aDs

aluan

Followers

Monday, April 11, 2011

Konstabel ditemui mati dengan kesan tembakan


KUALA LUMPUR 10 April - Luluh hati seorang kakak apabila usaha memecahkan pintu rumah adiknya itu berakhir dengan penemuan mayat lelaki tersebut yang bertugas sebagai seorang konstabel di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pagi ini.

Kejadian pada pukul 8 pagi di Kuarters Salak Selatan Baru itu disedari oleh jiran mangsa yang terdengar satu das tembakan dari arah rumah konstabel tersebut.

Pelik dengan bunyi tembakan, jiran tersebut kemudian bertindak memaklumkan perkara itu kepada kakak mangsa yang kebetulan berkunjung ke situ.

Setelah gagal mendapatkan jawapan mangsa walaupun dipanggil beberapa kali, jiran dan kakak konstabel itu kemudian bertindak memecahkan pintu bagi melihat apa yang berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian tersebut bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, setiba di lokasi, pihak polis menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.

"Siasatan awal mendapati ada satu kesan tembakan di kepala mangsa selain menemui sepucuk pistol berukuran 0.38 milimeter berhampiran mangsa.

"Kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut berikutan tiada kesan pergelutan atau pecah masuk rumah dan polis percaya tiada unsur jenayah berlaku," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.
Chin Wah memberitahu, mangsa sebelum ini dilaporkan sepatutnya menyerahkan pistol sebaik selesai bertugas bagaimanapun gagal berbuat demikian. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat