aDs

aluan

Followers

Friday, October 7, 2011

Rela tolak pinangan


TELUK INTAN: Seorang gadis sanggup melupakan hasratnya menaiki jenjang pelamin sebaliknya mengorbankan diri bagi menjaga ibu bapanya yang lumpuh.

Nor Azrin Mahmud, 24, yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual, menolak pinangan kekasihnya untuk memberi sepenuh perhatian kepada bapanya, Mahmud Bachik, 68, dan ibunya, Sangirah Salijam, 62.

“Buat masa ini saya langsung tidak memikirkan soal perkahwinan ataupun masa depan saya. Apa yang penting ialah memberi perhatian sepenuhnya kepada ibu bapa saya yang terlantar.

“Saya rela berkorban apa saja demi menjaga mereka berdua sehingga ke akhir hayat sebagai balasan ke atas pengorbanan dilakukan mereka sejak saya kecil sehingga dewasa,” katanya.

Nor Azrin, anak bongsu daripada sembilan beradik ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Padang Tembak, di sini, berkata, buat masa ini dia bersama seorang lagi kakaknya, Wahidah Mahmud, 26, bergilir-gilir menjaga ibu bapa mereka.

“Kedua-dua mereka memerlukan penjagaan rapi dan berterusan. Saya bersemangat tinggi untuk melakukan semua ini kerana saya amat menyayangi mereka,” katanya.

Dia berkata, adik-beradiknya yang lain sudah berumah tangga dan mempunyai bebanan masing-masing namun mereka tetap menziarahi orang tua selain bertanya khabar.

“Saya tidak mahu mereka terlalu memikirkan masalah ini (kesihatan ibu bapa) kerana saya sanggup berkorban. Begitupun, semua adik-beradik yang lain amat menyayangi ayah dan ibu, namun saya berazam menjaga orang tua kami,” katanya.

Azrin berkata, bapanya, seorang bekas pemandu teksi di bandar ini, jatuh sakit sehingga lumpuh seluruh badan sejak Januari lalu.

Berikutan itu, dia perlu memberi sepenuh perhatian terhadap penjagaan kesihatan bapanya termasuk membersihkan badannya selain menyuapkan makanan serta minuman.

Keadaan tambah mendukacitakan apabila ibunya pula terlantar di Hospital Teluk Intan (HTI) akibat kencing manis sehingga terpaksa dipotong kaki kiri, minggu lalu.

“Akibatnya kedua-dua orang tua saya kini hanya terbaring di rumah dan tidak mampu lagi bergerak bebas,” katanya.

Menurutnya, urusan menjaga orang tuanya itu tambah sulit apabila dia mengalami masalah kewangan untuk membeli lampin pakai buang, kos perubatan termasuk mencuci luka serta susu khas untuk orang tuanya.

“Saya sangat mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban ditanggung keluarga,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai JKM Hilir Perak, S Selvaratnam ketika dihubungi berkata, kesempitan hidup keluarga Mahmud sudah dimaklumkan kepada pihaknya. - myMetro

1 comment:

  1. Tahniah adik! kamu anak yg baik. Semoga Allah swt memberkati dan merahmatimu & keluarga. Dilimpahi rezeki yg berpanjangan diatas pengorbanan ini. Susah nak cari anak yg sanggup membela kedua ibubapa di zaman ini....teruskn selagi hayat dikandung badan.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails

heratBeat