aDs

aluan

Followers

Wednesday, September 7, 2011

Rumah hangus selepas ugutan

AHMAD (kiri) berkata sesuatu kepada Maulizan yang  mengunjunginya di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.
AHMAD (kiri) berkata sesuatu kepada Maulizan yang mengunjunginya di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.
PASIR GUDANG: Keluarga seorang pemandu lori tidak menyangka pesanan berbaur ugutan daripada seorang gadis kenalan anak lelakinya yang marah apabila diminta keluar daripada rumah mereka selepas menumpang selama sebulan, menjadi kenyataan apabila kediaman itu musnah dalam kebakaran membabitkan tiga rumah, dekat sini, awal pagi semalam.

Kebakaran dipercaya angkara khianat itu berlaku pada kira-kira jam 1.30 pagi, menyebabkan tiga rumah teres dua tingkat di nombor 5, 7 dan 9, Jalan Asli, Taman Pasir Putih itu, mengalami kerosakan teruk dengan kebakaran bermula di ruang letak kereta rumah nombor 7 yang berada di tengah.

Pemiliknya, Ahmad Yaacob, 58, berkata kejadian berlaku ketika beliau yang baru masuk tidur dalam bilik di tingkat bawah, manakala tiga anaknya di tingkat atas, terkejut mendengar bunyi letupan seperti mercun sebelum terhidu bau asap di rumah berkenaan.

"Apabila bergegas keluar bilik untuk meninjau keadaan, saya dapati api sudah marak merebak ke dalam rumah sehingga tidak sempat berbuat apa-apa, lalu menjerit mengejutkan semua anak di tingkat atas.

"Kami kemudian bergegas menyelamatkan diri menerusi pintu belakang kerana api marak hingga menghalang laluan depan dan turut memusnahkan sebuah van dan empat motosikal di halaman rumah, selain wang tunai RM1,000 milik anak yang ada dalam van itu.

"Saya pasti kejadian ini angkara khianat orang dan bukannya disebabkan litar lintas sebab api bermula dari hadapan rumah kami, malah selepas kejadian, ada jiran memberitahu mereka melihat seseorang menaiki motosikal sambil membaling sesuatu ke arah rumah kami," katanya yang mendakwa kerugian lebih RM100,000 ekoran kejadian itu.

Anak perempuannya, Nur Nabilah Ahmad, 21, turut mengesyaki kebakaran itu angkara khianat dan dendam seorang wanita yang tidak berpuas hati apabila abangnya meminta wanita itu keluar daripada rumah mereka.

“Wanita itu kenalan abang dalam laman sosial Facebook dan dia pernah menumpang di rumah ini selama lebih sebulan sejak Julai lalu.

"Selepas diminta keluar, wanita berusia 27 tahun itu pernah memberitahu abang menerusi SMS, mengancam mahu membakar rumah kami kerana menghalaunya, sedangkan ketika dibenarkan tinggal bersama dulu, dia memberitahu hanya ingin menumpang seketika sementara mendapat kerja," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang yang melawat tiga keluarga terbabit dalam kejadian itu menghulurkan bantuan segera RM1,000 bagi setiap keluarga, selain sumbangan RM1,000 daripada Majlis Agama Islam Johor.

Beliau berkata, bagi meringankan beban semua keluarga terbabit, 15 mangsa terjejas ditempatkan sementara di Flet Kejiranan 8 Taman Air Biru, Pasir Gudang.

Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Salleh KVP Mohamed, berkata punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan forensik.  - BHarian

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat