KUALA LUMPUR: Hospital Kajang semalam mengakui kecuaian kakitangannya memasukkan darah jenis lain sehingga mengakibatkan seorang pegawai bank yang baru melahirkan anak ketiga terlantar di hospital itu sejak 10 hari lalu.
Pengarahnya, Dr P Kuldip Kaur, berkata pihaknya bertanggungjawab atas kejadian itu dan kesal perkara sedemikian boleh berlaku meskipun sentiasa mengambil langkah sewajarnya dalam merawat pesakit.
Sehubungan itu, beliau meminta maaf kepada pesakit dan keluarga serta memberi jaminan akan menyiasat perkara berkenaan secara adil dan telus bagi mengelak insiden sama berulang pada masa depan.
“Laporan itu benar, tidak dinafikan, hospital dan kementerian bertanggungjawab, kami simpati atas kesulitan yang berlaku.
“Kami sudah menyerahkan laporan terperinci kepada Pengarah Kesihatan negeri dan kes ini sedang disiasat Jawatankuasa Penyiasatan Bebas.
“Tindakan terhadap kakitangan terbabit yang masih bekerja hanya akan diambil selepas siasatan selesai dan kami akan panggil ahli keluarga untuk menjelaskan hasil siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pegawai bank yang baru melahirkan anak ketiga terlantar di hospital sejak 10 hari lalu akibat komplikasi berikutan kecuaian petugas Hospital Kajang memasukkan darah jenis lain ke tubuhnya pada 22 September lalu.
Petugas hospital didakwa memasukkan darah jenis B sedangkan darahnya jenis O, sebaik wanita berusia 34 tahun itu selamat melahirkan anak lelaki secara pembedahan. - BHarian
kemalangan sebegini dpt dielakkan kalau keikhlasan & kesungguhan bekerja dlm menjalani tugas ada pada diri sipelaku.
ReplyDelete