AMPANG: Seorang lelaki berusia 26 tahun yang mendalangi lebih 25 kes samun dan rompak secara berkumpulan di sekitar daerah Ampang termasuk rompakan terhadap pelakon, Datin Maria Arshad pada 13 September lalu akhirnya berjaya ditumpaskan selepas ditangkap di sekitar Taman Melawati, Rabu lalu.
Suspek yang ditangkap kira-kira jam 8 malam ketika sedang menunggang motosikal sendirian, hasil beberapa laporan polis yang diterima mangsa dan risikan sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, hasil tangkapan itu polis merampas sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan rompakan.
“Siasatan polis mendapati, suspek yang juga ketua kumpulan itu dipercayai sudah mendalangi lebih 25 kes samun dan rompakan di sekitar daerah Ampang sejak enam bulan lalu. Hasil keterangan yang dibuat, suspek mengaku turut merompak Maria di Taman Melawati pada 13 September lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
“Modus operandi yang digunakan sindiket terbabit adalah mensasarkan individu yang keluar daripada kenderaan serta rumah tidak berpenghuni terutama di waktu bekerja,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Selasa lalu, Maria yang mengalami kerugian RM20,000 itu dikatakan baru tiba di perkarangan rumah menantunya iaitu pelakon dan pengacara popular, Syarifah Syahira di Taman Melawati, sebelum didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal dan bersenjatakan pisau yang bertindak melarikan beg tangan miliknya.
Amiruddin berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk mengesan saki baki kumpulan terbabit dipercayai didalangi lebih lima individu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, Amiruddin berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) IPD Ampang Jaya, mengadakan serbuan di sebuah rumah di Pandan Indah, Rabu lalu sebelum menahan seorang lelaki berusia lewat 20-an yang disyaki menjalankan perjudian loteri awam tanpa lesen.
Katanya, hasil serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu, polis merampas pelbagai kelengkapan komputer riba, dua telefon bimbit dan wang tunai RM77. - BHarian
No comments:
Post a Comment