aDs

aluan

Followers

Friday, November 11, 2011

Maut bantu mangsa nahas


KUANTAN: Niat murni dua lelaki membantu satu keluarga yang terbabit kemalangan di Jalan Tanjung Lumpur di sini, petang semalam, bertukar tragedi apabila mereka dirempuh lori tanah mengakibatkan seorang terbunuh selepas terperosok di bawah Perodua Myvi milik keluarga dibantu itu.

Pemandu Perodua Myvi terbabit, Norhayati Abu bakar, 44, yang berasal dari Lorong Peramu Baru 3, Taman Peramu di sini, patah kaki kanan manakala anaknya, Nurliyana Najihah Mamat, 10, Muhammad Nasrol Azit, 5, dan Muhammad Nazhan Aziq, 2, tidak mengalami kecederaan.

Mangsa yang terbunuh ialah pemilik kedai berhampiran tempat kejadian, Mustafa Deraman, 50. Dia yang patah tulang rusuk dan patah kaki kiri dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia jam 10,30 malam tadi.

Seorang lagi mangsa, Mohd Roslan Wahab, 26, hanya cedera ringan biarpun turut terperosok di bawah kereta Perodua Myvi milik Norhayati.

Mohd Roslan berkata, dia hanya membayangkan kematian apabila melihat lori tanah itu meluncur laju ke arahnya dan hanya tersedar apabila mendengar suara orang ramai membantu mengeluarkannya dari bawah Perodua Myvi berkenaan.

“Rempuhan kuat lori itu menyebabkan saya terperosok di bawah Perodua Myvi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana selamat dan saya juga gembira kerana sempat menyelamatkan keluarga dalam kereta itu.

“Memang saya hanya memikirkan soal mati ketika melihat lori berkenaan meluncur laju ke arah saya dan saya hanya tersedar selepas mendengar suara orang ramai cuba menarik saya keluar dari bawah kereta itu,” kata Mohd Roslan.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Kampung Sungai Derhaka di sini.

“Saya antara saksi paling awal tiba di lokasi kemalangan itu yang membabitkan sebuah Perodua Myvi dengan sebuah lori, mengakibatkan kereta itu tersadai di atas pembahagi jalan.

“Ketika saya dan beberapa orang awam berusaha mengeluarkan lima sekeluarga dari dalam Perodua Myvi itu, sebuah lori lain dari arah Tanjung Lumpur muncul dan merempuh kami.

“Saya sempat menjerit dan berlari sekuat hati untuk mengelak daripada dilanggar tetapi tetap dirempuh dan hanya sedar apabila mendengar suara orang ramai berusaha menyelamatkan saya pula,” katanya.

Isteri Mustafa, Norihan Rani, 49, yang ditemui di HTAA berkata selain suaminya, anak mereka, Mohd Aiman, 17, turut bergegas untuk memberi bantuan kepada keluarga Norhayati.

“Suami saya dirempuh lori tanah itu di depan mata Mohd Aiman dan dia anak saya kini trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, pemandu lori yang merempuh Perodua Myvi itu sudah membuat laporan berhubung kejadian, namun lori pertama yang terbabit dalam kemalangan itu masih dikesan.

“Siasatan awal mendapati lori pertama merempuh satu tiang lampu dan tiga pokok sebelum melanggar Perodua Myvi. Kejadian berlaku ketika kereta itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Peramu.

“Ketika tiba di tempat kemalangan, sebuah treler mahu membelok menyebabkan pemandu kereta Perodua Myvi memperlahankan kenderaannya tetapi sebuah lori yang berada di belakang cuba memotong di sebelah kiri.

“Pemandu lori itu melihat ada kenderaan di tepi jalan menyebabkan pemandunya masuk semula ke lorong kanan sebelum menghimpit Perodua Myvi itu.

“Lori kedua pula tidak sempat memberhentikan kenderaannya apabila melihat orang ramai berada berhampiran kereta,” katanya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat