aDs

aluan

Followers

Saturday, April 16, 2011

Waran tangkap


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon Norman Hakim dan tunangnya, Memey yang dituduh berkhalwat tiga tahun lalu, berikutan kegagalan pasangan itu hadir di mahkamah tanpa alasan kukuh untuk perbicaraan kes mereka, semalam.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Salehan Yatim yang mengeluarkan perintah itu berkata, waran tangkap berkenaan hanya berkuat kuasa pada tarikh prosiding berikutnya iaitu 20 Mei depan. Ini bermakna, jika Norman, 35, dan Memey atau nama sebenarnya Suhaizah Suhaimi, 23, tidak hadir pada tarikh berkenaan yang ditetapkan untuk pihak pembelaan memfailkan hujahan balas, mereka boleh ditangkap.

Terdahulu, peguam Munirah Abu Bakar yang mewakili pasangan itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menerima panggilan telefon daripada Norman pagi semalam memberitahu tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat tanpa memberikan sijil cuti sakit. 

Selain itu, Munirah memaklumkan Norman turut mewakili pihak Memey memaklumkan pelakon itu tidak dapat hadir dalam prosiding semalam kerana berada di luar ibu negara. 

Berikutan itu, pendakwa syarie, Hasrul Hafiszi Ahmad Kamal memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap pasangan berkenaan kerana mereka sepatutnya mendahului kes mahkamah berbanding perkara lain.

“Kami (pihak pendakwaan) tidak boleh menerima alasan itu kerana mereka sepatutnya perlu mendahulukan mahkamah, justeru pohon waran tangkap dikeluarkan kepada mereka pada tarikh akan datang,” katanya.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon dan Memey didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang di sini, pada jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Salehan turut menetapkan keputusan sama ada pasangan terbabit didapati bersalah terhadap tuduhan itu pada 29 Julai depan dan memerintahkan kedua-dua hadir pada tarikh berkenaan.

Pihak pendakwaan menutup kes itu pada Oktober tahun lalu selepas hampir dua tahun perbicaraan yang membabitkan lapan saksi pendakwaan dipanggil termasuk bekas Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor, Azhar Noordin, 42.

Semalam, Hasrul Hafiszi turut memohon tarikh lain supaya pihak pembelaan boleh memfailkan hujahan balas selewat-lewatnya 20 Mei depan manakala pihak pendakwaan perlu menggulung hujahan sebulan selepas tarikh itu iaitu 20 Jun depan.

Pada 18 Disember 2008 di mahkamah sama, Norman melafazkan cerai terhadap bekas isterinya, Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 32.

Pasangan itu bernikah pada 8 Januari 2002 dan bercerai kali pertama dengan talak satu pada 5 Mei 2006 dan disahkan bercerai di mahkamah sama pada 10 Mei 2006 sebelum rujuk semula keesokan harinya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat