aDs

aluan

Followers

Monday, October 31, 2011

Abdul Aziz tampil serah peluru

ABDUL AZIZ menunjukan laporan polis yang dibuat di IPD Gombak, semalam.
ABDUL AZIZ menunjukan laporan polis yang dibuat di IPD Gombak, semalam.
GOMBAK: Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari yang menerima nota ugutan bersama sebutir peluru yang dihantar ke rumahnya di Selayang, pagi kelmarin tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk menyerahkan bahan bukti dan memberi keterangan.

Abdul Aziz yang tiba di IPD Gombak kira-kira jam 11.45 pagi, semalam ditemani isteri dan anak perempuannya sebelum meninggalkan ibu pejabat polis itu 30 minit kemudian sebaik selesai memberi keterangan berhubung insiden itu.

“Tujuan saya datang ke balai polis adalah untuk menyerahkan bahan bukti seperti peluru dan sekeping surat berbaur ugutan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut susulan laporan polis yang dibuat, semalam (kelmarin) di Balai Polis Simpang Taiping. 

“Saya tidak mengesyaki mana-mana individu bertanggungjawab menghantar nota ugutan itu kerana selama ini tidak pernah mempunyai musuh. Bagaimanapun, saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya ketika ditemui di IPD Gombak, di sini, semalam. 

Akhbar semalam melaporkan, Abdul Aziz menerima nota yang tertulis ‘Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti’ bersama sebutir peluru yang diposkan ke rumahnya di Bandar Baru Selayang sebelum beliau dan ahli keluarganya pulang ke rumah mentua di Perak. 

Abdul Aziz berkata, beliau percaya nota ugutan bersama peluru itu ada kaitan dengan kenyataannya berhubung kedudukan Sultan Selangor berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, baru-baru ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima bahan bukti daripada Abdul Aziz dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. 

Katanya, jenis peluru yang diterima Abdul Aziz ialah kaliber 9 mm yang diposkan bersama surat cetakan komputer menggunakan sampul surat coklat bersetem dua keping bernilai 60 sen. 

“Cop pada sampul surat itu didapati tidak jelas untuk dikenal pasti alamat pejabat pos yang dihantar. Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dilakukan dan bahan berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis,” katanya.  - BHarian

Anak gadis ghaib tak ambil periksa


MUHD. ZUKI menunjukkan laporan polis manakala Siti Hajar memegang gambar Nur Ainina yang dilaporkan hilang selepas dihantar ke sekolah di Lunas baru-baru ini. - image: KOSMO

KULIM: “Kami kini bimbang kerana Nur Ainina tidak hadir ke sekolah pada 24 Oktober lalu, sekali gus gagal mengambil dua subjek terakhir pada peperiksaan akhir tahun sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan.”

Begitu kata Mohd Zuki Jahaya, 47, dari Kampung Perenggang, Lunas, dekat sini, apabila anak perempuannya, Nur Ainina Adila, 14, pelajar Sekolah Menengah Lunas menghilangkan diri sejak seminggu lalu.

Mohd Zuki berkata, kali terakhir dia melihat anak perempuannya ketika mahu dihantar jirannya, Rosnah Ahmad, 46, ke Sekolah Menengah Lunas, di sini, dengan menunggang motosikal pada jam 11.30 pagi hari kejadian.

Menurutnya, anak bongsu daripada empat beradik berkenaan ketika itu berperwatakan seperti biasa apabila hanya memakai baju-T sekolah biru dan ungu serta berseluar sukan berwarna hitam.

“Pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti Deepavali, dia ke sekolah dengan memakai baju-T, sedangkan dia sepatutnya mengambil dua subjek untuk peperiksaan akhir tahun.

“Bagaimanapun, kehilangannya disedari jiran kami apabila mahu menjemput Nur Ainina pulang selepas dia tidak muncul di pintu masuk sekolah pada jam 6.45 petang.

“Berikutan itu, Rosnah menghubungi isteri saya, Siti Hajar Othman untuk mengetahui sama ada anak kami sudah pulang ke rumah dengan ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, hasil maklumat daripada rakan-rakan anaknya, dia diberitahu anak perempuannya langsung tidak hadir ke sekolah dan gagal mengambil dua subjek bagi peperiksaan akhir tahun.

“Terkejut dengan berita itu, kami mencari sehingga malam di Bukit Mertajam dan rumah saudara-mara serta kenalannya di Lunas, tetapi gagal lalu membuat laporan di Balai Polis Lunas pada hari kehilangannya,” katanya. 

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenai Nur Ainina diharap menghubunginya di talian 019-5253307 atau isterinya, Siti Hajar Othman di talian 019-5033091 atau balai polis berhampiran. - myMetro

Saturday, October 29, 2011

Budak maut dirempuh guru

MOHD. ZAMRI (kanan) mengangkat mayat Nor Afina (gambar kecil) yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.


KEPALA BATAS - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.
Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.
Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.
Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.
"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.
"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam. - KOSMO

Wanita dibelasah kerana gurauan melampau


KUANTAN: Niatnya hanya mahu bergurau namun tidak menyangka ia berakhir dengan kesakitan apabila seorang jurujual wanita dibelasah sepupunya yang berang dengan tindakannya menyembunyikan dompet dalam kejadian di Taman Raub Jaya, Raub, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 24 tahun cedera di muka dan patah hidung akibat ditumbuk, dihentak kepala di dinding serta disepak.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Perundangan negeri, Superintendan Mohd Haris Daud berkata, kejadian berlaku selepas sepupu mangsa berusia 24 tahun bergegas pulang ke rumah untuk mengambil dompet serta Mykad yang tertinggal dalam bilik kerana mahu menjalani ujian memandu.

Menurutnya, selepas gagal menemuinya, lelaki berkenaan ke tempat kerja mangsa di sebuah kedai perabot untuk bertanyakan mengenai dompetnya yang disangka hilang.

Beliau berkata, mangsa kemudian mengaku menyembunyikan dompet itu dengan tujuan mahu bergurau. Bagaimanapun, lelaki terbabit yang marah dengan tindakan mangsa mempermain-mainkannya membelasah mangsa tanpa belas kasihan.

“Mangsa ditumbuk, disepak seperti bola dan dihentak kepala pada dinding sehingga mengakibatkan gadis malang itu berlumuran darah di hidung sebelum tersungkur di permukaan lantai.

“Dia yang hampir pengsan terpaksa menggagahkan diri pulang ke rumah meminta bantuan keluarganya sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Raub (HR),” katanya, semalam.

Katanya, susulan kejadian itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan lelaki itu ditangkap di rumahnya sebelum ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. - myMetro

Amil serah diri kerana keluarga malu



JOHOR BAHRU - Disebabkan malu wajahnya disiarkan di akhbar, bekas imam di sebuah masjid di Kulaijaya di sini akhirnya menyerah diri kepada polis semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan wang zakat fitrah tahun lepas.
Menurut Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail, bekas imam itu, dikenali sebagai Redzuan Mohd. Said itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya kira-kira pukul 8 pagi semalam.
Katanya, suspek bertindak demikian apabila dihubungi ahli keluarga yang memujuk agar dia menyerah diri setelah malu wajahnya disiarkan di televisyen dan akhbar.
"Hasil siasatan awal polis mendapati suspek mengaku selama ini dia berada di Ipoh, Perak dan bekerja sebagai guru tahfiz.
"Dia kini ditahan untuk membantu siasatan dan reman akan dibuat esok (hari ini).
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membantu kami menyiarkan maklumat sehingga suspek sendiri membuat keputusan menyerah diri kepada polis," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! semalam melaporkan polis sedang memburu suspek yang dipercayai terlibat dengan penipuan wang zakat tahun lepas.
Suspek yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya disyaki gagal menyerahkan kembali wang kutipan zakat sebanyak RM18,000.
Sementara itu, Pengerusi MAIJ, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, satu mesyuarat akan diadakan minggu hadapan untuk mencari sistem terbaik bagi mencegah insiden penipuan wang zakat daripada berulang.
Katanya, meskipun kes penipuan yang membabitkan suspek merupakan kes terpencil, namun ia secara tidak langsung menjejaskan nama baik banyak pihak.
"Seingat saya, ini merupakan kes pertama seumpamanya yang berlaku di MAIJ tetapi kami akan mengambil tindakan lanjut bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.
"Saya akan memanggil semua pegawai saya minggu hadapan dan mengadakan mesyuarat bagi memperkemas sistem kutipan dan penyerahan wang zakat," katanya ketika dihubungi Kosmo!semalam.
Menurut Zainal, pada mesyuarat terbabit, pihaknya akan cuba mencari jalan mendapatkan kembali wang kutipan zakat yang dilaporkan hilang itu.
Katanya, kutipan zakat sepatutnya diserahkan kepada MAIJ sebaik sahaja selesai tempoh bayaran tetapi disebabkan cuti perayaan dan kesibukan, wang tersebut seringkali lewat diserahkan.
"Mungkin selepas ini kami akan tetapkan wang kutipan diserahkan seminggu sekali dan tidak perlu menunggu sehingga habis tempoh kutipan ataupun mana-mana amil yang dipertanggungjawabkan tidak boleh menyimpan wang melebihi RM10,000 atau sebagainya," katanya.
Sementara itu di Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berharap semua Majlis Agama Negeri berhati-hati dalam memilih dan seterusnya melantik golongan amil bagi mengutip wang zakat pada masa akan datang.
Menurutnya, walaupun setiap tahun diadakan semakan berkenaan pemilihan golongan amil oleh setiap negeri tetapi ia perlu dilakukan dengan lebih teliti bagi membendung masalah ini berulang.
"Soal songlap duit ia tidak kira siapa, jadi pihak majlis agama kena berhati-hati pada pelantikan golongan amil pada masa akan datang," katanya di sini semalam. - KOSMO

Friday, October 28, 2011

Polis Berjaya Tangkap Pencuri Bagasi Latin Amerika Di KLIA


SEPANG: Selama beberapa tahun, tiga lelaki Latin Amerika keluar masuk lapangan terbang antarabangsa negara kita dan kerja mereka ialah mencuri bagasi penumpang yang cuai dan leka.
Tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.
Pada Selasa lalu, pihak polis telah berjaya memberkas dua orang warga Peru berusia 56 dan 52 tahun setelah jenayah mereka diintip.
Ketua Polis Sepang, Supt Imran Abdul Rahman ketika mengumumkan demikian berkata, pihak polis telah melancarkan satu operasi bersepadu selepas seorang mangsa berusia 76 tahun, melaporkan kehilangan bagasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada lebih kurang jam 5 pagi Sabtu lalu.
“Mangsa sedang 'check-in' bagasinya untuk penerbangan ke Kota Kinabalu apabila menyedari salah satu daripada begnya hilang,” kata Supt Imran dalam sidang akhbar di pejabatnya, Khamis.
Hasil siasatan, polis telah berjaya mengekori dan menjejaki penjenayah antarabangsa ini sehingga ke sebuah kondominium di Ampang pada Selasa sebelum menahan mereka.
Polis turut menemui 16 lagi bagasi curi dari mereka, lima utas jam tangan dan sebuah iPad.
Penjenayah-penjenayah ini didapati keluar masuk Malaysia sejak tahun lalu dan siasatan awal mendapati, mereka terlibat dalam sekurang-kurangnya 12 kejadian mencuri bagasi di KLIA sahaja.
“Kami telah dapati mereka mensasarkan lapangan terbang, hotel mewah dan restoran mewah serta tempat-tempat membeli belah utama.
“Cara mereka memperdaya mangsa ialah dua daripada penjenayah ini berpura-pura bertanya sesuatu kepada mangsa manakala penjenayah ketiga melakukan jenayah curi tersebut tanpa disedari oleh mangsa,” kata Supt Imran. 
Supt Imran juga berkata, perbuatan jenayah ketiga-tiga penjenayah dari Peru ini juga telah berjaya dirakamkan melalui CCTV KLIA tanpa mereka sedari.
Mereka kini ditahan reman sehingga 7 November untuk membantu siasatan. - mStarOnline

Amil lesapkan wang zakat diburu

PEJABAT Majlis Agama Islam Johor di Johor Bahru melantik Redzuan (gambar kecil) sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya.


JOHOR BAHRU – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam penipuan wang kutipan zakat sebanyak RM18,000 pada tahun lepas.
Ketika kejadian, lelaki itu dikatakan merupakan seorang imam di sebuah masjid di Kulaijaya dekat sini.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail Abdullah berkata, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Redzuan Mohd. Said dikatakan gagal menyerahkan wang kutipan zakat sebanyak RM18,000 kepada Majlis Agama Islam Johor.
Menurut beliau, lelaki berkenaan mempunyai kad pengenalan bernombor 830803-01-5859 dengan alamat terakhirnya ialah di No. 5506, Jalan Matahari 34/8, Taman Indahpura, Kulaijaya.
“Suspek telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Johor sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya dan difahamkan dia telah berjaya mengutip wang zakat sebanyak RM18,000 pada tahun lepas.
“Bagaimanapun, sehingga kini suspek gagal menyerahkan kembali wang zakat kutipan tersebut,” kata Mohd. Luthfi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.
Kosmo! difahamkan, laporan telah dibuat oleh Pegawai Jabatan Agama Islam Kulaijaya sebaik menyedari suspek gagal menyerahkan wang kutipan dan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan semua kutipan zakat tersebut. - KOSMO

Murid pengsan ditimpa tiang bendera


HULU LANGAT 27 Okt. – Seorang murid perempuan Tahun Satu pengsan manakala rakannya cedera di tangan setelah ditimpa sebatang tiang bendera yang tiba-tiba tumbang ketika menyertai aktiviti sukan di sebuah sekolah rendah di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika kedua-dua mangsa sedang bermain berhampiran tiang bendera tersebut yang terletak di hadapan kawasan perhimpunan sekolah.

Seorang saksi kejadian memberitahu, salah seorang daripada murid itu dikatakan bermain pada skru tiang bendera sebelum skru tersebut tercabut dan mencederakan tangannya.

“Seorang lagi rakan mangsa yang berdiri tiba-tiba terkejut apabila tiang terbabit jatuh dan menghempap kepalanya lalu tidak sedarkan diri di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketika kejadian, saksi itu berkata, kebanyakan murid berada di padang sekolah kerana terlibat dalam aktiviti sukan sekolah.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa segera dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan oleh guru sekolahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, seorang murid hanya mengalami cedera ringan di tangan, manakala rakannya yang dihempap tiang kini boleh bercakap dan dilaporkan stabil.

Jelasnya, guru sekolah tersebut telah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa murid berkenaan dan membuat laporan polis petang ini. - UMalaysia

Gantung diri putus cinta


KULAIJAYA: Seorang remaja lelaki terkejut apabila bekas kekasih yang dihubungi semula selepas kurang dua jam memutuskan hubungan cinta mereka menggantung diri di kediamannya di sebuah tanah rancangan Felda di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, gadis berkenaan yang berumur 14 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di bilik tidur kediaman keluarganya pada jam 12 tengah hari.

Sumber terdekat dengan keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, pada jam 10.30 pagi, remaja lelaki berkenaan ada menghubungi mangsa dan memutuskan perhubungan cinta mereka.

“Kurang dua jam kemudian, remaja lelaki itu menghubungi mangsa buat kali kedua untuk berbincang berkaitan beberapa hal peribadi tetapi terkejut apabila panggilannya dijawab oleh ahli keluarga mangsa yang memaklumkan gadis berkenaan sudah meninggal dunia.

“Remaja lelaki itu kemudiannya menceritakan apa yang berlaku antaranya dengan gadis berkenaan sebelum kejadian kepada keluarga mangsa, dia nyata kesal dengan perkara terbabit,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT).

Menurut sumber, mangsa pelajar tingkatan dua di sekolah sama dengan bekas teman lelaki yang menuntut di tingkatan empat dan kejadian hanya disedari adik gadis berkenaan yang curiga selepas panggilannya tidak bersahut.

Sumber berkata, adik mangsa mengintai melalui lubang kunci dan terkejut mendapati kakaknya terkulai dengan kain batik terjerut pada leher.

Difahamkan, mangsa mungkin tertekan dengan perpisahan yang berlaku, dia kemudiannya dipercayai mengikat sehelai tuala pada lubang angin di dinding bilik.

Selepas itu, mangsa mengambil kain batik lantas diikat pada tuala berkenaan, kemudiannya, kain batik terbabit dijerut pada lehernya sebelum dia dikatakan terjun dari paras tinggi.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulaijaya, Mansor Othman dan pengetua sekolah mangsa turut hadir menziarahi jenazah mangsa, hadir sama Pengerusi Majlis Belia Felda Negeri Johor, Nanndzri Nasib. 

"Nanndzri berkata, Ia ujian berat daripada Tuhan dan kita sebagai hamba perlu reda dengannya, kita akan membantu keluarga mangsa mengikut kesesuaian,” katanya.

Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas kerana kes masih dalam siasatan. - myMetro

Tuesday, October 25, 2011

'Tanah Kubur' Bukan Untuk Takutkan Penonton


KUALA LUMPUR: Atas pencapaian drama Tanah Kubur yang mencatat rating tertinggi di kalangan drama di Astro Oasis (saluran 106), ia dilanjutkan ke musim kedua, kata wakil Astro Oasis Azlin Reza Azmi (gambar).
Drama arahan Rashid Sibir itu akan menemui penonton pada setiap Jumaat, pukul 7.30 malam bermula 4 November depan.
“Kami sangat berbesar hati dengan sambutan dan maklum balas penonton terhadap drama ini pada musim lalu.
“Secara tidak langsung, ia telah menunjukkan sokongan penonton terhadap usaha Astro Oasis dalam menyuntik elemen dakwah menerusi drama siri yang sarat dengan pengajaran,” katanya semasa sidang media pelancaran drama Tanah Kubur musim kedua di Rumah Malaysia, Bukit Jalil, Isnin.
Sementara itu, selaku pengarah Rashid menolak drama tersebut bertujuan untuk menakutkan penonton.
“Cerita yang disampaikan dalam drama itu bukan bertujuan untuk membuatkan penonton takut sebaliknya menyampaikan mesej yang berlaku disebalik perbuatan negatif yang dilakukan seseorang itu.
“Kali ini, saya menonjolkan isu-isu yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah dan zaman sekarang seperti menuduh sesama Muslim sebagai munafik, balasan mencuri duit surau, mayat tidak diterima bumi kerana bunuh diri, bapa yang merogol anak gadis sendiri, angkara tidak berlaku adil dalam poligami dan tidak membayar zakat.
“Saya mengupas isu-isu ini berdasarkan kajian, bacaan buku dan kisah benar. Paling penting, setiap cerita yang dipaparkan dalam drama ini mendapat kelulusan sepenuhnya daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya pada sidang media tersebut.
Namun, Rashid yang turut bertindak selaku penulis skrip dalam drama melibatkan pelakon Nasir Bilal Khan, Talha Harith, Jasmin Hamid, Amyza Aznan, dan Zulkefli Zain itu akui kurang puas apabila hanya mampu mengolah drama tersebut selama setengah jam untuk satu episod.
“Disebabkan siaran drama ini adalah 30 minit, saya terpaksa memilih plot yang betul-betul menarik dan mudah difahami oleh penonton kerana bukan mudah untuk memasukkan semua babak sekaligus,” ujarnya yang lebih berpuas hati mengarah drama bercorak kemanusiaan seperti Tanah Kubur. - mStarOnline

‘Mujur tak kena mata’


TEMPAT KEJADIAN...Nasharuddin (kiri)  menunjukkan kawasan kebun getah tempat dia diserang.
TEMPAT KEJADIAN...Nasharuddin (kiri) menunjukkan kawasan kebun getah tempat dia diserang.

ALOR GAJAH: Niat baik seorang anggota polis mahu membantu seorang penunggang motosikal yang disangka kehabisan petrol membawa padah apabila dia ditikam sebelum ditolak ke dalam gaung di jalan besar Hutan Percha di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, motosikal Honda EX5 milik mangsa, Koperal Nasharuddin Mansur, 50-an, turut dilarikan penjenayah berusia 20-an itu.

Menurut mangsa, kejadian berlaku apabila dia ke tempat kejadian selepas menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai tindak-tanduk mencurigakan seorang lelaki yang tidur di bawah pokok getah sambil memakai topi keledar dan sebuah motosikal ditinggalkan di tepi jalan.

“Ketika sampai di situ, saya melihat lelaki itu sedang berjalan kaki dengan bertopi keledar sambil menjinjing botol berisi petrol dari arah sebuah pam minyak sebelum bertanya masalah dihadapinya.

“Bagaimanapun, belum sempat saya menongkat motosikal untuk mendekatinya, dia menikam bahagian tepi berhampiran mata kanan saya dengan gunting,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, dia bernasib baik berikutan tikaman itu tidak terkena mata. Katanya, suspek juga menolaknya sehingga jatuh ke dalam gaung di tepi jalan berkenaan.

“Lelaki itu menolak rusuk kanan saya hingga terhumban ke dalam gaung sebelum melarikan motosikal saya dan memecut laju ke arah Solok Menggong.

“Pada waktu itu tiada pengguna jalan raya melalui jalan berkenaan dan saya terpaksa menghubungi Balai Polis Hutan Percha tempat saya bertugas bagi mendapatkan bantuan,” katanya. 

CEDERA...kesan tikaman dekat mata kanan mangsa.
CEDERA...kesan tikaman dekat mata kanan mangsa.
Menurutnya, difahamkan petrol yang dibawa suspek baru dicuri dari rumah seorang pekebun getah sebelum dia berpura-pura berjalan kaki dari arah sebuah pam minyak tidak jauh dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan kejadian dan berkata, gerakan memburu suspek yang membawa lari motosikal bernombor pendaftaran KBR 7269 milik mangsa sedang giat dilancarkan.

Menurut Umar, mangsa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Hutan Percha dan menerima dua jahitan akibat tikaman itu.

“Orang ramai yang terserempak atau mengesan suspek dengan ketinggian 158 sentimeter, berbadan gempal dan berkulit cerah diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya. - myMetro

Pondan lari dari pusat pemulihan

MOHD. RIDHWAN KHAN dipercayai memanjat pagar semasa melarikan diri dari Pusat Rawatan Cahaya Petunjuk di Wang Tepus, Jitra baru-baru ini. Gambar kecil, Mohd. Muzni Mohd. Noor.


JITRA - Seorang pelatih lelaki yang berperwatakan seperti wanita melarikan diri dari sebuah pusat rawatan serta pemulihan dadah dan akhlak di Wang Tepus di sini sejak 11 hari lalu.
Mohd. Ridhwan Khan Jumakahn (gambar kecil), 30, yang berasal dari Negeri Sembilan dipercayai bertindak demikian kerana tertekan semasa menerima rawatan di pusat berkenaan.
Pengetua Pusat Rawatan Cahaya Petunjuk, Mohd. Muzni Mohd. Noor memberitahu, pihaknya menyedari kehilangan pelatih itu ketika mahu mengejutkan para pelatih untuk solat Subuh secara berjemaah kira-kira pukul 5 pagi pada 14 Oktober lalu.
Katanya, pihaknya percaya pelatih terbabit memanjat pagar di pusat itu sebelum berjaya meloloskan diri.
"Kami telah cuba mencarinya di merata-rata tempat termasuk di Alor Setar, Pokok Sena dan Kuala Nerang, namun gagal.
"Kami turut menerima panggilan telefon daripada orang awam yang menemuinya di kawasan Bukit Tembaga, Kuala Nerang dan ingin menghantarnya pulang ke pusat ini.
"Malangnya, pelatih itu berjaya melarikan diri dan masuk ke kawasan hutan kerana tidak mahu diberi rawatan semula di pusat ini," katanya di sini semalam.
Mohd. Ridhwan Khan dimasukkan ke pusat itu sejak Mei lalu selepas ditahan kerana kes penyalahgunaan dadah selain berpakaian dan berperwatakan seperti wanita.
Menurut Mohd. Muzni, ketika melarikan diri, dia dipercayai memakai kemeja T berwarna biru gelap dan seluar trek biru.
"Sebelum ini dia pernah cuba melarikan diri sebanyak dua kali, namun berjaya ditahan polis dan dimasukkan semula ke pusat itu.
"Kita tidak mahu dia kembali kepada perwatakan wanita kerana sejak berada di sini dia sudah boleh menerima perubahan dan kembali menunjukkan sifat-sifat kelelakian secara perlahan-lahan," ujarnya.
Laporan kehilangan pelatih itu dibuat di Balai Polis Jitra pada 22 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Ibrahim Mohamed Yusof ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes itu. - KOSMO

