AMPANG: Berang selepas bekas rakan serumahnya menukar mangga jeriji rumah pangsa yang pernah dihuninya, seorang wanita berusia 20-an menendang dan memukul bekas rakan serumahnya itu dengan mangga berkenaan, kelmarin.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang tidur bersama seorang lagi rakannya dalam sebuah bilik di rumah berkenaan di Pandan Indah, di sini, terkejut sebaik mendengar ketukan pintu yang kuat.
“Mangsa bangun dan membuka pintu sebelum mendapati bekas rakan serumahnya berada di luar rumah. Wanita itu mendakwa mahu mengambil barang miliknya yang masih tertinggal.
“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuka mangga dan jeriji yang dikunci dan membenarkan wanita terbabit masuk untuk mengambil barang,” katanya.
Menurutnya, tanpa diduga bekas rakan serumah mangsa itu tiba-tiba menghentak mangsa dengan mangga di belakang badannya. Apabila mangsa cuba melawan, dia ditampar, ditumbuk dan ditendang beberapa kali.
“Mangsa menjerit meminta tolong dan rakan serumahnya cuba membantu, namun turut dipukul,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek mengamuk dengan menghentak dan mencampak semua barang di ruang tamu sebelum meninggalkan rumah itu.
Menurutnya, mangsa dan rakannya itu mendapatkan bantuan jiran yang menghantar mereka ke Hospital Ampang sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran. - myMetro
brutalnya.....mmg sah muka x malu....spesis apes ni.
ReplyDelete