KUANTAN: “Demi Allah saya berani bersumpah semua itu tidak benar dan saya tidak pernah buang ayah kandung sendiri,” kata Rabiah Ramlan, 37, anak sulung kepada Ramlan Ahmad Salleh, 88, yang mendakwa dirinya dibuang selain dimaki hamun dengan perkataan babi serta anjing.
Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai kedaifan ibu bapanya selepas membaca laporan disiarkan akhbar pada 8 April lalu.
Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang diceritakan bapanya dan hampir menitis air mata kerana tergamak memburukkan maruah anak kandung sendiri sedangkan semua cerita berkenaan tidak benar sama sekali.
Rabiah mendakwa dirinya cukup menderita ketika tinggal bersama bapa 10 tahun lalu Kampung Bukit Segantang Lada di sini, sebelum dihalau walaupun tiada kesalahan.
“Saya berani bersumpah tidak pernah menghalau ayah dan tidak menyangka dia sanggup berkata sedemikian.
“Saya sendiri tidak tahu apa masalah sebenar ayah sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu serta memburukkan anak-anak,” katanya yang ditemui di rumahnya di Bukit Setongkol, di sini, semalam.
Sementara itu, adiknya, Zurani, 36, berkata tiga minggu lalu ibunya, Razman Dee, 61, tinggal bersamanya, tetapi bapa keluar ke rumah anak isteri pertama di Chini Timur, dekat Pekan.
Beliau mendakwa, bapanya kemudian datang semula dan mengambil ibu pada jam 10.30 pagi sebelum pulang ke rumahnya dengan rela hati.
“Dakwaan ayah menyatakan dia dihalau adalah tidak benar.
“Saya kecewa kerana ayah sanggup mengeluarkan kenyataan tidak berasas sehingga saya tidak dapat menahan kesedihan selain dipandang serong oleh masyarakat.
“Ayah memang mendapat bantuan rumah di Taman Singa Emas, Bukit Setongkol, di sini, tetapi tidak didudukinya kerana mendakwa keadaan rumah itu seperti reban ayam.
“Saya ubah suai rumah itu sehingga cantik, tetapi ayah tetap mendakwa saya menghalaunya,” katanya.
Menurutnya, ayahnya tidak berjalan sejauh lebih dua kilometer dari rumah untuk ke pasar raya di Bukit Setongkol bagi membeli keperluan harian sebaliknya mempunyai sebuah van yang diuruskannya ketika proses jual beli.
Menurutnya, van berkenaan dibeli hasil wang pampasan insurans kemalangan adik bongsunya sebanyak RM22,000 dan sehingga kini kenderaan itu masih elok untuk digunakan.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan seorang warga emas berusia 88 tahun mendakwa dirinya dimaki hamun dengan perkataan babi serta anjing sebelum dihalau oleh anaknya.
Pasangan warga emas itu kini menetap di Kampung Bukit Segantang Lada, Kuantan. Isterinya, Razmah Dee, 61, bisu dan lumpuh sejak 16 tahun lalu dan Ramlan mendakwa faktor itulah dijadikan alasan oleh anak-anaknya untuk menghalau pasangan itu keluar dari rumah.
Zurani berkata, dia amat berharap bapanya kembali ke pangkal jalan dan berhenti membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anak-anak selain bertaubat. - myMetro
perkara biasa ni. Ibu atau bapa, kalau diwaktu muda dulu seorang yg suka memaki hamun dan kuat membebel, apabila dah tua sifat itu takkan hilang malah bertambah buruk kerana saya sendiri dah lalui dgn benda ni. Pd anak2 yg melaluinya, diharap bersabar byk2 dgn kerenah mereka, anggap saja mereka ni nyanyuk. Pd masyarakat diluar jgn cepat menghukum kalau anda tidak tahu kisah sebenar.
ReplyDelete