KUALA LUMPUR: Dua pelakon remaja yang terbabit dalam sebuah pementasan teater di Seremban, Negeri Sembilan, membuat laporan polis mendakwa dicabul pengarah teater itu ketika mengikuti sesi latihan.
Difahamkan, pengarah teater terkenal berusia 60-an itu dipercayai mencabul ramai lagi pelakon remaja yang mengikuti sesi latihan teater berkenaan, namun setakat ini polis menerima hanya dua laporan berhubung kejadian.
Suspek dikatakan mengambil kesempatan meraba mangsa di sebuah rumah di Seremban yang dijadikan tempat latihan pementasan bakal diadakan bulan depan. Sumber berkata, latihan teater itu berjalan sejak tiga bulan lalu dan kejadian itu dipercayai berlaku beberapa minggu lalu.
“Setakat ini dua mangsa membuat laporan polis awal minggu ini dan akibat pendedahan itu, projek pementasan dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 April ini dibatalkan serta-merta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, polis menerima laporan mangsa masing-masing berusia 14 dan 17 tahun. Menurutnya, mangsa bersama 24 lagi pelajar sekolah menengah mengikuti sesi latihan itu setiap Sabtu dan Ahad dari jam 10 pagi hingga 5 petang.
“Mangsa yang belajar di sekolah menengah di luar Seremban mendakwa pengarah produksi persembahan itu mengambil kesempatan mencabul mereka ketika latihan. Siasatan terperinci dijalankan kerana kita belum dapat pastikan berapa kali mangsa dicabul serta sama ada pelajar lain turut menjadi mangsa,” katanya yang dihubungi semalam.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan. Pengerusi Karyawan Negeri Sembilan, Siti Salbiah Zahari berkata, pihaknya terpaksa menghentikan teater itu dan akan menggantikannya dengan pementasan lain.
“Kita tunda projek ini sehingga Jun selain mengadakan persembahan dengan tajuk berbeza dan mengambil pengarah lain untuk menjayakannya. Saya tidak boleh membuat sebarang ulasan disebabkan perkara ini masih dalam siasatan polis, tetapi kami akan berusaha menjayakan pementasan teater membabitkan golongan remaja kerana matlamat kami ialah menarik minat pelajar terhadap persembahan seni ini,” katanya. - myMetro
macam2 hal...
ReplyDeletekalau betul la ni berlaku, insaflah diri dah xlama hidup di muka bumi ini. Tapi kalau fitnah, yg menyebarkannya bawa2 lah bertaubat.
ReplyDelete