aDs

aluan

Followers

Friday, July 29, 2011

Rentung dalam wad


Rentung dalam wad
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) rentung dalam kebakaran di unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi, mangsa, Dedy Mulia Abdul Ghani, 33 yang dipercayai menghidap sakit mental sedang dirawat di hospital berkenaan gagal diselamatkan selepas terperangkap di dalam bilik di wad terbabit.

CEMAS...kelihatan orang awam menunggu di luar bangunan Hospital Besar Kuala Lumpur manakala jentera Bomba dan Penyelamat menghampiri pintu masuk bahagian kecemasan zon kuning berikutan kebakaran sebuah bilik yang menempatkan pesakit di ICU. Foto: Mohd Yusni Ariffin
CEMAS...kelihatan orang awam menunggu di luar bangunan Hospital Besar Kuala Lumpur manakala jentera Bomba dan Penyelamat menghampiri pintu masuk bahagian kecemasan zon kuning berikutan kebakaran sebuah bilik yang menempatkan pesakit di ICU. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Pengarah Penguat Kuasa Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata, anggota bomba menerima panggilan pada jam 12.34 pagi dan sampai ke tempat kejadian tujuh minit selepas itu.

Menurutnya, dua jentera bomba dari Balai Bomba Chow Kit dan Sentul dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Ketika sampai di HKL, kita dapati kakitangan hospital sedang berusaha memadam kebakaran itu menggunakan alat pemadam api.

“Kami mengambil alih memadamkan kebakaran di wad terbabit yang diselubungi asap tebal,” katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

Menurut Azizan, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain dan api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh setengah jam.

“Kakitangan hospital juga berjaya memindahkan seramai 15 pesakit ke wad lain. Bagaimanapun, Dedy yang terperangkap di dalam bilik terbabit gagal diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut kejadian terbabit bagi mencari punca kebakaran dan bagaimana mangsa terperangkap di dalam bilik itu. - myMetro

Tunggu kelahiran bayi seorang diri

KLANG – “Saya tidak mahu fikirkan penerimaan teman lelaki lagi, saya akan membesarkan bayi yang bakal lahir ini supaya masa depannya tidak pudar seperti saya alami sekarang,” demikian luahan hati seorang remaja yang hanya mahu dikenali Zila.

Zila, 17, terlanjur dengan teman lelakinya berusia 18 tahun sehingga hamil dan kini sedang menunggu saat melahirkan bayi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). 

Berikutan kejadian yang berlaku di Melaka tahun lalu itu, dia kini buntu dan seakan hilang arah selepas didakwa dipulaukan keluarga sendiri yang berada di Kluang, Johor.

Lebih menyedihkan, teman lelaki yang diharap dijadikan sandaran bertindak menjauhkan diri dan enggan bertanggungjawab mengahwininya. Zila berkata, dia mula mengenali teman lelakinya, Lan (nama samaran) tahun lalu ketika mengikuti konvoi bersama rakan ke Melaka.

“Rakan kenalkan saya dengan Lan dan kami mula berkenalan hingga menjalinkan hubungan cinta sebelum terlanjur beberapa kali.

“Kami ingin mengikuti kursus kahwin dan membina rumah tangga bersama, namun semuanya hancur selepas suatu hari saya disahkan hamil tiga bulan,” katanya.

Beliau ditemui dalam lawatan bersama jawatankuasa PKR Cabang Kapar, di sini. 

Zila berkata, meskipun pada peringkat awal, Lan menerima keadaan dirinya itu, namun lelaki yang kini bekerja di sebuah restoran makanan segera itu mula menunjukkan sikap berubah hati dan menjauhkan diri.

Gadis malang yang menamatkan persekolahan Tingkatan Dua itu pernah berhasrat untuk menggugurkan kandungan, namun atas nasihat rakan, dia tidak meneruskan niatnya itu.

“Saya mengambil keputusan itu kerana takut takut dimarahi keluarga, bagaimanapun saya tetap memberanikan diri memaklumkan kehamilan kepada mereka sehingga kini dipulaukan, kerana itu saya membawa diri ke Klang Mac lalu,” katanya.

Zila berkata, dia yang kini menumpang di rumah kakak angkatnya memperoleh pekerjaan sebelum dihantar ke HTAR kerana tempoh bersalin yang semakin hampir. Beliau mengakui, rasa sedih, kesal dan kecewa mula menguasai diri.

“Saya pasrah dan akan tetap menjaga bayi ini sebaik mungkin,” katanya. Meskipun terbabit dalam sejarah hitam, Zila masih mengharapkan penerimaan keluarganya sendiri. “Saya ingin mulakan hidup baru dan berharap sinar harapan akan menerangi kehidupan saya dan anak kelak,” katanya.

Sementara itu, PKR Cabang Kapar akan berusaha mencari alternatif bagi membantu Zila menghadapi masa depan yang lebih terjamin. - SHarian

Keluarga lelaki mati semasa aksi erotik mahu inkues dibuka semula


PUTRAJAYA - Keluarga seorang lelaki yang dipercayai mati semasa aksi erotik kendiri akan membuat representasi untuk meminta satu inkues bagi menentukan keadaan yang membawa kepada kematiannya, dibuka semula.

Peguam Gurbachan Singh, yang mewakili keluarga Th'ng Boon Siang, memaklumkan Mahkamah Rayuan hari ini bahawa mereka mahu mengadakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kes itu di Mahkamah Koroner (Mahkamah Majistret). 

Beliau memberitahu panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Azahar Mohamed bahawa beliau sudah memaklumkan pendakwaan mengenai perkara itu pagi ini. 

Oleh itu, mahkamah menangguhkan kes itu kepada 15 September bagi membolehkan pihak pembela membuat representasi. Hari ini ditetapkan untuk pendengaran kebenaran untuk rayuan.

Keluarga Th'ng memfailkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan bahawa keputusan Mahkamah Koroner bahawa kematian mangsa adalah disebabkan asfiksia (hal mati lemas) dan luka yang dilakukan sendiri yang dialami semasa melakukan aksi erotik kendiri.

Pada 2007, Mahkamah Koroner membuat dapatan berdasarkan testimoni Ketua Jabatan Forensik Hospital Ipoh Dr Mohammad Shafie Othman @ Osman, yang mendapati punca kematian akibat asfiksia seksual.

Gurbachan berkata, mereka mahu membuka semula kes itu kerana terdapat pendapat berbeza oleh dua ahli patologi forensik berhubung keadaan yang membawa kepada kematian Th’ng. 


Dua ahli patologi forensik itu ialah Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dr Mohammad Shafie.

Semasa inkues itu, beliau berkata, Dr Mohammad Shafie mendapati bahawa kematian mangsa disebabkan oleh pengasfiksian dan luka yang dilakukan sendiri semasa melakukan aksi erotik kendiri.

Dalam keterangan Dr Bhupinder di Mahkamah Tinggi semasa perkara itu disemak, berkata bahawa kematian mangsa bukan disebabkan aksi erotik kendiri.

Keluarga mangsa memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung keputusan Mahkamah Koroner.

Gurbachan berkata, semasa inkues dan di peringkat semakan di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan juga gagal untuk memanggil saksi penting, pembantu rumah Indonesia mangsa, yang menjumpai mangsa selepas insiden itu.

Bagaimanapun, keluarga pemilik kedai runcit itu percaya beliau dibunuh kerana leher dan kaki mangsa diikat dengan tali nilon dan rafia.

Isteri Th'ng, Ang Kim Hong, menjumpai mayatnya di atas lantai di sebuah bilik belakang di tingkat bawah kedai mereka pada kira-kira 7.30 pagi 29 Mei, 2003, di Manjung dengan kedua-dua tangannya diikat. - BERNAMA 

Facebook Larang Penyiaran Kulit Album Nirwana



LOS ANGELES: Gambar kulit album Nevermind, kumpulan rock popular, Nirvana pada tahun 1991 telah dilarang untuk dipaparkan di laman web sosial Facebook.
Seperti dipetik dari Femalefirst, gambar bogel seorang bayi yang berenang mendapatkan wang dikatakan melanggar nilai-nilai murni masyarakat.
Manakala seorang jurucakap yang juga pengendali laman Facebook memberitahu gambar tersebut melanggar syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh laman sosial tersebut.
"Facebook tidak membenarkan gambar yang menyerang individu atau kelompok, atau gambar bogel, penggunaan dadah, berbentuk kekerasan atau pelanggaran ke atas beberapa syarat lain.
Bagaimanapun, Spencer Elden iaitu bayi pada gambar tersebut pada 20 tahun lalu tidak membantah gambar berkenaan disiarkan di laman sosial berkenaan malah dia mengakui selesa apabila lebih ramai yang melihatnya. - mStarOnline

Wednesday, July 27, 2011

Minta RM1.5j dakwa kena culik

SHAH ALAM: Helah seorang wanita tempatan kononnya dia bersama teman lelakinya warga Nigeria diculik, untuk memperoleh wang RM1.5 juta daripada bapanya, tidak menjadi apabila mereka ditahan polis di lobi sebuah hotel di Pulau Pinang, 23 Julai lalu.

Wanita berumur 23 tahun dan teman lelakinya berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan di hotel berkenaan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, pada jam 8 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata polis menerima laporan bapa wanita itu yang mengatakan anaknya diculik pada 21 Julai lalu.

Katanya, bapa suspek wanita yang bekerja sebagai akauntan di Kuching, Sarawak menerima panggilan telefon seorang lelaki mengatakan anaknya diculik bersama teman lelakinya dan meminta wang tebusan RM1.5 juta.

“Hasil siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa tidak diculik, tetapi mereka membuat cerita untuk memperoleh wang segera,” katanya pada sidang media di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Adnan berkata, kedua-dua suspek adalah pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kajang, dekat sini dan sedang menunggu melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka memerlukan wang berkenaan bagi menampung perbelanjaan harian dan kos pembelajaran. Lelaki Nigeria itu kini direman sehingga 30 Julai, manakala teman wanitanya direman sehingga hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Penculikan 1961.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai merompak sebuah stesen minyak di Seksyen 15, di sini, awal pagi semalam, tidak sampai sejam selepas melakukan jenayah itu, pada jam 3.50 pagi.

Mohd Adnan berkata, dalam kejadian itu, tiga suspek memecahkan cermin dan merompak dua pekerja di stesen minyak berkenaan sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.

“Polis mengejar kereta suspek hingga mereka terbabas ke Jalan Persiaran di sini dan menahan seorang suspek berumur 19 tahun bersama parang dan tukul besi dipercayai digunakan untuk merompak, selain menemui semula wang tunai RM5,000 hasil rompakan itu. 

“Hasil siasatan mendapati suspek ada enam rekod kesalahan lampau dan kenderaan digunakan mereka dilaporkan hilang di Shah Alam, pada 16 Jun lalu. Kami masih memburu dua lagi suspek yang terbabit dalam kes rompakan itu,” katanya. - BHarian

Buruh simbah asid kena penjara, sebat

MOHAMAD Hafiz  keluar selepas perbicaraan di Mahkamah Sesyen Temerloh, semalam.
MOHAMAD Hafiz keluar selepas perbicaraan di Mahkamah Sesyen Temerloh, semalam.
TEMERLOH: Seorang buruh ladang dihukum penjara 16 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah menyimbah cuka getah terhadap dua beradik di FELDA Jengka 9, Selasa lalu.

Tertuduh, Mohamad Hafiz Ismail, 31, dari FELDA Jengka 9 menghadapi dua tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, dan adiknya Syaffiy Aiman, 10, dengan menyimbah cecair dipercayai cuka getah.

Bagi setiap kesalahan, tertuduh dihukum penjara lapan tahun dan dua sebatan dan Hakim Dazuki Ali memerintahkan hukuman terhadap Mohamad Hafiz, berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditahan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mohamad Hafiz dituduh melakukan kesalahan itu di jalan berdekatan FELDA Jengka 9, antara jam 7.30 malam dan 8.30 malam, Selasa lalu.

Shafiq Haikal, yang juga anak sulung daripada empat beradik itu adalah pelajar di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 12, manakala Syaffiy Aiman, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan FELDA Jengka 9.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak menunjukkan sebarang reaksi, sekadar mengangguk tanda faham sebelum membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Beliau yang bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan mempunyai pendapatan RM300 sebulan dan terpaksa menanggung ibunya yang sakit jantung.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd Rahim meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas perbuatan kejam tertuduh dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Beliau meminta mahkamah mengambil kira kesan trauma seumur hidup yang terpaksa ditanggung kedua-dua mangsa.  - BHarian

‘Kalau boleh tak mahu ingat’


KUALA TERENGGANU: “Tak pandai nak cakap, kalau boleh tak mahu ingat dah,” kata Ayub Abdul Rahman, 30, bapa Khairul Arief Ayub, 6, yang maut selepas sejumlah besar mercun disimpan dalam sebuah rumah dijadikannya tempat menyimpan bahan terbabit di Kampung Makam Lama, di sini, meletup pada 22 Ogos tahun lalu.

Katanya, semua orang boleh mentafsirkan insiden berkenaan mengikut pandangan masing-masing, tetapi penderitaan sebenar ditanggung mereka sekeluarga tambahan pula Khairul Arief satu-satunya zuriat mereka ketika itu.

Sambil cuba menenangkan diri dengan memanggil isterinya, Kamariah Suffian, 26, Ayub yang ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Baruh, di sini, semalam berkata, dia enggan mengenang tragedi itu yang hanya akan membuatkannya menangis mengingatkan arwah anak lelaki kesayangannya itu sebelum berlalu pergi dan tidak mahu ditemubual lanjut kerana tidak dapat menahan kesedihan. - myMetro

Usik ayam


Ini bukan ayam dalam ini cerita, ini ayam google
BATU GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun nyaris buta apabila seekor ayam jantan peliharaan datuknya, tiba-tiba ‘mengamuk’ sebelum mematuk mangsa lebih 15 kali terutama di bahagian muka dan kepala.

Difahamkan, mangsa, Wan Muhd Zulhilmi Wan Mohd Zaidi, dikatakan memasuki reban ayam milik datuknya di Lorong Mat Saman, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin sebelum ayam itu mematuknya dan hampir mengenai bahagian mata.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bawah kelopak mata, kepala dan telinga, selain kesan cakar di bahagian belakang badan dan kaki.

Anak kedua pasangan Wan Mohd Zaidi Wan Othman, 32, dan isteri, Noradzlinda Abdul Aziz, 32, itu kemudian dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Wan Mohd Zaidi yang juga seorang ahli perniagaan berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah yang terletak kira-kira 10 meter dari reban ayam itu.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian itu selepas dikejutkan dengan jeritan anaknya itu. Beliau kemudian bergegas ke halaman rumah sebelum mendapati seekor ayam jantan sedang melompat sambil mematuk kepala dan muka anaknya berulang kali.

“Ketika itu, anak saya dalam keadaan terduduk sambil matanya terpejam, manakala ayam itu dilihat mematuk dan mencakar kepala serta mukanya bertubi-tubi.

“Saya cuba menghalau ayam itu tetapi gagal kerana ia enggan beredar.

“Saya kemudian memanggil bapa mentua, Abdul Aziz Hamid, 70, dan dia menyepak ayam itu menyebabkan ia beredar,” katanya.

Wan Mohd Zaidi berkata, dia kemudian membawa anaknya ke klinik berhampiran bagi merawat kecederaan dialami mangsa.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana serangan itu tidak mengenai mata anaknya, sebaliknya hanya mengenai kelopak dan bahagian bawah mata. - myMetro

Monday, July 25, 2011

Dibelasah samseng


AMPANG: Sepasang suami isteri cedera selepas dipukul seorang lelaki yang layak digelar ‘samseng jalanan’ hanya kerana kereta dinaiki mangsa hampir melanggar kereta lelaki itu di Taman Melawati, di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu menyebabkan pasangan itu cedera di mata, muka, badan dan kaki selepas dipukul lelaki berusia 30-an terbabit.

Mangsa, Nasib Kaur, 25, berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya Mubeen Akhtar, 31, dalam perjalanan ke pusat bandar sebelum bertembung dengan kereta dipandu lelaki berkenaan dan mereka hampir merempuh kereta itu.

“Sebagai tanda minta maaf, kami mengangkat tangan kepadanya, namun lelaki itu yang tidak berpuas hati dengan kejadian berkenaan menyembunyikan hon dan meminta kami berhenti.

“Sebaik berhenti, lelaki itu keluar dari kereta meluru ke arah suami saya dan dengan tiba-tiba terus menumbuk muka suami serta menampar muka saya yang cuba menenangkan keadaan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, selepas puas membelasah mereka hingga mendatangkan kecederaan di mata dan muka, lelaki itu kemudian masuk semula ke dalam keretanya untuk melarikan diri tetapi dihalang suaminya.

Nasib Kaur berkata, suaminya menghalang dengan cara berdiri di depan kereta lelaki itu menyebabkan lelaki berkenaan sengaja melanggar hingga menyebabkan suaminya terjatuh dan mengalami kecederaan di kaki kiri.

“Terkejut dengan kejadian itu, saya bertindak menarik kolar baju lelaki berkenaan menyebabkan dia keluar dari kereta sebelum bertindak menumbuk muka suami saya sekali lagi.

“Dalam keadaan itu, saya berlari ke kereta dan menelefon polis untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya yang mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

Katanya, anggota polis tiba beberapa minit kemudian dan meminta mereka ke Balai Polis Taman Melawati untuk diambil keterangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes berkenaan sedang disiasat. - myMetro

Terperosok bawah bas


NGERI...anggota bomba  mengeluarkan mangsa yang maut di bawah bas ekspres.
NGERI...anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut di bawah bas ekspres.
LEMBAH BERINGIN: Seorang lelaki maut sebaik motosikal ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terpelanting dan digilis sebuah bas ekspres di Kilometer 404.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur, di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan mangsa dikenali sebagai Syafiq Aswadi Hishamuddin, 23, mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pemandu bas ekspres berkenaan, Ismail Naim, 52, berkata dia terkejut apabila ternampak ada objek terbang menghentam cermin hadapan diikuti bunyi dentuman kuat lalu memberhentikan bas dipandunya dengan segera.

Katanya, sebaik turun daripada bas, dia amat terkejut melihat ada seorang lelaki terperosok rapat di bawah bas membawa 41 penumpang dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, cermin hadapan bas itu pecah dan retak teruk selepas dipercayai terkena topi keledar mangsa.

“Saya menghubungi pasukan bomba dan polis bagi memaklumkan kejadian itu bagi mendapatkan bantuan dengan segera. Selain itu, pemilik syarikat bas kami juga turut dihubungi untuk memberitahu kejadian itu.

“Mangsa yang sudah pun meninggal dunia di tempat kejadian dikeluarkan sepasukan anggota bomba Kuala Kubu Bharu kira-kira 30 minit selepas kemalangan berlaku,” katanya.

Naim berkata, semua penumpang basnya yang terselamat dipindahkan menggunakan dua bas lain bagi meneruskan perjalanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - myMetro

Cucu rompak nenek kena tujuh tahun

SHAMSUL KAHAR  (kiri) dan Mohd Ikhwan dibawa keluar dari  Mahkamah Sesyen  Kota Bharu selepas dijatuhi hukuman, semalam.
SHAMSUL KAHAR (kiri) dan Mohd Ikhwan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dijatuhi hukuman, semalam.
KOTA BHARU: Seorang pemuda boleh dianggap 'cucu durjana' kerana bukan saja merancang rompakan terhadap nenek sendiri, malah turut membiarkan warga emas berusia 78 tahun itu ditolak rakan karibnya semata-mata mahu mendapatkan barangan kemas bernilai RM6,000.

Perbuatan kejam itu dilakukan dua sahabat terbabit ketika merompak warga emas berkenaan menggunakan alasan singgah ke rumah itu untuk meminta segelas air menghilangkan dahaga.

Kronologi perbuatan tertuduh terkandung dalam fakta kes dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari sejurus Shamsul Kahar Mohamad, 30, dan rakannya, Mohd Ikhwan Abdullah, 30, mengaku salah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Malah, ketika mengemukakan rayuan di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Irwan Suainbon, Shamsul Kahar turut membuat pengakuan berani apabila mendakwa dipengaruhi pil kuda ketika merompak mangsa selain tidak tidur seminggu.

