SUNGAI PETANI: Kebiasaannya pesalah jenayah akan memohon hukuman ringan tetapi lain pula berlaku kepada seorang tukang gunting di Mahkamah Sesyen semalam.
Tertuduh K Pasupathy, 26, bukan saja mengaku bersalah atas tuduhan menetak ibu kandungnya, S Krishnamah, 49, malah meminta Hakim Norsalha Hamzah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.
Norsalha yang terkejut dengan permintaan itu meminta jurubahasa menerangkan hukuman terhadap tuduhan dikenakan terhadapnya tidak membawa hukuman gantung.
Selepas diberi penjelasan,Norsalha menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap tertuduh.
Mengikut fakta kes, Pasupathy didakwa menetak ibunya dengan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah di rumah No 1739, Lorong 36, Taman Ria, di sini, jam 8 pagi, 6 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan sebatan atau kedua-duanya.
Pasupathy yang tidak diwakili peguam mengangguk memahami dan mengaku bersalah ketika tuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Bagaimanapun, Norsalha memberi peluang kepada tertuduh untuk mengemukakan rayuan sebelum memutuskan hukuman.
Melalui jurubahasa, dia berkata: “Yang Arif saya memohon hukum gantung sampai mati” dan selepas dijelaskan kesalahan itu hanya memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, beliau terdiam seketika.
“Kalau macam itu saya minta hukuman penjara 20 hingga 30 tahun. Hukumlah penjara maksimum sebab saya ada banyak masalah peribadi, ” katanya. – BERNAMA
mcm2 hal.
ReplyDelete