aDs

aluan

Followers

Friday, April 1, 2011

Bergetar hati isteri


GUA MUSANG: “Saya pelik apabila arwah suami kelihatan tergesa-gesa keluar rumah kira-kira jam 8 pagi sambil memberitahu mahu ke Kuala Krai melalui Jeli. Sebelum ini, arwah tidak pernah memberitahu arah tujuannya jika keluar rumah, tetapi sentiasa pulang awal, sekurang-kurangnya sebelum jam 4 petang.

“Hari itu (kelmarin), saya berasa tidak sedap hati apabila suami tidak pulang selepas jam 4 petang dan langsung tidak menghubungi saya. Rupa-rupanya arwah maut dalam kemalangan,” kata Wan Rosmah Wan Harun, 29, isteri kepada seorang pengawal keselamatan, Sa’ade Mohd Nor, 38, yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 47.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Satu di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Sa’ade yang menetap di Jalan Kesedar Inn di sini, terbunuh di tempat kejadian selepas kereta Perodua Kancil dipandunya merempuh sebuah treler pengangkut kenderaan sebelum ‘dilenyek’ sebuah lori kontena dari arah belakang.

Kemalangan itu turut mengorbankan rakan Sa’ade, seorang peniaga kedai makan, Mat Dahri Yusoof, 35. Turut maut, pemandu lori kontena dari Pedas, Negeri Sembilan, Muhammad Fathimy Hassan, 29, yang hampir putus kepala.

Difahamkan, kemalangan berlaku selepas pemandu treler pengangkut kenderaan itu membrek kenderaannya secara mengejut selepas menyedari sebuah lori yang sarat muatan tong gas rosak di hadapannya.

Akibatnya, kereta dipandu Sa’ade merempuh treler berkenaan sebelum sebuah lori kontena di belakang merempuh pula kereta Perodua Kancil itu. Pemandu treler tidak cedera, manakala kelindan lori kontena, Mohamad Zukhairi Baharom, 23, juga Pedas, Negeri Sembilan, cedera selepas tercampak keluar.

Wan Rosmah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa suaminya selepas diberitahu rakan suaminya kira-kira jam 9 malam.

“Kini, terpaksalah saya membesarkan tiga anak yang masih kecil,” katanya yang turut memberitahu suaminya sempat menghantar salah seorang anaknya ke sekolah tadika.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan membabitkan tiga kematian itu.

Katanya, 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang diketuai Pegawai Penjaga, Che Rusli Che Sulaiman mengambil mangsa hampir sejam untuk mengeluarkan dua mayat yang tersepit. - myMetro

1 comment:

  1. Ya Allah!...ngerinya....takziah buat keluarga yg terlibat. Al-fatihah buat yg pergi, semuga roh2 mereka dicucuri rahmat....amin.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails

heratBeat