aDs

aluan

Followers

Monday, August 1, 2011

Lelaki kena mercun buta

PARAH...Jazimin yang  disahkan buta mata kanan ditemani ibunya di PPUM, semalam.
PARAH...Jazimin yang disahkan buta mata kanan ditemani ibunya di PPUM, semalam.
PETALING JAYA: Seorang peniaga yang bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Singapura, buta mata kanan akibat terkena serpihan mercun dilempar penonton.

Mangsa, Ahmad Jazimin Jalaluddin, 29, yang mengusahakan perniagaan mencetak kad kahwin di Bangi, pecah bola mata kanannya dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, sejak malam Khamis lalu.

Lebih menyedihkan, akibat kejadian itu, mangsa juga tidak dapat menemani isterinya, Nur Hardyawati Ismail, 28, yang dimasukkan ke wad bersalin hospital sama, pagi semalam, untuk menimang cahaya mata pertama mereka.

Ahmad Jazimin berkata, kejadian berlaku jam 8.40 malam, sejurus selepas lagu Negaraku dimainkan apabila beliau yang duduk di tempat duduk terbuka bertentangan tempat kenamaan, mendengar bunyi letupan sebelum mata kanannya terasa pedih.

“Saya kemudian merasakan sesuatu keluar dari kelopak mata kanan dan apabila dipegang, saya melihat darah pada tangan selain lendir berwarna putih sebelum dipapah keluar stadium oleh dua rakan.

“Dalam keadaan kesakitan, dua rakan memapah saya keluar dari stadium di celah-celah orang ramai sebelum ternampak sebuah ambulans di pekarangan stadium dan saya dibawa ke PPUM untuk rawatan,” katanya yang ditemani ibu, Surakiah Mamat, 63, ketika ditemui di PPUM, semalam.

Ahmad Jazimin yang juga ahli Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menjalani pembedahan hampir lima jam mulai jam 4 pagi, Jumaat lalu, namun doktor mengesahkan mata kanannya tidak dapat diselamatkan.

Difahamkan, beliau masih diberikan rawatan rapi bagi mengelak jangkitan kuman yang boleh menyebabkan saraf matanya rosak.

Bagaimanapun, Ahmad Jazimin tetap bersemangat dan tidak serik ke stadium untuk menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan selepas ini, tetapi berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengurusan stadium mengambil langkah pencegahan lebih ketat bagi mengelak kejadian menimpanya berulang.

"Saya sedih memikirkan nasib keluarga kerana punca pendapatan bergantung kepada perniagaan yang saya jalankan. Malah, saya terkilan kerana tidak dapat menemani isteri yang akan melahirkan cahaya mata pertama kami pada bila-bila masa," katanya.

Rakannya, Mohd Azhari Ariffin, 29, berkata beliau kesal kerana aspek keselamatan tidak dititikberatkan pada perlawanan itu memandangkan ketika masuk ke dalam stadium, anggota keselamatan yang mengawal pintu masuk tidak membuat pemeriksaan rapi, sebaliknya hanya bertanya sama ada beliau membawa pemetik api.

Beliau membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa Ahmad Jazimin di Balai Polis Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA), Ali Hanafiah Mohamed, berkata pihaknya akan menyediakan khidmat guaman bagi membolehkan Ahmad Jazimin menyaman pihak berkaitan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - BHarian

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

heratBeat