aDs

aluan

Followers

Tuesday, March 15, 2011

Baby insaf


KUALA LUMPUR: “Cukuplah pengalaman tujuh bulan dipenjarakan di luar negara selepas menjadi keldai dadah,” kata Nur Dhiya Ain Rosman, 20, yang dibebaskan dari penjara Cape Town, Afrika Selatan, 9 Mac lalu.

Anak kedua daripada empat beradik berasal dari Jalan Tun Sambathan 4, Brickfields, di sini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada jam 6 pagi hari sama. 

Nur Dhiya dipenjarakan di Cape Town selama tujuh bulan bermula 14 Ogos tahun lalu hingga 9 Mac lalu selepas ditahan dan didapati bersalah kerana membawa 1.2 kilogram dadah jenis syabu. Menurutnya, ketika ditahan dia tidak mengetahui apa-apa mengenai dadah itu dan terkejut selepas menyedari ditipu rakan baik yang dikenali sejak kecil.

Katanya, dia bersetuju melancong ke Cape Town selepas diajak rakan baiknya itu yang menawarkan tiket penerbangan dan penginapan percuma selama empat hari ke negara itu, tetapi rakannya membatalkan percutian pada saat akhir menyebabkan dia terpaksa pergi seorang diri.

“Rakan saya itu meyakinkan saya akan selamat kerana akan ditemani wakil syarikat yang menguruskan pelancongan percuma itu dan bakal ditempatkan di sebuah hotel mewah selama empat hari.

“Selama di sana saya dilayan dengan baik dan apabila tiba saat untuk pulang pada 14 Ogos tahun lalu, seorang wanita yang mendakwa wakil syarikat itu yang menemani saya menyerahkan sebuah beg kecil sebagai sagu hati tanpa diketahui isinya. 

“Ketika di lapangan terbang kira-kira jam 10 malam selepas melalui pemeriksaan pengimbasan, saya ditahan pegawai imigresen negara itu,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, semalam. 

Nur Dhiya berkata, sebaik ditahan, dia hanya berdoa kerana tidak mengetahui motif rakan baiknya serta wakil syarikat pelancongan itu berbuat demikian dan hanya mengetahui dirinya dikhianati selepas dipenjara. 

“Saya sungguh insaf dengan pengalaman ini kerana pertama kali berjauhan dengan ibu, ayah dan adik-beradik. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini. Saya menasihatkan remaja supaya berhati-hati dengan rakan sendiri dan orang yang baru dikenali kerana kebanyakan mereka mempunyai muslihat,” katanya yang dibebaskan daripada penjara selepas Mahkamah Tinggi Cape Town memutuskan dia tidak bersalah dalam kes pengedaran dadah. 

Menurutnya, walaupun dilayan dengan baik, pengalaman tinggal dalam penjara bersama tahanan warga Afrika amat menginsafkan kerana mereka sering bergaduh menyebabkan dirinya tertekan selain berjauhan orang tersayang. 

Harian Metro pada 15 Ogos tahun lalu melaporkan Nur Dhiya ditahan di lapangan terbang Cape Town selepas dikesan membawa 1.2 kilogram syabu dan ditempatkan di sebuah pusat tahanan. 

Sementara itu, ibu dan bapanya, Roslah Abd Jani, 44, dan A C Musa Abu Chik, 43, bersyukur kerana mimpi ngeri keluarganya berakhir apabila Nur Dhiya atau lebih dikenali sebagai Baby dibebaskan dan kini kembali ke pangkuan keluarga. Roslah berkata, sebelum ini dia tidak boleh tidur malam dan setiap hari berusaha menghubungi Kedutaan Malaysia di Cape Town untuk mengetahui keadaan anak gadisnya itu. 

“Saya mengorbankan segala-galanya demi menyelamatkan Baby kerana dia masih muda dan masa depannya masih panjang,” katanya yang menghabiskan ribuan ringgit untuk membebaskan anaknya dengan pertolongan pelbagai pihak. - myMetro

1 comment:

  1. pengalaman yg mematangkan diri agar lebih berhati-hati.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails

heratBeat