan.
Pasangan suami isteri itu mempunyai seorang anak lelaki berumur satu tahun setengah dan si suami menetap di sini menggunakan visa pelancong manakala isterinya adalah seorang ahli perniagaan.
Beliau berkata seorang lagi suspek yang ditahan di sebuah apartmen di Cheras adalah seorang pelajar kolej swasta.
Rodwan berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak tiga atau empat bulan yang lepas.
"Kita akan menyiasat jika sindiket ini ada terlibat dengan kes-kes lain yang dilaporkan atau tidak dan kes ini adalah yang pertama dilaporkan untuk tahun ini," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda serta di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.
Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga esok.
"Pada tahun lepas sebanyak 759 kes penipuan dengan anggaran kerugian kira-kira RM20.5 juta telah dilaporkan dan 130 individu telah didakwa.
"Untuk tahun ini sehingga bulan lepas pula sebanyak 245 dengan RM9.4 juta kerugian dianggarkan dan 48 individu didakwa," kata Rodwan. - BERNAMA

Related Posts with Thumbnails

heratBeat