RTM mohon maaf


SENSITIF...gambaran sekumpulan haiwan sedang membantu menyiapkan bahtera Nabi Nuh yang disiarkan pagi semalam.
SENSITIF...gambaran sekumpulan haiwan sedang membantu menyiapkan bahtera Nabi Nuh yang disiarkan pagi semalam.

KUALA LUMPUR: Penyiaran sebuah rancangan kartun terbitan Walt Disney di TV2 yang menggambarkan Nabi Nuh a.s bersama keluarga dan sekumpulan haiwan menyiapkan bahtera bagi menghadapi banjir besar berlaku secara tidak sengaja.

Sehubungan itu, pihak RTM khususnya TV2 memohon maaf atas kejadian itu dan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi memastikan ia tidak berulang lagi.

RTM dalam satu kenyataan turut berharap penonton akan terus memberi maklum balas untuk menambah baik kandungan siaran TV2. 

Menerusi rancangan kartun slot Mickey Mouse and Friends yang disiarkan kira-kira jam 8.30 pagi semalam, Nabi Nuh digambarkan sebagai seorang lelaki gempal, berjanggut panjang dan botak sedang memegang pelan membuat bahtera.

Bahtera itu disiapkan tiga anak lelaki, menantu dan isterinya bersama sekumpulan haiwan yang turut bertindak menggunakan kemahiran masing-masing bagi memudahkan penyiapan kapal besar itu sebelum banjir tiba. - myMetro

Monday, October 24, 2011

Bintang sukan latih budak jalanan tinju tomoi

SEJUMLAH kanak-kanak berlatih tinju tomoi di sebuah pusat kanak-kanak di Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.


PHNOM PENH - Seramai 20 budak yang berumur tiga tahun hingga 14 tahun berlatih tinju tomoi di sebuah pusat komuniti yang kecil di sini.
Mereka dilatih oleh legenda petinju tomoi negara itu, Eh Phuthong.
Phuthong yang telah bersara berharap dengan mendedahkan kemahiran tomoi kepada mereka, kehidupan budak jalanan tersebut akan bertambah baik.
"Mereka adalah budak yang miskin, sebahagiannya anak yatim. Saya menunjukkan kepada mereka seni mempertahankan diri supaya mereka dapat mempertahankan diri sendiri," kata Phuthong yang berusia 38 tahun.
"Saya juga memberitahu mereka supaya kekal sihat, meneruskan persekolahan dan jauhi dadah," tambahnya.
Ramai kanak-kanak menghabiskan masa dengan mengemis.
Seorang budak berusia 12 tahun yang bekerja menyelongkar sampah, Vong Nith berkata, dia kini berasa lebih yakin pada diri sendiri selepas belajar daripada Phuthong.
"Saya selalu takut akan dipukul oleh kanak-kanak yang kaya," kata Nith.
Menurutnya, takut dipukul itu menyebabkan dia keluar dari sekolah.
"Saya kini mempunyai ramai rakan di sekolah. Apabila saya besar, saya mahu menjadi petinju terkenal tomoi seperti Eh Phuthong. - AFP

Pemuda 17 tahun didakwa tembak Muammar Gaddafi

SEORANG pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan mengacukan sepucuk pistol ke arah Muammar Gaddafi di Sirte dalam rakaman video yang disiarkan kelmarin. - Reuters


TRIPOLI – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati ditembak oleh seorang pejuang antipemerintahannya yang berusia di bawah umur, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Menurut akhbar The London Times, Gaddafi mati ditembak dengan menggunakan sepucuk pistol bersadur emas miliknya.
Gaddafi membawa pistol itu semasa dia ditangkap oleh para pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) di dalam saluran pembentungan di luar bandar kelahirannya di Sirte pada Khamis lalu selepas beberapa pengikutnya turut terbunuh.
Dalam kejadian itu, konvoi Gaddafi diserang oleh jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyebabkan dia melarikan diri ke dalam saluran pembentungan tersebut.
“Gaddafi pada mulanya ditangkap oleh para pejuang dari timur,” kata satu sumber.
“Kemudian, kumpulan pejuang Misrata muncul untuk membawanya.
“Kumpulan pejuang dari timur tidak suka dengan (tindakan itu) menyebabkan seorang pejuang menarik pistol Gaddafi dan menembaknya. Kumpulan itu memberitahu kumpulan dari Misrata bahawa anda boleh mengambilnya sekarang,” tambah sumber tersebut.
Sumber itu memuji pemuda yang membunuh Gaddafi sebagai wira Libya.
“Kami tahu siapa yang membunuhnya. Dia merupakan seorang rakyat Libya. Justeru, kami akan melindunginya. Dia di bawah umur, justeru, dia tidak boleh dihadapkan ke mahkamah,” kata sumber tersebut.
Akhbar Mail Online melaporkan bahawa pemuda yang menembak Gaddafi itu berumur 17 tahun. – Agensi

Remaja dakwa diliwat guru

MIRI: Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini mendakwa menjadi mangsa liwat seorang guru dikenalinya di laman sosial Facebook, sejak setahun lalu.

Guru lelaki terbabit berusia lingkungan 30-an dan masih bujang serta mengajar di sekolah berasingan dengan pelajar terbabit, dikatakan melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mangsa datang ke rumahnya di sini.

Difahamkan pelajar lelaki berusia 15 tahun itu sering menghabiskan masa bersama guru berkenaan di rumahnya selepas berkenalan melalui Facebook sehingga wujud hubungan rapat antara mereka.

Bagaimanapun, bapa pelajar terbabit mengesyaki sesuatu apabila mendapati anaknya amat mesra dengan guru lelaki itu.

“Bapa pelajar itu bertanyakan anaknya mengenai hubungan mereka dan selepas didesak, pelajar berkenaan mengakui menjalin hubungan dengan guru lelaki berkenaan.

“Terkejut dan marah dengan pendedahan itu, bapa pelajar berkenaan membuat laporan Jumaat lalu di Balai Polis Pusat Miri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Superintendan Jamaluddin Ibrahim, ketika dihubungi semalam, mengesahkan laporan kes berkenaan. 

Katanya, polis menjalankan siasatan terperinci berikutan mangsa mendakwa beberapa kali diliwat suspek di rumahnya.

“Kita belum membuat tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan,” katanya. - BHarian

Saturday, October 22, 2011

Lelaki kematian isteri perkosa anak sendiri


JERANTUT: Seorang lelaki yang sudah kematian isteri, bukan saja tergamak merogol anak tunggalnya berusia lapan tahun malah lelaki durjana itu juga sanggup bergaduh besar dengan ibu dan adik perempuannya selepas keluarganya tampil membuat laporan polis berhubung tindakan kejamnya itu.

Mangsa, seorang murid tahun dua sebuah sekolah rendah di bandar ini dikatakan dirogol bapanya sendiri yang berusia 32 tahun ketika sedang mandi di bilik air rumah mereka di Kampung Jalan Batu Satu, dekat sini, kira-kira jam 2 petang, 14 Oktober lalu.

Sebelum kejadian, kanak-kanak malang itu baru pulang dari sekolah, masuk ke bilik air untuk mandi tanpa mengetahui gerak-gerinya diperhatikan oleh bapanya dan mangsa yang murung menceritakan perbuatan jijik itu kepada ibu saudaranya selepas didesak berbuat demikian.

Ibu saudara mangsa yang terkejut mendengar pengakuan mangsa kemudian menceritakan insiden itu kepada ibunya dan kedua-dua mereka memanggil suspek untuk mendapatkan cerita sebenar daripadanya.

Ketika ditanya, suspek mula berang dan bergaduh besar dengan ibu serta adik perempuannya itu dan dia turut dikatakan cuba bertindak agresif terhadap mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata nenek serta ibu saudara mangsa membawa kanak-kanak malang itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut kira-kira jam 2 petang, sehari selepas kejadian.

“Lelaki itu turut membuat laporan polis, dua jam selepas itu dengan tujuan mahu mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan selain mengadu dirinya dikasari oleh adik perempuannya. Dia ditahan sejurus selepas membuat laporan berkenaan,” kata Zakaria. - myMetro

Friday, October 21, 2011

Juadah dekat longkang


JIJIK...keadaan dapur yang tidak bersih walaupun   perniagaan  baru beroperasi.
JIJIK...keadaan dapur yang tidak bersih walaupun perniagaan baru beroperasi.

KUALA LUMPUR: Sangat kotor! Itulah ungkapan paling sesuai diberikan kepada sesetengah pemilik kedai makan sekitar Jalan Genting Klang yang tidak menjaga kebersihan sehingga memaksa pihak Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis penutupan kepada kedai berkenaan.

Harian Metro turut serta dalam operasi lawatan kebersihan ke beberapa premis makanan itu mendapati rata-rata pelanggan yang datang seolah-olah tidak sedar mengenai tahap kebersihan kedai yang mereka kunjungi itu amat teruk.

Tinjauan mendapati ayam yang sudah dimasak dibiar tergantung dekat longkang tiada penutup dan tersumbat. Malah, lipas berlegar-legar di setiap sudut dapur kedai berkenaan.

Seorang pelanggan, Malissa, 21, berkata, dia tidak pernah sakit perut atau keracunan makanan setiap kali ke kedai berkenaan.

“Saya tidak tahu pun kedai ini kotor, mungkin sebab saya selalu memesan makanan dari depan jadi tidak nampak apa yang berlaku di belakang.

“Rumah saya dekat kedai ini, sebab itu saya sering datang makan, tetapi selepas dapat tahu mengenai perkara itu, mungkin saya tidak akan datang lagi sehingga mereka bersihkan kedai terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu Pegawai Kesihatan Parlimen Wangsa Maju dan Setia Wangsa, Dr Jamaiyah Mohd Yunus berkata, jika ada kedai yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan Seksyen 11 Akta Makanan 1983, premis mereka akan dikenakan kompaun atau kedai perlu ditutup.

“Antara syarat perlu dipatuhi semua pengendali makanan ialah perlu mendapatkan suntikan, memakai apron, topi dan menghadiri kursus asas pengendalian makanan,” katanya.

Sembilan kakitangan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL menyertai operasi itu dan enam kompaun dikeluarkan dengan kesalahan berniaga di luar premis, membuang sisa makanan di longkang awam, ada urungan lipas, tiada suntikan dan tiada lesen perniagaan. - myMetro

Nak buang sial, tapi kena perkosa


KUALA LUMPUR: Terpengaruh dengan dakwaan dirinya disihir dan perlu dirawat, seorang wanita berusia 42 tahun dirogol seorang lelaki di sebuah hotel di Kepong, di sini, ketika mahu melakukan rawatan bagi membuang sial, Selasa lalu.

Difahamkan, mangsa yang dipengaruhi lelaki berusia 38 tahun yang mendakwa mempunyai kebolehan membuang sial, bersetuju mengekorinya ke premis berkenaan sebelum dirogol kononnya kaedah berkenaan mampu merawat mangsa.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang menyedari ditipu, membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini.

Menurut sumber, mangsa mengenali suspek kerana dia menyewa bilik di rumah mangsa sejak April lalu.

“Suspek menyewa di bilik berkenaan dengan isterinya dan sejak tinggal di rumah mangsa, lelaki terbabit sering mendakwa mangsa terkena sihir individu yang berdendam dengannya.

“Pada mulanya mangsa tidak percaya namun akibat sering mendengar dakwaan itu, mangsa menjadi takut,” katanya.

Sumber berkata, akibat takut mangsa bersetuju mengikut suspek ke sebuah hotel bagi menjalani rawatan.

“Sebaik tiba di hotel, suspek merogol mangsa dan mendakwa kaedah itu mampu membuang sial dan sihir yang ada pada tubuhnya,” katanya.

Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis berhampiran kediamannya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan. - myMetro

Bon Jovi buka restoran amal

BEBERAPA pekerja bergambar dengan Bon Jovi (tengah) di restoran miliknya kelmarin.- AP


RED BANK, Amerika Syarikat (AS) – Bintang rock, Jon Bon Jovi dan isteri mengambil peluang melakukan kebajikan dengan membuka sebuah restoran amal di AS.
Dikenali sebagai The Soul Kitchen, restoran berkonsep bayar apa yang anda mampu itu beroperasi di bekas sebuah premis kecantikan di sini, tengah negeri New Jersey kelmarin.
Restoran berkenaan menyediakan hidangan berkualiti kepada golongan kurang berkemampuan dan sebagai balasan, mereka digalakkan menghulurkan bantuan sebagai sukarelawan dalam projek-projek komuniti.
Pelanggan yang ingin membayar pula boleh meninggalkan wang di dalam sampul yang disediakan di setiap meja premis itu menurut kemampuan masing-masing.
Tiada senarai harga disertakan dalam menu The Soul Kitchen.
“Saya membuat keputusan membuka restoran ini apabila mendapat tahu bahawa seorang dalam setiap enam orang di AS tidur dalam kelaparan,” kata Bon Jovi.
Bon Jovi ialah penyanyi kumpulan rock Bon Jovi yang popular dengan lagu-lagu seperti Runaway, You Give Love A Bad Name dan Livin On A Prayer. – Agensi

Related Posts with Thumbnails

heratBeat