MT Cendanawati membawa minyak dari Thailand, manakala gambar kecil menunjukkan keadaan kapal itu selepas dilanggar di perairan Pulau Tioman, kelmarin. |
KUANTAN: Seramai 19 anak kapal warga Indonesia nyaris terbunuh selepas kapal tangki MT Cendanawati dinaiki, berlanggar dengan kapal tangki kira-kira lapan batu nautika dari perairan Pulau Tioman, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi, kapten kapal itu, Dadi Suyadi, 45, berkata beliau bersama 18 anak kapal dalam perjalanan ke Indonesia dari Thailand dengan membawa muatan 1,600 tan minyak pelincir.
Katanya, ketika kejadian, beliau sedang tidur dalam bilik sebelum terjaga apabila terdengar dentuman kuat, menyebabkannya mengalami kecederaan di kepala.
“Kapal kami dipercayai berlanggar dengan kapal tangki, Cosmic 10 sebelum kapal itu beredar menuju ke Batam, Indonesia.
“Selepas pelanggaran berkenaan , air melimpah masuk dalam bilik dan terdengar teriakan anak kapal. Keadaan menjadi kelam kabut,” katanya di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, semalam.
Dadi berkata, kapal MT Cendanawati mengalami kebocoran pada bahagian enjin dan hampir tenggelam sebelum diselamatkan sebuah kapal yang kebetulan melalui perairan berkenaan.
“Saya dan semua anak kapal diselamatkan anggota APMM yang memberi bantuan dengan kapal KM Jarak sebelum dibawa ke jeti Tanjung Gelang, di sini.
“Kami sepatutnya tiba di Indonesia hari ini (semalam) selepas bertolak Khamis lalu dari Thailand. Kami berterima kasih kepada APMM kerana memberi bantuan dan menyelamatkan nyawa kami yang hampir terbunuh selepas terbabit dalam pelanggaran itu,” katanya yang cedera ringan di leher.
Sementara itu, Pengarah Operasi Wilayah Maritim Timur, Kapten Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hasan, berkata pihaknya memberi bantuan sewajarnya kepada 19 mangsa terbabit selepas mendapat maklumat kejadian itu. - BHarian
No comments:
Post a Comment