Irwan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan terhadap Shamsul Kahar yang juga cucu mangsa dan memerintahkan hukuman itu bermula semalam.

Mohd Ikhwan juga dipenjara 10 tahun dan lima sebatan selepas didapati mempunyai empat rekod kesalahan lampau termasuk dijatuhi penjara enam bulan dan setahun bagi kes sebelum ini.

Asmah berkata, dalam kes itu, tertuduh pertama yang juga cucu mangsa dan rakannya masuk ke rumah itu sebelum meminta minuman dan ketika mangsa ke dapur mengambil air, tertuduh kedua mengikutnya dan berpura-pura bertanyakan bilik air.

"Suspek kemudian meragut rantai warga emas itu. Cucu sepatutnya menjaga neneknya berusia 78 tahun, bukan menyakiti, sebaliknya sanggup merompak mangsa," katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shamsul Kahar dari Kampung Padang Enggang, Jalan Pasir Hor dan Mohd Ikhwan dari Kampung Kubur Kuda, dekat sini, didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Rokiah Boto dengan mengambil seutas rantai tangan dan gelang emas bernilai RM6,000.

Kedua-dua mereka didakwa bersama melakukan perbuatan itu di Taman Binjai Manis, Ketereh, dekat sini, jam 1 tengah hari, 28 Jun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - myMetro

Tahan sakit 7 jam disengat tebuan

MUHAMMAD ADLI   menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar  kelmarin.
MUHAMMAD ADLI menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar kelmarin.
KUALA KANGSAR: Dua pelajar Tingkatan Dua Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh terpaksa menanggung kesakitan hampir tujuh jam sebelum diselamatkan bomba dan penyelamat akibat cedera disengat tebuan ketika mendaki Gunung Bubu, Ulu Kenas, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Muhammad Adli Aiman Razali dan Mohd Harith Zainudin, masing-masing berusia 14 tahun, cedera terutama di muka dan seluruh badan akibat disengat tebuan tanah sebelum dibawa turun anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, malam kelmarin.

Kedua-dua mereka yang kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK) dilaporkan stabil dan dijangka keluar hospital hari ini. 

Mereka antara 26 pelajar dan tiga guru pengiring STAR yang menyertai ekspedisi berkenaan.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Adli, berkata dia bersama pelajar lain termasuk guru pengiring mula mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 9 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 petang apabila secara tiba-tiba diserang tebuan tanah.

“Sebaik diserang, saya dan Mohd Harith lari bertempiaran serta sempat menjerit kepada rakan lain termasuk guru supaya menyelamatkan diri.

“Keadaan menjadi kelam-kabut apabila masing-masing lari menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, keadaan kembali tenang setengah jam kemudian sebelum saya diberi rawatan awal oleh guru,” katanya ketika ditemui di HKK di sini, semalam.

Muhammad Adli berkata, tebuan tanah itu menyerangnya selepas dia dan Mohd Harith terpijak sarang serangga berbisa itu ketika mendaki. - BHarian

Saturday, July 23, 2011

‘Kami pernah kelaparan’


JOHOR BAHRU: “Kecederaan termasuk pendarahan dalam perut yang saya alami akibat dibelasah suami mungkin sembuh, tetapi pengalaman perit menjalani kehidupan serba kekurangan termasuk terpaksa berlapar beberapa hari akibat kehabisan makanan, tetap kekal dalam ingatan.

“Keadaan itu mengakibatkan saya dan anak terpaksa bergantung kepada ihsan jiran untuk sesuap nasi, namun kami tidak pernah mengharapkan kepulangan suami,” kata seorang wanita yang ditinggalkan suami, Sharifah Aziayatun Syed Alwi, 33, ketika ditemui di rumahnya di Taman Anggerik, kelmarin.

Bekas kerani syarikat swasta itu berkata, dia lebih rela berpisah dengan suami kerana trauma dengan kekejaman lelaki itu yang sering menderanya hampir setiap hari.

Menceritakan tragedi hitam itu, Sharifah Aziayatun berkata, suami sering memukulnya di depan anak sulung hingga kanak-kanak berkenaan menangis ketakutan dan merayu bapanya menghentikan perbuatan itu.

“Saya juga sering disepak terajang dan ditampar suami yang panas baran, malah lebih lagi jika saya bertanyakan nafkah untuk empat anak kami.

“Sepanjang 11 tahun berkahwin, saya sudah lali dengan masalah kewangan memandangkan suami sering bertukar kerja,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka kesabarannya selama ini hanya sia-sia kerana suami masih tidak pernah insaf sebelum meninggalkannya dan anak-anak berusia tiga hingga 10 tahun sejak April lalu.

Empat anak Sharifah Aziayatun ialah Nur Atirah Syafikah, 10, Rabiatul Atirah, 8, Mohd Iman Mukhriz, 6, dan Nur Atirah Nabilah, 3.

Menurutnya yang sudah berhenti kerja setahun lalu, akibat didera suami, dia mengalami pendarahan dalaman di perut dan masih menerima rawatan sekurang-kurangnya sekali sebulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Katanya, masalah kesihatan dialami itu menyebabkannya sukar bekerja hingga keluarganya tidak mempunyai sebarang pendapatan dan terpaksa bergantung kepada ihsan jiran sejak tiga bulan lalu.

“Empat bulan lalu, darah beku di perut saya disedut keluar, namun saya diminta menjalani rawatan susulan termasuk pada 27 Julai ini bagi mengelak kesihatan bertambah buruk,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga juga pernah hanya meneguk air suam untuk mengisi perut kerana kehabisan makanan dan tidak tergamak meminta bantuan jiran.

“Namun jiran yang bimbang melihat anak tidak bermaya dan lesu akibat tidak makan menawarkan bantuan seperti makanan dimasak mahu pun beras selain membelikan sarapan pagi,” katanya.

Katanya, dia hanya berserah kepada takdir Allah jika diminta keluar dari rumah yang diduduki dalam tempoh kurang 10 hari berikutan gagal melunaskan sewa tiga bulan.

“Pemilik rumah yang bersimpati hanya memberikan tempoh untuk kami tinggal di sini hingga akhir bulan. Kami buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan jika terpaksa keluar.

“Saya seperti digantung tidak bertali, bercerai tidak, diberi nafkah pun tidak. Matlamat hidup saya hanya satu iaitu berusaha memberi pendidikan sebaik mungkin kepada anak-anak,” katanya. - myMetro

Rempuh peragut


GOMBAK: Seorang lelaki yang berang selepas dua lelaki menyamun keretanya dengan memecah cermin belakang penumpang sebelum melarikan RM10,000 ketika berhenti di satu persimpangan lampu isyarat Taman Bersatu, Rawang di sini nekad merempuh motosikal peragut itu menyebabkan seorang ditahan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, lelaki terbabit yang juga pemandu sebuah syarikat bersama rakan wanitanya baru mengeluarkan wang itu dari sebuah bank di pekan Rawang untuk membayar gaji pekerja.

Selepas mengeluarkan wang itu, mereka berdua masuk ke dalam kereta untuk pulang ke pejabat syarikat.

Bagaimanapun, ketika tiba di lampu isyarat Taman Bersatu, tiba-tiba sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki memecahkan cermin kereta dipandunya di sebelah penumpang sebelum merampas beg sandang berisi wang itu yang dipegang rakan wanitanya.

Menurut sumber, sebaik merampas beg sandang itu, kedua-dua lelaki terbabit terus melarikan diri ke arah pekan Rawang.

“Lelaki itu yang terkejut dengan tindakan suspek mengejar mereka, terus memecut.

“Sebaik mengekori rapat motosikal suspek hingga di simpang Kampung Kenanga, suspek tiba-tiba membelok ke kiri simpang itu menyebabkan kereta mangsa yang mengekori rapat merempuh motosikal itu hingga kedua-duanya terpelanting,” katanya.

Sumber berkata, sebaik melihat kedua-dua suspek terpelanting, lelaki itu dan rakan wanitanya keluar menangkap mereka.

“Dua lelaki terbabit panik melarikan diri, seorang yang membawa beg sandang itu masuk ke dalam longkang besar berdekatan untuk menyorok.

“Bagaimanapun, orang ramai berhampiran kawasan itu membantu mangsa menangkap suspek yang menyorok dalam longkang itu,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian suspek dibawa keluar sebelum polis peronda membawanya ke Balai Polis Rawang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan penangkapan suspek dan dia kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. - myMetro

Tajaan Perkahwinan Norman, Memey Bernilai RM12 Juta


KUALA LUMPUR: Pasangan Norman Hakim,35, dan Memey Suhaiza, 23, bakal mengadakan sebuah majlis perkahwinan bernilai RM12 juta pada 28 September ini di Hotel Crown Plaza Mutiara di sini yang ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.
Menurut wakil Rafflesia selaku perancang perkahwinan pasangan itu, Bill Bora, sebanyak enam penaja yang akan bekerjasama dengan Rafflesia iaitu Lords Tailor, Snips, Angsana Spa, Crown Plaza, Naz(pereka pelamin dan dewan) dan Prof. Datuk Jimmy Choo.
"Memey akan memakai sebanyak dua persalinan baju dan antara tajaan yang diterima ialah, set barangan kemas yang bernilai RM5.6 juta, gaun bertatahkan mutiara Rafflesia bernilai RM1 juta dan kasut rekaan Jimmy Choo (RM600 ribu).
"Bagi persalinan gaun, kami memberi peluang kepada semua pereka fesyen tempatan untuk menghantar rekaan masing-masing dan pihak Rafflesia akan memilih yang terbaik di mana rekaan tersebut mestilah berpadanan dengan mutiara yang dipadankan itu," katanya pada sidang akhbar penajaan perkahwinan Norman dan Memey di Hotel Crown Plaza, di sini, Jumaat.
Tambah Bill, tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan New York Look dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.
Lebih menarik lagi beberapa selebriti antarabangsa turut dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut dan perkahwinan ini mungkin boleh dianggap sebagai 'Wedding of The Year'.
Norman dan Memey bakal bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor dan pada keesokan harinya, resepsi di rumah pihak perempuan akan diadakan.
Kata Norman, pada mulanya, dia dan Memey bercadang ingin membuat sebuah majlis sahaja di Kota Tinggi dan tidak sangka pula menerima tawaran penajaan untuk resepsi kedua yang begitu besar.
"Sebenarnya kami rasa sangat kerdil apabila menerima tajaan daripada pihak yang bukannya calang-calang orang. Maklumlah, siapalah kami jika dibandingkan dengan selebriti tersohor yang lain.
"Rasa seperti berada di alam fantasi pun ada juga. Tetapi saya anggap tajaan berkenaan adalah rezeki kami dan saya percaya sepanjang kontroversi yang kami lalui sebelum ini ada hikmahnya," ujarnya.
Bagaimanapun Norman tidak menganggap ia sebagai sebuah perkahwinan 'perniagaan' apabila mereka ditaja sepenuhnya pada majlis resepsi kedua itu.
Ditanya pula adakah dia akan menjemput bekas isterinya, Abby Abadi, kata Norman dia semestinya akan menjemput ibu kepada tiga orang anaknya itu iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim, 9, dan Maria Danisha Hakim,3.
"Sudah pasti saya akan menjemput Abby. Lagipun, dia sudah pun menghantar ucapan tahniah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS)," katanya. - mStarOnline

Friday, July 22, 2011

Dua beradik ‘berasap’ kena asid

MARAN: Dua beradik yang dalam perjalanan pulang daripada mengaji al-Quran parah dipercayai disimbah cuka getah dan terpaksa di bawa ke hospital dalam keadaan ‘berasap’, di FELDA Kesumba Jengka 9, dekat sini, malam kelmarin.

Shafiq Aiman Mat Safar Zaidi, 10, cedera teruk di muka dan mata manakala abangnya Shafiq Haikal, 13, cedera di badan dan muka sebelah kiri.

Mereka dikejarkan ke Hospital Jengka sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan, Ahmad Johari Shahabudin, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mereka yang menunggang basikal dalam perjalanan ke rumah rakan mereka untuk belajar.

“Tiba-tiba seorang lelaki dipercayai jiran mangsa yang tinggal di Blok 8 menyimbah asid ke arah kedua-dua beradik berkenaan.

“Suspek yang berusia 30-an sudah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Zafrida Che Sham, 41, berkata kedua-dua mangsa hendak ke rumah rakannya untuk belajar selepas pulang dari mengaji.

Bagaimanapun, sebaik tiba di depan rumah suspek, seorang lelaki menyimbah cecair dipercayai cuka getah ke arah kedua-dua beradik itu.

Seorang lagi jirannya, Siti Rohaisha Hanafi, 28, berkata melihatkan kejadian itu, dia segera membawa kedua-dua beradik itu ke Hospital Jengka dalam keadaan ‘berasap’ akibat terkena cuka getah itu.

Katanya, ketika kejadian, kebanyakan lelaki dewasa tiada di rumah kerana mengerjakan solat di masjid.  - BHarian

Jemaah solat dalam gelap


GELAP...jemaah surau menunaikan solat Isyak dengan lampu gasolin.
GELAP...jemaah surau menunaikan solat Isyak dengan lampu gasolin.
KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 umat Islam terpaksa menunaikan solat Maghrib dan Isyak dalam keadaan gelap selepas bekalan elektrik yang disalurkan ke Surau Al Mu’min Pantai Murni, Pantai Dalam, di sini diputuskan tanpa notis petang semalam.

Difahamkan, kebiasaannya lebih daripada 50 jemaah akan menunaikan solat di surau berkenaan malah setiap hari Khamis pada waktu malam, bacaan Yasin akan diadakan tetapi semuanya tergendala akibat ketiadaan bekalan elektrik.

Timbalan Pengerusi Surau berkenaan, Syed Bilfil Syed Busu berkata, pihaknya baru sahaja menerima notis kuning daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) petang semalam tetapi pada masa yang sama, pihak TNB sudah memutuskan bekalan elektrik malah suis utama turut ditanggalkan.

“Berdasarkan notis berkenaan, kami diberi tempoh sehingga 31 Julai depan untuk melunaskan tunggakan berjumlah RM1,299.73 itu tetapi mereka sudah memutuskan bekalannya lebih awal sehingga mengganggu ibadah kira-kira 800 umat Islam di kawasan ini,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, meskipun pihaknya sudah menghubungi pihak TNB untuk mengambil tindakan segera di atas kesilapan mereka tiada tindakan diambil sehingga ke malam tadi.

Katanya, pihaknya akan melakukan pembayaran dalam masa terdekat dan berharap masalah ini dapat diselesaikan segera.

Menurutnya, kawasan perumahan yang mempunyai 116 unit rumah teres dua tingkat itu hampir 100 peratus dihuni masyarakat beragama Islam.

Sementara itu usaha Harian Metro untuk menghubungi pihak TNB mengenai masalah dihadapi penduduk itu gagal. - myMetro

Lefthanded Buat Kemunculan Semula


SHAH ALAM: Selepas 15 tahun berdiam diri, kumpulan Lefthanded kembali menggegarkan persada seni muzik tempatan semula bermula tahun ini.
Menurut vokalisnya, Nash atau Nashrudin Elias, sebagai langkah permulaan, Lefthanded yang terdiri daripada empat orang termasuklah Man Kidal (Abdul Rahman Mahmood), Man Dayak (Rahman Othman) dan Yan (Amran Marsiman) bakal mengadakan konsert pada bulan Disember depan.
"Sudah tiba masanya untuk Lefthanded muncul kembali dan rasanya peminat-peminat sedang menunggu persembahan konsert ini.
"Bagaimanapun ia bukan mudah untuk dilaksanakan kerana sudah lama kami senyap, tetapi bersyukur kerana barisan pemuzik kami terdiri daripada golongan profesional dan ia sedikit sebanyak memudahkan perancangan konsert kami," katanya.
Dalam pada itu, beberapa buah kumpulan seperti May dan XPDC akan menjadi penyanyi undangan pada konsert itu nanti.
Tambah Nash, walaupun mengambil masa yang lama untuk kembali,mereka tidak merasakan ia satu kerugian kerana menganggap kemunculan itu sebagai takdir yang telah ditentukan Ilahi.
"Menyertai industri muzik tempatan memerlukan semangat yang kuat tambah pula graf kedudukan seseorang penyanyi itu ada kalanya naik dan turun.
"Oleh itu, sepanjang 15 tahun ini, kami sibuk dengan keluarga dan pada masa yang sama mengukuhkan ekonomi masing-masing. Dan seperti biasa, masalah untuk mendapatkan penaja juga merupakan salah satu punca. Justeru itu, kali ini kami tampil dengan semangat dan keyakinan yang baru," ujarnya.
Untuk persiapan awal konsert itu, kumpulan itu akan merakamkan sebanyak dua buah lagu baru menjelang bulan puasa nanti sebagai buah tangan baru kepada para peminat.
Sementara itu, Lefthanded juga bakal muncul bersama-sama kumpulan XPDC dan May menerusi program “3 Gegaran” bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 4 September depan, pukul 5 petang. - mStarOnline

Thursday, July 21, 2011

Amah cabut, anak dikurung


AMPANG: Seorang pembantu rumah warga Indonesia sanggup membiarkan anak perempuan majikannya berusia setahun seorang diri dalam rumah di Kampung Pasir, Hulu Klang, di sini selama empat jam dengan langsir ditutup dan bekalan elektrik dimatikan sebelum dia melarikan diri, Isnin lalu.

Kejadian itu hanya disedari ibu kanak-kanak terbabit ketika dia pulang ke rumah kira-kira jam 8 malam apabila mendapati keadaan rumahnya gelap dan terus memanggil pembantu rumah itu namun tidak berjawab.

Syak ada sesuatu yang tidak kena, wanita terbabit yang dikenali Faizah, 25, membuka lampu rumahnya dan terkejut apabila melihat anaknya berpeluh dan pucat diletakkan dalam buaian.

Menurutnya, dia kemudian terus mendapatkan anaknya yang ketika itu sukar bernafas dan dalam ketakutan.

“Mujur anak saya tiada cedera apa-apa jika tidak saya sendiri tidak tahu hendak buat macam mana. Selepas beberapa minit kemudian keadaan anak saya beransur pulih dan kembali tersenyum.

“Saya tidak menyangka pembantu rumah kami sanggup meninggalkan anak saya keseorangan di dalam gelap sebelum menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Faizah berkata, pembantu rumahnya itu dikenali sebagai Aisyah berumur 22 tahun dan mendakwa baru dua minggu bekerja dengan keluarganya. Sebelum ini, dia tidak menunjukkan sebarang masalah.

“Cuma Aisyah ada memberitahu saya, dia ditipu ejennya yang memberitahu pekerjaannya di Malaysia bukan pembantu rumah tetapi bekerja di kilang.

“Namun apabila tiba di negara ini sebaliknya berlaku apabila dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah menyebabkan Aisyah sedih dan rindu dengan keluarga di kampung,” katanya.

Katanya, selepas mendengar masalahnya, dia kemudian berjanji membantunya dan akan menghantarnya pulang semula ke Indonesia dalam minggu ini.

“Bagaimanapun entah di mana silapnya, Aisyah terus menghilangkan diri begitu sahaja dengan membawa beg baju dan wang kakak saya sebanyak RM500.

“Jiran juga ada memberitahu ternampak Aisyah keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang namun tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya, malah selepas kejadian ini baru dia mengetahui tertipu dengan lakonan wanita terbabit yang mendakwa dia pertama kali bekerja di negara ini.

“Sedangkan sebelum ini Aisyah sudah bekerja dengan tiga majikan berlainan dan membuat perangai yang sama.

“Malah, dia juga berbohong kononnya pasportnya hilang dan saya serta suami sendiri membantu membuat pasport baru namun akhirnya terbongkar apabila rupa-rupanya pasportnya ada dengan majikan lamanya,” katanya.

Faizah berkata, semua ini diketahuinya selepas dia membuat laporan di Balai Polis Melawati dan cuba mencari Aisyah di Puchong selepas mendapat tahu dia berada di rumah saudaranya di kawasan itu namun gagal.

“Kejadian ini meninggalkan kesan mendalam kepada saya dan berasa serik untuk mengambil pembantu rumah lagi kerana tidak sanggup melihat kejadian sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - myMetro

Related Posts with Thumbnails

heratBeat