KUANTAN: “Pada pertemuan raya pertama, arwah pernah memberitahu mahu berhenti kerja di Awana Kijal, Kemaman dan pulang ke Karak, Bentong untuk memulakan pekerjaan baru.
“Namun, semua impian itu berakhir apabila arwah meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan itu,” kata Mohd Nasir Harun, 54, abang ipar kepada Mustapa Kamal Samah, 40, dari Kampung Karak Setia, Karak, dekat Bentong, yang terbunuh apabila kereta Proton Satria yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 214.9, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), berdekatan susur keluar Tol Gambang, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, turut terbunuh pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, Wong Hong Yen, 40, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, ketika menerima rawatan dan seorang lagi pemandu kereta Mercedes Benz, Yee Koi Chee, 68, dari Air Putih, di sini, yang maut di tempat kejadian.
Difahamkan, Yee yang juga ahli perniagaan, dijadual bakal menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada hujung bulan ini.
Pada masa sama, isteri Yee, Chew Moy, 64, yang berada di dalam kereta bersama suaminya dikatakan hanya cedera ringan dan masih dirawat di HTAA.
Menceritakan semula kejadian itu, Mohd Nasir berkata, dia mendapat panggilan berhubung kemalangan itu melalui orang awam yang menghubunginya dengan menggunakan telefon bimbit milik arwah sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, dia reda dengan pemergian arwah selepas terbabit dalam kemalangan ngeri itu dan kali terakhir bertemu dengan arwah pada hari raya pertama.
Katanya, dalam pertemuan itu, arwah pernah memberitahu hendak pulang bekerja di Karak selepas lebih 14 tahun bekerja di Awana Kijal, Kemaman selain merancang untuk mendirikan rumah tangga.
“Arwah balik ke kampung pada Sabtu lalu kerana bertemu dengan seorang pengusaha kek dan berhasrat mencari pengalaman sebelum merancang mahu membuka perniagaan sendiri.
“Jenazah arwah selamat dikebumi di Kampung Teroh, Karak pada jam 12.30 tengah hari, semalam,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata siasatan mendapati, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Wong dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Kuantan terbabas ke kanan dan melanggar besi penghadang di tengah jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Menurutnya, pada masa sama, kenderaan pacuan empat roda itu bertembung dengan kereta yang dipandu Yee dan Mustapa Kamal yang menghala ke Kuantan dari Kuala Lumpur. - myMetro
No comments:
Post a Comment