Ah Moi, Datuk Michael Chong (tengah) dan Khong |
KUALA LUMPUR : Akibat cinta yang mendalam, seorang nenek berusia 82 tahun sanggup membayar RM100 sebagai upah kepada seorang lelaki yang dianggapnya sebagai kekasih bagi menghubunginya sekali seminggu meskipun lelaki terbabit enggan menerimanya.
Difahamkan, nenek yang mempunyai 10 cucu itu mengenali lelaki berusia 67 tahun yang juga seorang sami ketika mengunjungi sebuah tokong di kawasan Sentul. Meskipun, lelaki berkenaan menghilangkan diri sejak enam bulan lalu, nenek yang dikenali sebagai Ah Moi itu tidak pernah putus asa malah menjejaki rumah lelaki berkenaan dengan menggunakan nombor pendaftaran kad pengenalan lelaki itu.
Ah Moi berkata, cintanya terhadap kekasihnya itu cukup mendalam dan dia tidak sanggup untuk melepaskannya meskipun sedar dia sudah berumah tangga. Katanya, apabila lelaki itu menghilangkan diri sejak enam bulan lalu, dia bagai putus harapan untuk hidup, malah pernah cuba membunuh diri dengan meminum racun rumpai.
Namun, kenyataan yang berbeza pula diberikan kekasihnya itu, dikenali sebagai Khong yang hadir ke sidang media Biro Pengaduan Awam MCA, di sini semalam apabila menafikan pernah menjalin hubungan cinta dengan warga emas itu.
Kedua-dua mereka hadir bagi menjelaskan permasalahan peribadi mereka. Khong berkata, dia hanya membantu Ah Moi kerana kasihan dengan warga emas itu yang hidup keseorangan sejak kematian suami dan dua anak lelakinya.
“Saya mengaku pernah menemaninya untuk makan berdekatan dengan tokong tempat saya kerja, tetapi saya tidak pernah ada perasaan cinta terhadapnya dan hala tuju saya hanya ke arah dunia meditasi malah sudah meninggalkan keluarga lain untuk menetap di tokong.
“Saya hanya berharap dia berhenti mengacau saya.
“Sebelum ini, saya menjauhkan diri daripadanya malah menukar nombor telefon akibat tidak tahan dengan gangguannya,” katanya.
Di akhir sidang media itu, Ah Moi akhirnya merayu kepada Khong untuk menghubunginya seminggu atau sebulan sekali dan dia sanggup membayar RM100 berkenaan namun Khong tidak bersetuju dengan tawarannya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, dia akan cuba untuk menghubungi anak wanita berkenaan yang didakwa tinggal di Melaka dan Singapura. - myMetro
No comments:
Post a Comment