AMPANG: Padah menimpa seorang wanita apabila dia bukan saja ditampar suaminya beberapa kali, malah turut diugut akan ditetak dengan parang selepas rahsia kecurangan suaminya terbongkar.
Lelaki itu sanggup bertindak demikian selepas isterinya bertindak menghubungi teman wanitanya bagi mendapatkan kepastian mengenai hubungan sulit suaminya.
Sebaik kejadian itu, wanita yang bimbang keselamatannya terancam membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang, di sini, kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Sabtu lalu, mangsa dikatakan mendengar bunyi nada dering telefon bimbit suaminya sebelum dia bertindak mengambil telefon berkenaan.
“Wanita berusia 30 tahun itu bagaimanapun terkejut sebaik membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) antara suami dan kekasih hatinya itu. Mangsa yang naik angin kemudian segera memanggil suaminya untuk bertanyakan mengenai perkara itu.
“Pada mulanya, suami mangsa hanya berdiam diri namun selepas didesak beberapa kali, lelaki terbabit naik berang lalu memaki hamun mangsa,” katanya.
Beliau berkata, selepas gagal mendapatkan kepastian daripada suaminya, mangsa kemudian bertindak menghubungi teman wanita suaminya itu di hadapan suaminya.
"Mangsa dikatakan memarahi teman wanita suaminya itu kerana mempunyai hubungan sulit dengan suaminya namun secara tiba-tiba suaminya naik berang dengan tindakan itu lalu bertindak menampar muka mangsa.
“Malah, lelaki terbabit dikatakan turut mengugut mahu menetak mangsa sekiranya berterusan mengganggu hubungan mereka.
“Selepas itu, suami mangsa dipercayai keluar dari rumah mereka di Hulu Klang. Mangsa yang bimbang diapa-apakan suaminya itu pergi ke balai polis berhampiran membuat laporan,” katanya. - myMetro
No comments:
Post a Comment