KEADAAN wat Chaiwattanaram di bandar Ayutthaya yang terletak 80 kilometer di utara Bangkok yang ditenggelami air kelmarin. - AFP |
BANGKOK - Para pekerja dan anggota tentera Thailand bertungkus-lumus membina tembok-tembok penghadang di sini semalam berikutan banjir yang menenggelami sekitar satu pertiga negara berkenaan kini mengancam ibu negara Thailand tersebut.
Sekurang-kurangnya 238 orang terkorban di Thailand akibat hujan lebat, banjir dan banjir lumpur sejak akhir Julai lalu. Situasi bertambah buruk sejak beberapa minggu lalu apabila beberapa kawasan industri besar telah ditenggelami air, sekali gus menjejaskan ekonomi negara.
Selepas mengadakan pertemuan dengan barisan menteri, Ketua Tentera Thailand, Prayuth Chan-ocha memberitahu wartawan bahawa tembok penghadang di tiga kawasan paling berisiko dilanda banjir di sini sudah hampir siap dibina.
"Kami berbincang mengenai pelan perpindahan untuk membantu penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Chao Phraya. Kami sedia untuk bertindak sekiranya berlaku kecemasan.
"Apa yang membimbangkan ialah air pasang besar akan berlaku bermula hari ini hingga 19 Oktober depan. Kami perlu mengalirkan air banjir ke laut secepat mungkin," jelas Chan-ocha.
Air banjir dari utara Thailand diramal tiba di bandar raya itu pada hujung minggu ini bersama air pasang. Keadaan pasti diburukkan lagi dengan ramalan ribut dan hujan lebat sepanjang tempoh tersebut.
Bangkok menyumbang sekitar 41 peratus ekonomi Thailand. Sebarang gangguan serius terhadap kehidupan di ibu kota berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Thailand.
Dalam perkembangan berkaitan, wilayah Ayutthaya di utara bandar raya itu teruk dilanda banjir dengan sekurang-kurangnya tiga tapak industri besar terpaksa ditutup buat sementara waktu.
Sebuah kilang kamera digital SLR milik Nikon Corp dan kilang pemasangan kereta Honda Motor Co. Ltd. di lokasi tersebut telah ditutup.
Setakat ini, pengarah jabatan saliran dan pembentungan Bangkok, Sanya Cheenimit berkata, banjir di tiga daerah timur bandar raya ini kebanyakannya berlaku di kawasan pertanian.
"Saya ingin menyatakan bahawa situasi banjir di sini masih terkawal.
"Semua 50 daerah di sini bersedia dengan pelan perpindahan tetapi setakat ini, tiada tanda-tanda bahawa kita perlu berpindah," katanya.
Lebih dua juta penduduk terjejas dalam banjir di seluruh Thailand dengan bekalan asas di beberapa kawasan turut berkurangan ekoran banyak jalan raya ditenggelami air. - Reuters
No comments:
Post a Comment