aDs

aluan

Followers

Tuesday, October 4, 2011

3 beranak dijel


Datuk Adzhar Sulaiman manakala gambar kecil ialah Saiful Apek di lokasi  Shhh...Dia Datang

KUALA LUMPUR: Tiga beranak termasuk seorang penerbit filem, Datuk Adzhar Sulaiman dihukum penjara dan denda selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah lebih RM100 juta dan 360 tuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM59 juta, empat tahun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Adzhar, 56, dan dua anak perempuannya, Noradzma, 35 dan Noradzrin, 26, di akhir kes pembelaan. 

Keseluruhannya, Adzhar dihukum penjara lima tahun dengan dua tahun dan denda RM1 juta bagi kesalahan menerima deposit tanpa lesen dan tiga tahun bagi pengubahan wang haram.

Manakala Noradzma yang juga ibu tunggal dikenakan hukuman setahun penjara dan denda RM500,000 bagi pertuduhan menerima deposit haram serta dua tahun penjara bagi pengubahan wang haram.

Sementara itu, Noradzrin yang popular menerusi single lagu ‘Pujaan Malaya’ yang menghadapi 166 pertuduhan pengubahan wang haram diarah menjalani hukuman penjara selama 12 bulan.

Manakala, syarikat pelancongan Noradz Travel & Services yang diterajui ketiga-tiga tertuduh turut dikenakan denda RM5 juta terhadap pertuduhan menerima deposit tanpa lesen.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak bagi pertuduhan pengubahan wang haram turut mengarahkan hukuman bagi pertuduhan menerima deposit tanpa lesen berjalan berasingan bermula semalam.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara hingga proses di Mahkamah Rayuan selesai dengan syarat tambahan wang jaminan RM1 juta dengan cagaran RM500,000 ditambah lagi RM500,000. 

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa menggunakan wang haram untuk membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang, membeli produk insurans, pelaburan serta memindahkan wang ke akaun anak syarikat mereka.

Mereka didakwa melakukan aktiviti pengubahan wang haram itu di beberapa bank di sekitar Kuala Lumpur termasuk di EON Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Ambank (M) Berhad dan Eoncap Islamic Berhad antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari 2009.

Adzhar dan Noradzma turut menghadapi tuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah di antara Julai 2006 dan Oktober 2008 di No 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya. 

Syarikat mereka juga didakwa atas pertuduhan sama.

Rozana dalam penghakimannya berkata, keterangan yang diberikan tertuduh bersifat penafian semata-mata tanpa disokong keterangan lain selain memberi keterangan yang tidak konsisten dan sering berubah-ubah.

“Ini mengakibatkan mahkamah sukar mempercayai dan menerima keterangan bersumpah tertuduh,” katanya.

Rozana turut berkata keterangan tertuduh yang memberitahu bahawa mereka tidak mengetahui selok belok menguruskan syarikat itu tidak boleh diterima.

Sebaliknya, mahkamah berpendapat berdasarkan keterangan yang diberi jelas menunjukkan tertuduh memainkan peranan aktif dalam pengurusan syarikat itu.

Selain itu, Rozana turut mengharapkan supaya hukuman yang dijatuhkan akan menginsafkan tertuduh.

“Mencari kekayaan bukan dengan cara ini, mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang tidak mengetahui perjalanan perniagaan kamu,” katanya.

Syarikat Noradz Travel & Services mempunyai beberapa rangkaian syarikat yang terbabit dalam perniagaan penyewaan kereta, agensi pelancongan, pelaburan dan penerbitan filem seperti filem lakonan Saiful Apek bertajuk ‘Shhh...Dia Datang’ dan beberapa drama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farez Rahman dan Pegawai-Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Anthony Kularaj Kulasingam dan Fahmi Abd Moin manakala tertuduh diwakili peguam Afifuddin Mohd Hafifi.

Difahamkan ketiga-tiga beranak itu gagal membayar denda berkenaan. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat