KUALA TERENGGANU: Lakonan seorang samseng jalanan terkena penyakit ‘sawan’ secara tiba-tiba ketika cuba meloloskan diri dalam sekatan jalan raya tidak berjaya apabila dia didapati positif dadah sebelum ditahan di sini, semalam.
Ketika ditahan, polis turut menjumpai 50 biji pil kemerahan dipercayai pil kuda di dalam satu plastik lut sinar yang tersorok di kepala tali pinggang yang diletakkan dalam satu pemetik api Zippo.
Remaja berumur 21 tahun berasal dari Kampung Tanjong, Kuala Terengganu itu ditahan jam 6.30 petang semalam oleh anggota trafik daerah Kuala Terengganu yang sedang melakukan satu sekatan jalan raya di Simpang Tiga Pusara dalam Ops Samseng Jalanan.
Sebelum itu, remaja terbabit yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5 dipercayai datang dari arah Jalan Kamaruddin menuju ke Pantai Batu Buruk bertindak nekad apabila cuba memecut laju motosikalnya bagi mengelak ditahan.
Panik dengan kelibat anggota polis yang sedang membuat pemeriksaan di bahu jalan, motosikal remaja itu kemudiannya bertembung dengan kereta jenis Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan selepas dia cuba membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkannya jatuh.
Bagi mengelak ditahan, remaja itu memulakan lakonannya selepas merebahkan badan ke atas jalan dan menggelupur seolah-olah terkena ‘sawan’ sehingga menyukarkan anggota polis untuk menahannya.
Disebabkan keadaan itu, anggota polis terpaksa memanggil ambulan bagi memeriksa remaja berkenaan sebelum didapati normal dan dia kemudiannya dibawa balik ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superintendan Khazahari Che Amat , berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas remaja terbabit mendapati dia positif dadah jenis Methamphitamine (pil kuda).
Beliau berkata, remaja itu mengaku menjadi keldai dadah sejak setahun lalu dan mengakui bekalan yang dijumpai bersamanya itu diedarkan kepada samseng-samseng jalanan di sekitar Kuala Terengganu.
Katanya, remaja itu turut mengakui tidak lagi bekerja sejak menjalankan urus niaga berkenaan dan segala perbelanjaan termasuk makan minum dan pakaian adalah hasil penjualan pil itu.
“Dia juga memberitahu bekalan yang dibawanya itu diedarkan kepada tokan kecil-kecilan dan hanya bekerja sebagai penjual dadah bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Remaja terbabit kini ditahan reman di lokap IPD Kuala Terengganu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan juga Seksyen 15(1) ADB 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh.
Mengulas mengenai operasi selama tiga jam bermula jam 5 petang semalam, Che Khazahari berkata, operasi yang diketuainya bersama 15 pegawai dan anggota trafik IPD Kuala Terengganu itu berjaya mengeluarkan sebanyak 38 saman membabitkan 40 kesalahan.
Katanya, tiga motosikal dan sebuah kereta turut disita kerana penunggang dan pemandunya tidak mempunyai lesen selain mengubahsuai kenderaan. - myMetro
No comments:
Post a Comment