aDs

aluan

Followers

Thursday, July 21, 2011

Amah cabut, anak dikurung


AMPANG: Seorang pembantu rumah warga Indonesia sanggup membiarkan anak perempuan majikannya berusia setahun seorang diri dalam rumah di Kampung Pasir, Hulu Klang, di sini selama empat jam dengan langsir ditutup dan bekalan elektrik dimatikan sebelum dia melarikan diri, Isnin lalu.

Kejadian itu hanya disedari ibu kanak-kanak terbabit ketika dia pulang ke rumah kira-kira jam 8 malam apabila mendapati keadaan rumahnya gelap dan terus memanggil pembantu rumah itu namun tidak berjawab.

Syak ada sesuatu yang tidak kena, wanita terbabit yang dikenali Faizah, 25, membuka lampu rumahnya dan terkejut apabila melihat anaknya berpeluh dan pucat diletakkan dalam buaian.

Menurutnya, dia kemudian terus mendapatkan anaknya yang ketika itu sukar bernafas dan dalam ketakutan.

“Mujur anak saya tiada cedera apa-apa jika tidak saya sendiri tidak tahu hendak buat macam mana. Selepas beberapa minit kemudian keadaan anak saya beransur pulih dan kembali tersenyum.

“Saya tidak menyangka pembantu rumah kami sanggup meninggalkan anak saya keseorangan di dalam gelap sebelum menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Faizah berkata, pembantu rumahnya itu dikenali sebagai Aisyah berumur 22 tahun dan mendakwa baru dua minggu bekerja dengan keluarganya. Sebelum ini, dia tidak menunjukkan sebarang masalah.

“Cuma Aisyah ada memberitahu saya, dia ditipu ejennya yang memberitahu pekerjaannya di Malaysia bukan pembantu rumah tetapi bekerja di kilang.

“Namun apabila tiba di negara ini sebaliknya berlaku apabila dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah menyebabkan Aisyah sedih dan rindu dengan keluarga di kampung,” katanya.

Katanya, selepas mendengar masalahnya, dia kemudian berjanji membantunya dan akan menghantarnya pulang semula ke Indonesia dalam minggu ini.

“Bagaimanapun entah di mana silapnya, Aisyah terus menghilangkan diri begitu sahaja dengan membawa beg baju dan wang kakak saya sebanyak RM500.

“Jiran juga ada memberitahu ternampak Aisyah keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang namun tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya, malah selepas kejadian ini baru dia mengetahui tertipu dengan lakonan wanita terbabit yang mendakwa dia pertama kali bekerja di negara ini.

“Sedangkan sebelum ini Aisyah sudah bekerja dengan tiga majikan berlainan dan membuat perangai yang sama.

“Malah, dia juga berbohong kononnya pasportnya hilang dan saya serta suami sendiri membantu membuat pasport baru namun akhirnya terbongkar apabila rupa-rupanya pasportnya ada dengan majikan lamanya,” katanya.

Faizah berkata, semua ini diketahuinya selepas dia membuat laporan di Balai Polis Melawati dan cuba mencari Aisyah di Puchong selepas mendapat tahu dia berada di rumah saudaranya di kawasan itu namun gagal.

“Kejadian ini meninggalkan kesan mendalam kepada saya dan berasa serik untuk mengambil pembantu rumah lagi kerana tidak sanggup melihat kejadian sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat