aDs

aluan

Followers

Friday, April 1, 2011

Korek kubur cari bijih


IPOH: Sebuah syarikat dikesan menceroboh dan melombong secara haram di kawasan tanah perkuburan Islam semata-mata untuk mendapatkan bijih besi.

Lebih biadab, syarikat berkenaan juga tidak gentar dan mempedulikan bantahan Jawatankuasa Tanah Perkuburan Rapat Setia (JTPRS) di sini dan sudah melakukan kegiatan berkenaan sejak Ogos tahun lalu.

Perkara itu didedahkan Pengerusi JTPRS, Mohd Mokhtar Saidin yang kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab syarikat berkenaan.

“Biarpun kegiatan dilakukan jauh dari kubur, ia tetap satu perbuatan tidak bermoral dan bertanggungjawab kerana kawasan yang diceroboh itu masih dalam kawasan tanah perkuburan yang seluas 6.9 hektar.

“JTPRS pernah membantah tindakan syarikat terbabit tapi mereka hanya berhenti sementara sebelum menyambung aktivitinya kembali,” katanya, semalam.

Selepas lama bersabar, beliau berkata, JTPRS dan lebih 200 penduduk berhampiran sepakat mengusir syarikat berkenaan dari tanah perkuburan itu, semalam. Operasi pengusiran itu turut dihadiri wakil Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan beberapa anggota polis bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, apabila diminta mengulas lebih lanjut, wakil syarikat terbabit mendakwa berani bertindak kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada Jaip.

Mohd Mokhtar berkata, masalah timbul apabila syarikat berkenaan tidak menepati perjanjian asal dibuat iaitu "menjalankan kegiatan pertanian dan penternakan ikan.“

Jaip dan JTPRS sebelum ini pernah mengadakan perjanjian dengan sebuah syarikat untuk mengusahakan aktiviti pertanian dan penternakan.

“Tapi terdapat kesilapan dalam surat perjanjian itu dan perlu diperbetulkan semula menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan. Namun, tanpa pengetahuan kami, syarikat itu melalui anak syarikatnya menjalankan kerja di tanah perkuburan sedangkan perjanjian belum ditandatangani,” katanya.

Katanya, syarikat berkenaan turut memperdaya Setiausaha JTPRS dengan memintanya mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit mengusahakan tanah berkenaan bagi tujuan pertanian.

Menurutnya, ia alasan semata-mata kerana syarikat berkenaan tidak pernah melakukan kegiatan pertanian dan selepas permit berakhir pada Oktober lalu, sebaliknya mereka masih meneruskan kerja menggali bijih besi.

“Perjuangan JTPRS bersama penduduk untuk mengusir pihak syarikat terbabit sejak lima bulan lalu akhirnya berjaya dilakukan hari ini (semalam) tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

“Kami berharap kejadian ini tidak berulang dan meminta pihak berkuasa supaya memandang serius apabila menerima aduan mengenai perkara seumpamanya pada masa depan kelak,” katanya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat