MELAKA 17 Ogos - Seorang pesakit wanita yang berada dalam ambulans ketika dirempuh sebuah teksi di Ayer Keroh kelmarin, meninggal dunia di Hospital Melaka, hari ini.
Maryam Baba, 73, meninggal dunia kira-kira pukul 9.10 pagi selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Dia dimasukkan ke Hospital Melaka sejak kelmarin kerana mengalami pendarahan di kepala selepas rumahnya di Bukit Ramai dipecah masuk sekumpulan penjenayah.
"Saya reda dengan apa yang telah berlaku tetapi terkilan kerana menyangkakan emak akan selamat sebaik sahaja dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.
"Tak sangka pula, ambulans dinaiki emak terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke hospital," kata anak bongsu mangsa, Zaidi Senan, 43, ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.50 petang kelmarin, seorang doktor lelaki berusia 25 tahun, seorang jururawat, Yuhanis Yasin, 30, dan Maryam cedera parah apabila ambulans yang mereka naiki dirempuh sebuah teksi.
Doktor lelaki tersebut terpaksa dikejarkan ke HKL kerana kecederaan yang dialami manakala Yuhanis kini dirawat di Hospital Melaka.
Bagaimanapun, pemandu ambulans, Mambang Rudy Hartono, 41, dan seorang pembantu perubatan berumur 56 tahun yang menaiki ambulans itu serta pemandu teksi dikenali Ali Muhammad Don hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Melaka.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim berkata, doktor lelaki tersebut telah dibenarkan keluar dari HKL hari ini kerana cuma mengalami luka dan tidak melibatkan kecederaan dalaman.
"Bagaimanapun, jururawat terbabit masih berada di Hospital Melaka dan keadaannya hari ini dilaporkan semakin tenat," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment