aDs

aluan

Followers

Thursday, April 21, 2011

Gantian MyKad Kini Boleh Dilakukan Secara Online - Abu Seman


PUTRAJAYA: Orang ramai yang ingin memohon gantian MyKad kini boleh melakukannya secara dalam talian melalui portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Menurutnya perkhidmatan itu memberi alternatif kepada orang ramai untuk mendapatkan gantian MyKad tanpa perlu ke kaunter sekaligus mengurangkankesesakan di ibu pejabat JPN atau cawangannya.
"Tiga jenis permohonan gantian MyKad yang boleh dilakukan ialah gantian MyKad disebabkan cip dan kad rosak, gantian MyKad biasa dan gantian MyKad hilang yang tidak melebihi lima kali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 kepada 341 kakitangan JPN di sini, Khamis.
Turut hadir Ketua Pengarah JPN Datuk Alwi Ibrahim.
Abu Seman berkata bayaran permohonan secara dalam talian boleh dilakukan dengan menggunakan kad kredit Visa dan Master Card, manakala pembayaran melalui e-Banking akan dilaksanakan pada masa akan datang.
Beliau berkata pemohon boleh memohon gantian MyKad melalui portal JPN pada 8 pagi hingga 11 malam pada Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 2 petang (Sabtu) dan 8 pagi hingga 9 malam pada Ahad.
Pemohon boleh menyemak status permohonan MyKad melalui portal JPN dan memilih pusat kutipan MyKad mengikut pilihan masing-masing, katanya.
Beliau berkata sehingga kini JPN menerima sebanyak 15 permohonan sejak diujicuba pada 15 April lepas termasuk satu permohonan daripada rakyat Malaysia di Australia.
Tempoh siap MyKad yang dipohon melalui talian adalah sama seperti permohonan biasa di kaunter iaitu 24 jam bagi pemohon yang memilih untuk menuntut MyKadnya di JPN Putrajaya, 10 hari bekerja bagi mana-mana pejabat cawangan JPN di Semenanjung serta 30 hari bekerja bagi mana-mana pejabat cawangan JPN di Sabah, Sarawak atau Labuan. -BERNAMA

    1 comment:

    1. bagus....xyah susah ke kaunter....bukannya apa nak ambil cuti susah sangat.

      ReplyDelete

    Related Posts with Thumbnails

    heratBeat