SHAH ALAM: “Sepatutnya kamu menjaga anak dan bukan merosakkannya,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Latifah Mohd Tahar ketika menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan terhadap pengawal keselamatan yang mengaku salah merogol anak keenamnya berusia 13 tahun di Kuala Kubu Baru, dekat sini, bulan lalu.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman itu berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu pada 23 Jun lalu. Bapa kepada tujuh anak berusia 43 tahun yang memakai baju-T kuning dan seluar bermuda itu dilihat tidak henti-henti mengesat air matanya dengan tuala kecil sepanjang prosiding kes itu semalam.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Kuala Kubu Baru antara jam 1 dan 7.30 pagi, pada 9 Jun tahun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan berada dalam keadaan tidak sedar kerana mabuk.
“Isteri saya tidak bekerja dan menghidap asma. Saya pula menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian tertuduh masuk ke dalam bilik anaknya, sebelum bertindak merogol mangsa.
Remaja itu yang ketakutan kemudian melarikan diri ke rumah mak ciknya yang terletak berhampiran kediaman keluarganya sebelum menceritakan perbuatan terkutuk bapanya.
Mak cik gadis itu membawa mangsa ke balai polis berhampiran membuat laporan membawa kepada penahanan tertuduh. - myMetro
dasar pemabuk, masa buat xingat bini sakit....dah punah masadepan sianak....trauma, kesian.
ReplyDelete