ZAINI dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka selepas mengaku salah kerana tidak mendaftar kematian suaminya. |
AYER KEROH: Seorang wanita memberitahu Mahkamah Majistret di sini, semalam, dia menyembunyikan mayat suaminya selama empat hari di rumah mereka di Jalan Kampung Batu Berendam, dekat sini pada Oktober lalu sebagai memenuhi permintaan suaminya itu.
Zaini Malek, 48, seorang pengawal keselamatan, bagaimanapun mengakui dia tidak tahu punca suaminya, Abd Halim Manan, 70, mengarahkannya berbuat demikian, tetapi bersetuju mematuhinya.
“Sebelum meninggal dunia, arwah suami menghidap pelbagai penyakit termasuk sakit buah pinggang dan darah tinggi. Sepanjang menderita sakit itu, arwah tidak mahu sama sekali mendapat rawatan lanjut di hospital atau klinik.
“Namun, arwah berpesan supaya tidak memberitahu sesiapa jika dia meninggal dunia dan saya lakukan seperti dia minta,” katanya ketika disoal oleh Majistret Muhammad Hazri Hanafi sejurus selesai mengemukakan rayuan terhadap hukuman kesnya itu.
Zaini didakwa atas tuduhan gagal mendaftarkan kematian Abd Halim antara 3 Oktober hingga 6 Oktober 2010. Dia didakwa mengikut Seksyen 35 (e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian yang boleh membawa hukuman denda RM250 bagi setiap kesalahan jika disabitkan ke atas dirinya.
Pendakwaan kes itu dilakukan Pegawai Pendakwa Muhather Mohd Kudus manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menjawab soalan tambahan majistret berkenaan, Zaini mengakui dia sedar dan tahu jenazah arwah suaminya perlu disempurnakan segera dan dikebumikan sejurus selepas kematiannya pada tarikh 3 Oktober itu.
“Saya tahu jenazahnya (Abd Halim) perlu disempurnakan tetapi tidak mampu melakukannya pada ketika itu. Entahlah, mungkin juga saya sudah dirasuk syaitan kerana seorang diri ketika itu,” katanya yang kelihatan dalam keadaan keliru dan susah hati ketika memberi jawapan berkenaan.
Dalam rayuan terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan kepadanya, Zaini yang ketika ini hidup seorang diri dengan menyewa rumah di Jalan Kampung Batu Berendam di sini, berkata dia tidak berkemampuan membayar denda.
Muhather dalam jawapan balasnya, bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukan tertuduh.
Selepas membuat pertimbangan termasuk pengakuan bersalah wanita itu, Muhammad Hazri menjatuhkan hukuman denda RM250 dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama tiga hari.
Pada 7 Oktober lalu, akhbar melaporkan penemuan mayat warga emas berhampiran sebatang pokok pisang di Jalan Kampung Batu Berendam di sini, dalam keadaan busuk dibungkus dengan plastik sampah. - BHarianOnline
No comments:
Post a Comment